Perundangan S'pura boleh dijadikan contoh untuk capai kemajuan teknologi
Pengasas Laman Jangkauan Dunia, 'World Wide Web', berkata Singapura boleh menjadi negara contoh bagi rantau ini dari segi undang-undang dan peraturannya untuk mencapai kemajuan teknologi.
SINGAPURA: Pengasas Laman Jangkauan Dunia, 'World Wide Web', berkata Singapura boleh menjadi negara contoh bagi rantau ini dari segi undang-undang dan peraturannya untuk mencapai kemajuan teknologi.
Encik Tim Berners-Lee mengongsi pandangannya itu di pembukaan acara Tech Law Fest di mana lebih 1,500 wakil dari 18 negara membincangkan, selama dua hari, isu undang-undang berhubung penggunaan data yang banyak dalam dunia masa kini.
Encik Tim Berners-Lee diiktiraf oleh Majalah Time sebagai salah seorang tokoh paling penting dalam kurun ke-20, dengan ciptaan 'World Wide Web' 30 tahun lalu.
Beliau percaya Singapura boleh menerajui usaha dalam pembangunan undang-undang untuk kemajuan teknologi seperti bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang kian berkembang.
Menteri Undang-undang K Shanmugam berkata Singapura sudahpun memulakan usaha termasuk mengadakan rangka kerja kawal selia AI serta sebuah majlis penasihat mengenai penggunaan beretika teknologi tersebut dan data.
"Kami sedang berusaha (saya mahu jelaskan di sini) untuk menempatkan Singapura sebagai hab bagi ujian - melaksanakan, meningkatkan penggunaan huraian-huraian AI," ujar K Shanmugam.
"Pendekatan Singapura adalah untuk mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna di samping membina ekosistem kepercayaan."
Menjelaskan lagi pandangan Encik Shanmugam tentang membangunkan rangka kerja bagi penggunaan beretika AI, Menteri Perhubungan dan Penerangan S. Iswaran berkata pemerintah perlu memberikan perhatian kepada teknologi AI dan pembangunannya disebabkan pertumbuhan AI yang rancak.
Encik Iswaran berkata demikian semasa berucap di sebuah forum Bloomberg mengenai AI.
Beliau menambah bahawa usaha Singapura sebagai penggerak inovasi AI dari sudut kemampuan R&D dan perniagaan, tertumpu kepada jagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan serta huraian bandar.
Sebagai contoh, isu penyakit kronik menyaksikan kerjasama Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan SingHealth sementara ada juga peluang kerjasama dengan pihak swasta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.