Perubahan MCS, pelancaran rangkaian relawan beri peluang setiap anggota sumbang kepada pertahanan negara: Zaqy Mohamad
SINGAPURA: Semakan terhadap sistem klasifikasi perubatan (MCS) serta pelancaran rangkaian relawan pertahanan Singapura membolehkan setiap anggota masyarakat menyumbang dengan lebih bermakna kepada pertahanan negara.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad dalam satu wawancara susulan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Encik Zaqy berkongsi bahawa rasional di sebalik semakan kepada MCS adalah agar ia selari dengan perubahan landskap peperangan dan teknologi.
"Dengan perubahan klasifikasi, kita biasanya melihat seseorang itu lebih daripada "layak tempur", tetapi untuk membolehkan semua anak muda kita yang boleh menyumbang kepada negara. Kita mempunyai populasi besar, kita perlu menggunakan tenaga rakyat dengan baik. Askar-askar kita dan mereka yang menjalani NS mempunyai kemahiran dan pengalaman yang satu masanya dahulu mereka mempunyai status tidak tinggi kerana isu kesihatan." kata Encik Zaqy.
"Hari ini, peperangan telah berubah, kita menggunakan teknologi dalam ketenteraan. Konsep ketenteraan telah berubah, landskap di mana kita menggunakan banyak teknologi, dron, AI, alat peperangan lebih kompleks."
Singapura kini menggunakan sistem Piawaian Pekerjaan Fizikal (PES) untuk menilai anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF).
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), menggunakan gred — daripada PES A hingga PES F untuk menentukan penugasan atau vokasi seseorang sepanjang tempoh NS.
Perubahan kepada MCS akan memberi kesan terutamanya kepada kohort para anggota NSF apabila mereka mula menjalani perkhidmatan.
Pendekatan lama yang membahagikan anggota kepada kategori "layak tempur" dan "tidak layak tempur" perlu diperhalusi, kata Encik Zaqy.
"Hari ini, kalau anda boleh menggunakan telefon bimbit, anda pun boleh menjadi "layak tempur" sebab kita ada bidang seperti Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS). Kepakaran siber amat penting, ada juga daripada mereka yang boleh menjalankan operasi jika kita memperhalusi klasifikasi perubatan."
3SG AMMAR MANFAAT SKIM BEKERJA SAMBIL BELAJAR DALAM PERTAHANAN SIBER
Buat 3SG Ammar Abdul Jabar, skim Bekerja sambil Belajar Politeknik yang disertainya pada April 2024 membuka peluang untuk menggabungkan pengajian dan khidmat NS dalam bidang yang diminatinya.
Demikian salah satu cara MINDEF terus melabur dalam usaha mempertingkat pengalaman Perkhidmatan Negara, termasuk dengan mengoptimumkan dan mengiktiraf sumbangan anggota kepada pertahanan negara.
Kini berkhidmat sebagai Pakar Siber dalam Pasukan Keselamatan Siber di Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), 3SG Ammar merupakan sebahagian daripada pasukan respons insiden siber.
“Apabila ada insiden, saya perlu bertindak dan menyelidik mengapa ia berlaku. Kita akan memberikan huraian untuk memastikan insiden sebegitu tidak akan berlaku lagi.”
3SG Ammar berkata bahawa skim sedemikian yang memanfaatkan kemahirannya membuat masa perkhidmatan negara lebih bermanfaat.
NSMEN DALAM PASUKAN SIBER, GABUNGKAN KEPAKARAN AWAM DENGAN KETENTERAAN
Dalam usaha memperkukuh pertahanan khidmat kritikal negara pula, MINDEF juga akan mengerahkan Pasukan Pertahanan Siber Sektoral (SCDT) bermula Jun ini yang turut melibatkan para anggota NSmen dengan kepakaran teknikal daripada industri.
Langkah itu menurut Encik Zaqy, selari dengan pendekatan lebih fleksibel dalam mengoptimumkan sumbangan anggota.
Encik Zaqy berkata: "Memang ada ruang untuk kepelbagaian laluan. Ada di antara mereka yang ada situasi kesihatan di mana hari ini kita boleh memberikan mereka membuat lebih banyak vokasi. Mereka juga boleh menjalankan pelbagai operasi kerana kita juga ada perubahan mekanikal dan teknologi."
"Misalnya, operasi sokongan kombat dari segi logistik, mungkin tidak ada peluang untuk mereka (yang tidak layak tempur). Tetapi hari ini, kalau mereka ada kemahiran teknikal tetapi tidak ada tahap kesihatan tinggi, mereka tetap boleh membuat operasi tersebut. Dari segi kemahiran, mereka boleh masuk ke bidang siber, atau strategik, di mana kita dapat menggunakan kemahiran mereka.”
Tambahan pula, NSmen yang bekerja dalam bidang siber dan teknologi setiap hari mungkin mempunyai kelebihan tersendiri, kata Encik Zaqy.
"Memang penting juga untuk kita dapat membawa pandangan mereka yang mempunyai dan menggunakan kemahiran ini dalam kerja seharian mereka, mereka mungkin lebih mahir dalam vokasi itu daripada anggota NSF yang mendapat latihan setahun sekali. Dari pandangan NSMen itu, mereka juga dapat menyumbang dengan lebih baik.”
RANGKAIAN RELAWAN PERTAHANAN SG HIMPUNKAN 2,000 RELAWAN
Semasa berucap di Parlimen bagi COS MINDEF pada Jumaat (27 Feb), Encik Zaqy turut mendedahkan pelancaran Rangkaian Relawan Pertahanan SG yang menghimpunkan semua relawan di bawah satu pejabat.
Encik Zaqy berkata: "Untuk merumuskan dan membawa semua relawan bersama, yang ingin menyumbang kepada ketahanan Singapura , ini satu cara untuk mengukuhkan rangkaian relawan Singapura."
"Apa yang baharu adalah bagaimana kita dapat membuat integrasi dengan lebih padat. Mereka yang menyumbang sebagai relawan dengan operasi SAF supaya masa mereka digunakan dengan lebih bermakna. Ini amat penting kerana kita bukan sahaja mengiktiraf mereka sebagai relawan tetapi penting untuk mereka memperkasa operasi SAF," tambah beliau.
Sekitar 2,000 relawan sedia ada akan diserapkan ke dalam Rangkaian Relawan Pertahanan SG.
Ia merangkumi 1,500 relawan daripada Pasukan Sukarelawan SAF (SAFVC) serta 500 relawan daripada SAFRA dan organisasi relawan lain yang berkaitan dengan MINDEF.
"Ini satu cara untuk menggunakan bukan sahaja tenaga manusia, tetapi kebolehan, kemahiran daripada seluruh rakyat Singapura. Golongan wanita, Penduduk Tetap (PR), dan warga negara baharu, di mana kita membolehkan mereka menjalankan tugas-tugas sokongan kepada SAF.”
Dengan rangkaian relawan itu, Encik Zaqy menjelaskan bahawa SAF menunjukkan komitmen untuk memberikan peranan yang lebih bermakna kepada para relawan.
“Hari ini kita melihat lebih ramai yang memainkan peranan penting membawa kemahiran mereka kepada vokasi seperti siber, perhubungan, ada juga yang menjadi pemandu (guide) di muzium kita. (Melancarkan rangkaian ini) saya rasa, satunya memang sebab untuk tenaga manusia. Tetapi, lebih penting adalah kemahiran dan kebolehan mereka yang dapat digunakan, untuk menyokong dan menyumbang kepada keselamatan negara.”
Beliau turut berkongsi contoh seorang jururawat hospital yang menjadi relawan SAF.
"Kami mempunyai seorang jururawat hospital tetapi beliau juga seorang relawan dalam SAF sebagai jurulatih perubatan. Beliau menolong para anggota NS kita yang menjadi pegawai medik. Ini penting kerana mereka dilatih oleh pakar kesihatan, mereka dapat pengalaman praktikal daripada seorang yang setiap hari di arena hospital."
"Kita juga mempunyai pelbagai relawan seperti Pejuang NE, Pejuang Keselamatan Mutlak, di mana mereka mempunyai peranan untuk membawa masyarakat bersama, untuk mereka mendekati belia-belia dan memahami keselamatan negara,” ujar Encik Zaqy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.