Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perumahan, kekurangan katil hospital & sasaran kemampanan SG dibincang di Parlimen pada 7 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Perumahan, kekurangan katil hospital & sasaran kemampanan SG dibincang di Parlimen pada 7 Nov

(Gambar fail: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Perumahan, kekurangan katil hospital dan sasaran kemampanan Singapura akan dibincangkan di Parlimen pada Isnin (7 Nov). 

Menurut kertas susunan yang dikeluarkan pada Jumaat (4 Nov), para Anggota Parlimen (AP) sudah memfailkan 85 soalan untuk jawapan lisan berkaitan pelbagai topik termasuk keadaan bekerja bagi pengawal keselamatan, gaji pekerja asing yang tidak dibayar dan juga keadaan di Myanmar. 

Ketua Pembangkang Pritam Singh (WP-Aljunied) mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee sama ada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan memberikan pecahan yang jelas tentang jumlah kos pembangunan semua flat baru pada masa depan serta subsidi yang dikenakan bagi harga pasaran yang dinilai untuk flat-flat baru tersebut. 

Pertanyaan Encik Singh merujuk kepada arahan pembetulan yang dikeluarkan pada 14 Oktober kepada laman berita alternatif, The Online Citizen, dan Encik Yeoh Lam Keong,  mantan ketua firma pelaburan Singapura GIC, selepas mereka memuat naik kenyataan palsu dan mengelirukan mengenai defisit HDB serta rizab lalu Singapura.

AP Denise Phua (PAP-Jalan Besar) dan AP Sharael Taha (PAP-Pasir Ris-Punggol) membangkitkan beberapa soalan mengenai akses kepada flat HDB bagi golongan yang berbeza. 

Soalan Cik Phua akan memberi tumpuan kepada cara bagaimana model gaji progresif akan menjejas syarat kelayakan bagi rumah sewa HDB, manakala Encik Sharael bertanya mengenai huraian perumahan bagi pasangan yang sudah bercerai yang tidak mampu untuk membeli flat HDB mereka sendiri. 

Mengenai tempoh menunggu yang lama bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO), AP He Ting Ru (WP-Sengkang) menyerahkan soalan mengenai sama ada Pemerintah bercadang untuk menjalankan kajian tentang bagaimana tempoh menunggu tersebut sudah menjejas rancangan pasangan untuk mendapatkan zuriat. 

Dalam pada itu, AP Gan Thiam Poh (PAP-Ang Mo Kio) bertanya sama ada Kementerian Pembangunan Negara (MND) akan mempertimbangkan untuk menambahkan bekalan tanah bagi pembangunan perumahan privet tidak berhalaman sebagai langkah tambahan meredakan pasaran untuk memenuhi permintaan bagi hartanah privet. 

KEKURANGAN KATIL HOSPITAL

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) mengemukakan soalan mengenai punca kekurangan katil hospital, bagaimana pihak hospital akan memastikan bahawa jagaan pesakit di kawasan tunggu tidak akan dikompromi dan bila masalah kekurangan katil itu dijangka reda.

AP Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) menanyakan tentang langkah yang dilakukan untuk mengurangkan tempoh menunggu di jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) serta untuk mendapat katil di wad. 

AP Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) pula bertanya sama ada masalah katil hospital akan menyebabkan pembedahan elektik yang tidak mendesak untuk ditangguhkan di hospital awam.

AP Don Wee (PAP-Chua Chu Kang) pula ingin tahu sama ada Kementerian Kesihatan (MOH) akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah pengambilan penuntut di tiga sekolah perubatan di Singapura. 

Beliau juga bertanya mengenai langkah-langkah untuk mengurangkan kadar pemberhentian kerja dalam kalangan doktor dalam sektor awam dan tentang negara-negara utama di mana doktor asing diambil untuk bekerja di Singapura. 

KEMAS KINI MENGENAI SASARAN KEMAMPANAN

Beberapa pertanyaan difailkan mengenai rancangan dan dasar Singapura berhubung kemampanan. 

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) mengemukakan soalan tentang sama ada perang di Ukraine, persaingan semakin sengit antara Amerika Syarikat dengan China, kadar inflasi sejagat yang tinggi serta ancaman kemelesetan global menjejas Pelan Singapura Menghijau 2030. 

Dua Rang Undang-Undang akan diperkenalkan di Parlimen - satu mengenai permohonan selepas rayuan bagi kes-kes hukuman mati dan satu lagi berhubung perlindungan tanah negara. 

Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dibacakan buat kali kedua, selain Rang Undang-Undang (Pindaan) Harga Karbon dan Rang Undang-Undang (Pindaan Lain) Keselamatan Online.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan