Perubahan Kabinet 'langkah besar dalam penggantian pucuk kepimpinan': Tharman
Rombakan Kabinet yang diumumkan pada Selasa (23 Apr) adalah "langkah utama ... dalam penggantian pucuk kepimpinan", kata Encik Tharman Shanmugaratnam, yang akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) bersama-sama dengan Encik Teo Chee Hean pada 1 Mei.
(Gambar fail: AFP)
SINGAPURA: Rombakan Kabinet yang diumumkan pada Selasa (23 Apr) adalah "langkah besar ... dalam penggantian pucuk kepimpinan", kata Encik Tharman Shanmugaratnam, yang akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) bersama-sama dengan Encik Teo Chee Hean pada 1 Mei.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan dinaikkan pangkat menjadi DPM, sementara Encik Tharman dan Encik Teo akan dilantik sebagai Menteri Kanan dan kekal dalam Kabinet.
Perubahan-perubahan itu memberi isyarat jelas tentang siapa yang akan menerajui Singapura.
Pada November lalu, PAP mengumumkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu yang baru dan Encik Heng menjadi Penolong Setiausaha Agungnya yang pertama.
Dalam satu catatan di Facebook beliau, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata:
"Kepimpinan generasi akan datang sudah mengambil bentuk, dan semakin mengambil alih dari saya dan rakan-rakan saya yang lebih tua. Pasukan ini bekerjasama rapat, membina kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan mereka.
"Saya meminta semua warga Singapura untuk menyokong mereka, dan bekerjasama untuk mencapai masa depan yang cerah untuk Singapura."
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook sejurus selepas pengumuman hari ini, Encik Tharman berkata: "Swee Keat adalah orang terbaik untuk menjadi DPM dan mengambil alih jawatan sebagai PM bagi pemerintahan yang akan datang. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa, kecekalan dan keyakinan pasukan 4G.
"Kami sudah dapat mengelakkan perubahan secara tiba-tiba. Pelantikan ini mungkin sudah diramalkan, tetapi ia amat baik untuk Singapura."
Encik Tharman juga menggariskan perlunya Encik Heng dan pasukan 4G "mengukir cara mereka sendiri sebagai pemimpin, secara individu dan sebagai satu pasukan, dan secara beransur-ansur meninggalkan jejak mereka sendiri".
"Pandangan dan aspirasi rakyat Singapura sedang berubah, " kata Encik Tharman. "Mereka akan, saya percaya, agak berbeza 10 tahun dari sekarang."
"Kepimpinan 4G kami perlu mendengar keprihatinan mereka, tetap terbuka kepada idea dan inisiatif baru, dan terus memastikan strategi kami bagi mewujudkan masyarakat yang inklusif dan terus bersemangat. Jadi, mereka mengekalkan kepercayaan rakyat Singapura dan memimpin negara dengan keyakinan .
"Saya yakin mereka akan, dan saya akan membantu mereka dalam setiap cara yang termampu dalam Pemerintah," tambah Encik Tharman lagi.
Encik Tharman dipilih sebagai Anggota Parlimen pada tahun 2001 dan berkhidmat sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun, dari 2007 hingga 2015. Beliau juga menjadi Menteri Pendidikan selama lima tahun antara 2003 dan 2008. Pada tahun 2011, Encik Tharman dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Selepas 1 Mei, Encik Tharman akan terus menasihati Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai dasar-dasar ekonomi, menurut kenyataan PMO.
Beliau yang kini Pengerusi GIC akan juga dilantik sebagai timbalan pengerusi dana tersebut dan membantu pengerusinya dalam memimpin lembaga pengarah dalam memantau peruntukan aset jangka panjang dan portfolio GIC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.