Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan mendadak keadaan angin sumbang kepada pendaratan tidak betul anggota Red Lions semasa NDP

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Perubahan mendadak dalam keadaan angin semasa anggota terakhir Red Lions menghampiri pentas terapung menyumbang kepada punca mengapa beliau tidak dapat mendarat dengan betul semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Ini menurut dapatan awal oleh sebuah jawatankuasa semakan yang ditubuhkan untuk menilai punca insiden tersebut serta kes-kes dan insiden yang nyaris-nyaris berlaku pada masa lalu.

Demikian dikatakan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam jawapan bertulis kepada satu soalan parlimen pada Selasa (13 Sep).

Pegawai Waran Ketiga (3WO) Jeffrey Heng menilai bahawa kanopi payung terjunnya "tidak stabil" dan melaksanakan teknik pendaratan payung terjun mengikut protokol sedia ada, tambah Dr Ng dalam jawapan bertulisnya itu kepada soalan oleh Anggota Parlimen (AP) Don Wee (PAP-Chua Chu Kang).

"Tindakan beliau mengurangkan impak pada pendaratan. Oleh kerana itu, beliau tidak mengalami kecederaan yang teruk," kata Dr Ng.
Pada Selasa (13 Sep), Encik Wee bertanya sama ada Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula langkah-langkah keselamatan dan kriteria bagi keadaan yang sesuai untuk pertunjukan tentera seperti terjun bebas dan pendaratan payung terjun.

Beliau juga bertanya sama ada MINDEF akan mempertimbangkan untuk menghadkan latihan-latihan sedemikian kepada operasi latihan sahaja.

Dalam jawapan beliau, Dr Ng juga mengatakan kelajuan angin permukaan yang diukur semasa raptai Red Lions dan NDP terjatuh dalam julat yang boleh diterima di bawah peraturan keselamatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Jawatankuasa semakan yang diketuai oleh Pejabat Ketua Inspektor SAF termasuk pakar bebas di luar SAF dalam terjun udara dan terjun bebas tentera, tambah beliau.

"Saya bertanyakan kepada jawatankuasa itu mengapa insiden sebegini belum pernah berlaku sebelumnya memandangkan perubahan dalam keadaan angin tidak mungkin hanya berlaku semasa NDP 2022," kata beliau.

"Mereka sedang berunding dengan pakar bebas mengenai soalan itu sekali gus mengkaji semula secara terperinci laluan pendekatan yang diambil oleh 3WO Heng."

Isu lain yang akan dinilai termasuk impak arus pusar yang disebabkan oleh reka bentuk Pentas Terapung, pentas tersebut dan tempat duduk para penonton.

"Dapatan ini akan menjadi relevan dalam reka bentuk dan pembinaan Dataran NS yang akan menjadi tapak tetap untuk NDP selanjutnya," kata Dr Ng.

RED LIONS PENAMPILAN TETAP SEMASA NDP

Red Lions sudah menjadi satu paparan tetap dalam Perbarisan Hari Kebangsaan sejak 1989 buat 31 kali dalam masa 34 tahun, kata Dr Ng.

Daripada jumlah kira-kira 3,400 lompatan payung terjun perseorangan yang sudahpun dilakukan, terdapat empat kecederaan yang dicatatkan iaitu pada kadar 0.12 peratus.

"Prestasi keselamatan oleh Red Lions kami semasa NDP adalah baik dan setara dengan lompatan latihan terjun bebas tentera sejak lima tahun lalu, di mana kadar insiden juga adalah kira-kira 0.1 peratus," kata Dr Ng.

Memandangkan keadaan semasa NDP mencetuskan lebih banyak kekangan dek keadaan angin yang mencabar dan kawasan pendaratan yang terhad, hanya anggota terjun payung berpengalaman dipilih sebagai anggota Red Lions semasa pertunjukkan NDP," terang Dr Ng.

Beliau menambah bahawa anggota terjun payung mesti sudah membuat sekurang-kurangnya 180 terjunan untuk melayakkan diri ke ujian pemilihan.

Mereka yang terpilih pula akan menjalani latihan berterusan dan rapi untuk mengekalkan kemahiran serta kecekapan mereka.

Bagi lompatan payung terjun di Pentas Terapung ataupun kawasan kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tapak pendaratan dipilih dengan teliti.

Kawasan itu harus rata dan ada ruang yang mencukupi serta bebas daripada halangan. Keadaan angin juga harus berada dalam lingkungan selamat, kata Dr Ng.

Para pakar dalam jawatankuasa itu ditugaskan untuk menentukan sama ada terdapat perubahan sistemik seperti keadaan angin lebih kencang, keadaan cuaca lain atau persekitaran tempatan yang meningkatkan risiko, kata Dr Ng.

Beliau menambah bahawa dapatan itu juga akan mempunyai kaitan dengan latihan rutin.

Jawatankuasa itu juga sedang mengkaji langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan, dengan meningkatkan jarak antara anggota-anggota terjun payung antara perubahan yang sedang dipertimbangkan.

"Keutamaan SAF adalah keselamatan. Red Lions akan terus menjadi sebahagian daripada sambutan NDP kita hanya apabila keselamatan dapat dipastikan dengan langkah-langkah baru yang sesuai termasuk yang disarankan oleh jawatankuasa semakan," tambah beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan