Skip to main content

Singapura

Perubahan PARF tidak begitu jejas bidaan COE terkini, kecuali bagi pembeli kereta mewah: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan PARF tidak begitu jejas bidaan COE terkini, kecuali bagi pembeli kereta mewah: Penganalisis
Persimpangan berdekatan Teck Whye Lane. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 21 Feb 2026 07:38AM
SINGAPURA: Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) pada Jumaat (20 Feb) sebahagian besar tidak terjejas oleh perubahan menyeluruh pada rebat pelupusan kereta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, dengan satu pengecualian yang ketara iaitu pembeli kereta mewah.

Encik Ng Lee Kwang, pengarah di Octagon Motors Group berkata sesetengah pembeli sudah pun membatalkan tempahan mereka sebelum sesi bidaan itu.

"Terutamanya mereka yang membeli kereta (BMW) 7 series, (Toyota) Vellfire," katanya.

Sungguhpun begitu, bagi kebanyakan pembeli, mereka sudah terlewat untuk bertindak.

Ramai pembeli sudah pun membuat tempahan dan membayar deposit sebelum Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan perubahan itu semasa kenyataan Belanjawan 2026 pada 12 Feb, sekali gus mereka tidak mempunyai banyak ruang untuk membatalkan tempahan itu.

Amalan biasa di Singapura adalah untuk para pembeli menandatangani kontrak penjualan dengan bayaran deposit yang ketara sebelum para penjual membuat bidaan COE dalam beberapa sesi jualan seterusnya.

Kebanyakan kontrak itu sudah pun ditandatangani sebelum kenyataan Belanjawan 2026 disampaikan.

"Membatalkan deposit tidak masuk akal dari segi kewangan," kata Encik Jake Ler, ketua pegawai pemasaran di Motorist Singapore.

Masa itu terjejas lagi oleh cuti sempena Tahun Baharu Cina, kata Encik Ng Lee Kwang, pengarah di Octagon Motors Group.

Beberapa kedai ditutup sempena cuti perayaan dan belum lagi dibuka semula apabila sesi bidaan COE berakhir.

Di bawah perubahan terhadap skim rebat Yuran Pendaftaran Tambahan Pilihan (PARF), rebat bagi pelupusan kereta sebelum tamat tempoh COE 10 tahun akan dikurangkan sebanyak 45 mata peratusan dan dihadkan pada S$30,000.

Sebelum ini, para pemilik kereta yang membatalkan pendaftaran kereta mereka sebelum COE berakhir akan menerima rebat antara 50 dengan 75 peratus daripada jumlah ARF yang dibayar, dihadkan pada S$60,000.

"Kami hanya dapat melihat kesan perubahan PARF dalam beberapa sesi jualan seterusnya apabila para pembeli dan penjual berpeluang bertindak balas," kata Profesor Madya Walter Theseira dari sekolah perniagaan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

MENGAPA KERETA MEWAH TERKESAN TERLEBIH DAHULU

Rebat PARF dihitung berdasarkan ARF yang dibayar oleh pemilik kereta, yang sebaliknya bergantung pada nilai pasaran terbuka kenderaan tersebut.

Ini bermakna rebat bagi kereta lebih mahal adalah lebih tinggi dari segi dolar mutlak dan kerugian di bawah had baharu itu juga adalah besar.

Premium COE bagi kereta lebih berkuasa di bawah Kategori B merosot 5.3 peratus dalam sesi bidaan COE terkini kepada S$105,001, di mana ia lebih rendah berbanding S$106,501 bagi kereta lebih kecil dalam Kategori A untuk pertama kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Kesan kewangan mungkin terasa lebih hebat bagi pembeli kereta lebih mahal, kata Encik Ler.

"Disebabkan itu, ia adalah wajar bagi sesetengah pembeli kereta dalam Kategori B untuk berhenti sejenak dan meneliti pilihan mereka."

Profesor Madya Theseira, bagaimanapun memberi amaran supaya tidak terlalu terjejas oleh jurang antara Kategori A dengan B.

Beliau berhujah bahawa pasaran cenderung membetulkan diri - jika permintaan bagi Kategori B merosot dan harga premium turun, harga yang lebih rendah akan mengimbangi kos susut nilai yang tinggi dan menarik pembeli semula.

"Sebagai contoh, jika permintaan bagi Kategori B jatuh disebabkan perubahan ARF secara tidak seimbang menyebabkan kereta dalam Kategori B lebih mahal dalam susut nilai, justeru kemerosotan harga COE Kategori B akan mengimbangi perubahan ARF tersebut dan meningkatkan lagi daya tarikan kereta Kategori B," katanya.

APA YANG AKAN BERLAKU SETERUSNYA

Para penganalisis keberatan untuk memberi ramalan naik turun harga COE dalam jangka masa terdekat, sebaliknya mereka menarik perhatian terhadap bekalan dan permintaan jangka panjang bagi COE.

Profesor Madya Theseira berkata bekalan COE mengikuti kitaran 10 tahun dan bekalannya dijangka meningkat sepanjang tempoh beberapa tahun akan datang - kesan akibat daripada jumlah COE banyak yang dikeluarkan pada lewat 2010.

"Bekalan COE yang tinggi juga hampir berkaitan dengan premium COE yang lebih rendah," katanya.

Encik Ler berkata perubahan dasar baru-baru ini memberi isyarat bahawa kos pemilikan kereta "secara struktur semakin lebih tinggi", tidak kira turun naik yang berlaku dalam tempoh jangka pendek.

Beliau menambah bahawa perubahan PARF boleh memperlahankan tempahan baharu jika pembeli mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Ujian baharu akan datang apabila tempahan (sedia ada) selesai dilaksanakan," katanya.

"Jika buku-buku tempahan semakin menipis, kita mungkin akan menyaksikan sedikit kemerosotan dalam premium COE dalam beberapa sesi bidaan seterusnya."
Sumber : CNA/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita