Perubahan digital Kampong Gelam selitkan realiti tambahan, khidmat penghantaran
Sistem tempat jualan bersepadu (POS) yang membolehkan pembayaran tanpa tunai, Realiti Tambahan (AR) dan khidmat penghantaran kepada pelanggan adalah sebahagian daripada fasa pertama perubahan digital Kampong Gelam.
SINGAPURA: Sistem tempat jualan bersepadu (POS) yang membolehkan pembayaran tanpa tunai, Realiti Tambahan (AR) dan khidmat penghantaran kepada pelanggan adalah sebahagian daripada fasa pertama perubahan digital Kampong Gelam.
Demikian didedahkan semasa Jawatankuasa Peruntukan (COS) membahaskan peruntukan bagi Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) hari ini (6 Mac).
Pendigitalan Kampong Gelam yang kaya dengan budaya dan warisan itu diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim pada November lalu bagi melengkapi Rancangan Digital bagi Perusahaan (IDP).
Dalam ucapannya hari ini, Dr Yaacob berkata bahawa antara inisiatif utama dalam fasa pertama termasuk melaksanakan huraian bersepadu POS yang membolehkan peniaga yang berminat untuk menerima bayaran tanpa tunai, memantau inventori dan bagi urusan perakauan. Ia juga sedang bekerjasama dengan StarHub mengenai huraian peniaga, tambahnya.
Selain itu, salah satu aspek yang diusahakan adalah untuk menyediakan senarai syarikat-syarikat perusahaan di Kampong Gelam dalam pelbagai peta digital seperti Google Maps dan Apple Maps yang akan menunjukkan pemandangan 360 darjah bagi kedai-kedai runcit ini. "Inisiatif ini akan membantu menonjolkan peniaga dan menarik para pengunjung ke kedai-kedai mereka," menurut MCI.
Dr Yaacob selanjutnya berkata bahawa ia sedang bekerjasama dengan penyedia khidmat kereta sewa, Grab untuk menambah pilihan bayaran tanpa tunai dan meningkatkan akses ke kawasan tersebut. Syarikat berkenaan menyatakan dalam satu kenyataan berasingan hari ini bahawa ia akan bekerjasama dengan One Kampong Gelam untuk menawarkan pembayaran GrabPay kepada lebih 600 peniaga secara bertahap-tahap.
Selain itu, AR akan diperkenalkan untuk mewujudkan "pengalaman serba interaktif kepada para pengunjung," kerana aplikasi telefon bijak yang menyokong ciri tersebut boleh menunjukkan diskaun yang ditawarkan oleh kedai-kedai berdekatan dalam masa nyata.
Para pelanggan juga boleh memilih barangan yang kemudian dihantar ke destinasi pilihan mereka dengan "mudah dan dimampui", menurut MCI. Para peniaga boleh menggunakan aplikasi telefon bijak yang sama untuk menguruskan pengambilan barangan, menjadualkan penghantaran dan memantau penghantar bagi memastikan penghantaran yang selamat.
Inisiatif-inisiatif tersebut dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini, menurut MCI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.