Skip to main content

Singapura

Perubahan cuti penjagaan anak ambil masa 'sekurang-kurangnya beberapa bulan' untuk dilaksanakan: Indranee Rajah

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan cuti penjagaan anak ambil masa 'sekurang-kurangnya beberapa bulan' untuk dilaksanakan: Indranee Rajah

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah bercakap kepada media mengenai perkembangan Kumpulan Kerja Menetapkan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan di D'Marquee, Downtown East, pada 15 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 06:14PM
SINGAPURA: Perubahan kepada skim cuti penjagaan anak di Singapura akan mengambil masa "sekurang-kurangnya beberapa bulan" untuk dilaksanakan sedang pemerintah menyediakan pindaan undang-undang dan memperincikan pelaksanaannya bersama majikan serta kesatuan sekerja.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum tambahan cuti penjagaan anak dapat dilaksanakan.

Ini termasuk pindaan kepada Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak, yang memerlukan masa untuk diluluskan.

Cik Indranee, yang mempengerusikan Kumpulan Kerja Menetapkan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan antara agensi, berkata demikian dalam wawancara radio CNA938 yang disiarkan pada Rabu (2 Sep).

Menurutnya, isu berkaitan pelaksanaan juga perlu diperincikan bersama majikan, kesatuan sekerja dan ibu bapa.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos bahawa setiap ibu atau bapa akan menerima lapan, 10 atau 12 hari cuti setahun, masing-masing jika mereka mempunyai seorang, dua atau sekurang-kurangnya tiga orang anak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Pada masa ini, setiap ibu atau bapa diberikan enam hari cuti setahun jika mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah, atau dua hari setahun jika anak mereka berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

PEMERINTAH TANGGUNG KOS CUTI TAMBAHAN

Ditanya mengenai kebimbangan bahawa cuti tambahan itu boleh meningkatkan beban kerja majikan dan pekerja yang tidak mempunyai anak, Cik Indranee berkata keadaan tenaga kerja di tempat kerja secara umumnya "sangat ketat".

"Jika seorang pekerja tiada, orang lain perlu mengambil alih dan menanggung beban kerjanya, atau anda perlu mencari seseorang untuk menggantikannya," katanya.

Menurut Cik Indranee, pemerintah sudah mengambil langkah pertama dengan menanggung kos cuti penjagaan anak tersebut.

Ini bermakna majikan mempunyai dana tambahan yang boleh digunakan untuk membayar pekerja lain yang mengambil alih tugas ibu atau bapa yang sedang bercuti, atau menggajikan pekerja lain sebagai pengganti.

Namun, beliau mengakui pelaksanaan tambahan cuti penjagaan anak "lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan".

Ini kerana pindaan kepada Akta Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak perlu dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan Parlimen sebelum undang-undang yang dipinda boleh berkuat kuasa.

Sistem IT juga perlu dikemas kini untuk menjejak ibu bapa yang mengambil cuti penjagaan anak dan memastikan majikan menerima bayaran balik yang tepat.

"Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan ... perkara-perkara ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan kami akan mengumumkan tarikh permulaan sebaik sahaja dapat berbuat demikian," kata Cik Indranee.

Sementara itu, beliau menggesa pekerja supaya memberikan notis secukupnya kepada majikan sebelum mengambil cuti, sama ada untuk menjaga anak atau ibu bapa yang sudah berusia.

Majikan pula perlu mempunyai rancangan luar jangka sebagai sebahagian daripada dasar sumber manusia mereka, termasuk aturan perkongsian kerja atau kerja fleksibel.

BAGAIMANA PAKEJ HAMPIR S$70,000 DITENTUKAN

PM Wong turut mengumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa setiap anak warga Singapura akan menerima hampir S$70,000 dalam sokongan kewangan langsung sehingga mereka berusia 17 tahun.

Jumlah itu termasuk Hadiah Tunai Bonus Bayi S$10,000, tokokan ke Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA), Kredit Kanak-Kanak S$2,000 setahun sehingga anak berusia 16 tahun serta tokokan S$10,000 ke Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).

Cik Indranee berkata pemerintah mengambil kira "kos penting yang lazimnya ditanggung keluarga apabila seorang anak membesar" ketika menentukan saiz pakej tersebut.

Ia termasuk perbelanjaan bagi makanan, utiliti, penjagaan kesihatan, prasekolah dan pendidikan.

Menurutnya, matlamat pakej itu bukan untuk menampung setiap perbelanjaan keluarga tetapi memberikan sokongan tambahan bagi mengurangkan kos keperluan asas sambil memastikan langkah tersebut mampan dari segi fiskal.

KREDIT KANAK-KANAK MULA DIBAYAR APRIL 2027

Kanak-kanak yang lahir pada 2026 akan menerima keseluruhan pakej dan semua komponennya.

Mereka yang lahir antara 14 Februari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan masih menerima bayaran Hadiah Tunai Bonus Bayi di bawah skim sedia ada pula akan menerima tokokan sehingga jumlah keseluruhan hadiah tunai itu mencapai S$10,000.

Kredit Kanak-Kanak akan diberikan setiap tahun pada hari lahir anak.

Namun, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memerlukan masa untuk mengemas kini sistemnya dan beralih daripada skim Bonus Bayi dan Keluarga Besar. Oleh itu, pembayaran hanya akan bermula pada April 2027.

Kanak-kanak yang layak akan menerima Kredit Kanak-Kanak bagi 2026 secara retrospektif selewat-lewatnya pada 30 April 2027.

Mereka yang menyambut hari lahir antara Januari dengan April akan menerima kredit bagi 2027 selewat-lewatnya pada 30 April 2027, manakala mereka yang lahir antara Mei dengan Disember akan menerimanya pada hari lahir masing-masing.

"MSF akan memaklumkan keluarga pada masa yang sesuai, jadi anda tidak perlu melakukan apa-apa buat masa ini," kata Cik Indranee.

Beliau menegaskan bahawa pakej hampir S$70,000 itu merupakan langkah sokongan dan bukan insentif untuk menggalakkan rakyat mempunyai anak.

Menurutnya, keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk kos, aspirasi peribadi, masa bersama anak dan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan.

Pemerintah mahu memastikan rakyat Singapura yang ingin berkahwin dan mempunyai anak berasa yakin bahawa mereka akan menerima sokongan yang diperlukan.

Usaha lain masih dijalankan, termasuk mempertingkat peluang mencari pasangan, meningkatkan kesuburan dan kesihatan ibu serta mengubah norma dan budaya di tempat kerja.

Dalam jangka panjang, Cik Indranee berkata pemerintah berharap langkah-langkah tersebut akan menyumbang kepada peningkatan kadar kesuburan keseluruhan Singapura.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita