Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perundangan lebih tegas terhadap diskriminasi di tempat kerja sekian lama dinantikan

Anggaran Waktu Membaca:
Perundangan lebih tegas terhadap diskriminasi di tempat kerja sekian lama dinantikan
Orang ramai di Raffles Place. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Sebahagian besar penduduk Singapura percaya bahawa pengukuhan sistem perundangan negara untuk mencegah diskriminasi di tempat kerja sudah sekian lama dinantikan, menurut satu tinjauan mengenai hubungan kaum yang dijalankan oleh Mediacorp dan Institut Kajian Dasar (IPS).

Hampir 70 peratus daripada lebih 2,000 responden tinjauan tersebut bersetuju atau sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut, dengan 88 peratus percaya bahawa undang-undang itu akan berkesan dalam mengurangkan diskriminasi di tempat kerja di Singapura.

Tinjauan yang dijalankan tahun lalu itu meninjau rakyat dan penduduk tetap Singapura, berusia 21 tahun dan ke atas. Ia melibatkan sampel yang mencerminkan penduduk dari segi umur, jantina, kaum dan jenis perumahan. Sekitar 350 lagi orang Melayu dan India ditinjau agar pandangan mereka diwakili dengan betul.

DISKRIMINASI PERKAUMAN DI TEMPAT KERJA

Menurut tinjauan itu, kurang 9 peratus responden menghadapi diskriminasi perkauman di tempat kerja, dengan etnik minoriti lebih terjejas berbanding kaum Cina.

Ini termasuk kehilangan pekerjaan, kenaikan pangkat atau peluang di tempat kerja serta dibayar gaji lebih rendah berbanding rakan sejawat yang mempunyai kebolehan atau memegang pangkat yang serupa.

Lebih ramai responden Melayu (19 hingga 21 peratus) dan India (14 hingga 19 peratus) merasakan mereka dilayan secara tidak adil di tempat kerja berbanding responden Cina (4 hingga 6 peratus).

Bagaimanapun, apabila ia melibatkan perihal melaporkan diskriminasi perkauman, hampir separuh daripada responden (49 peratus) berkata mereka akan memilih untuk berdiam diri.

Ini meskipun hasil tinjauan menunjukkan bahawa 79 peratus responden berkemungkinan akan memaklumkan kepada sumber manusia atau pihak pengurusan kanan sekiranya rakan sekerja mengadu dirinya menghadapi diskriminasi perkauman di tempat kerja.

PILIHAN KAUM DALAM PERANAN KERJA

Tinjauan itu juga mendapati bahawa walaupun responden daripada semua kaum secara amnya menerima majikan, rakan sekerja dan orang bawahan dari mana-mana kaum - selagi mereka warga Singapura - responden Cina mempunyai kecenderungan lebih rendah untuk menerima orang Melayu atau India sebagai majikan.

Kira-kira 80 peratus atau lebih responden Cina berkata mereka boleh menerima orang Melayu mahupun India sebagai rakan sekerja atau orang bawahan tetapi peratusan lebih rendah (71.1 peratus) daripada mereka mengatakan mereka mahu orang Melayu atau India memegang jawatan sebagai majikan.

Perkara tersebut berbeza bagi responden daripada kaum minoriti, yang mempunyai perkadaran serupa tentang sama ada orang Cina atau orang yang sama kaum dengan mereka menjadi majikan.

Walaubagaimanapun, hasil tinjauan itu mencadangkan bahawa kaum minoriti lebih suka orang Cina menjadi majikan mereka berbanding orang daripada kaum minoriti lain.

Meskipun 89.3 peratus daripada responden Melayu berkata mereka akan menerima orang Cina sebagai majikan, hanya 78.4 peratus boleh menerima orang India selaku majikan mereka.

Begitu juga didapati dalam kalangan responden India, dengan 88.5 peratus daripada mereka boleh menerima orang Cina sebagai majikan tetapi jumlah lebih rendah (79.5 peratus) responden berkata mereka akan menerima sekiranya orang Melayu menjadi majikan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan