Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan boleh suntik kesegaran dalam PAP, tampilkan calon baharu lebih awal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan pentingnya untuk membawa pembaharuan dalam parti termasuk menampilkan calon-calon baharu yang berwibawa dalam ucapannya di Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad (24 Nov).

Ini kerana menurutnya, taruhan dalam Pilihan Raya Umum akan datang, lebih tinggi.

Dengan keinginan untuk lebih banyak suara pembangkang, PM Wong berkata negara berdepan dengan risiko lebih besar bagi kehilangan pemerintah yang stabil, kukuh dan baik.

Beliau turut mengingatkan kader parti bahawa tiada jaminan PAP akan menang dan membentuk pemerintah yang stabil.

Lantaran itu, PM Wong berkata PAP perlu bekerja keras untuk meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura.

Ini disokong beberapa anggota parti yang ditemui di persidangan ini.

"Pilihan raya yang akan datang ini bagi saya adalah satu noktah penting tanda penting bagi kita di mana bukan sahaja kita harus mendapatkan kepercayaan atau mandat daripada rakyat untuk terus memerintah Singapura kerana ini adalah satu pilihan raya yang genting dan penting untuk masa depan Singapura," kongsi Pengerusi Bersama MAB Muda, Zhulkarnain Abdul Rahim.

Bagi Pengerusi Cawangan PAP Bukit Batok East, Rahayu Mahzam pula, "PM menerangkan peri pentingnya untuk kita terus kekalkan satu macam stabiliti dalam pucuk pimpinan kerana itu adalah sesuatu yang penting untuk negara kita. Jadi ini bukan keputusan yang boleh diambil ringan. Ianya satu keputusan yang harus difikirkan dengan secara mendalam kerana ia penting untuk masa depan negara kita."

SEGARKAN PENDEKATAN PAP; BAWA MASUK CALON SEAWAL MUNGKIN

Dengan taruhan yang lebih tinggi untuk Pilihan Raya Umum yang seterusnya, PM Wong berkata penting untuk melakukan perubahan dalam parti.

Ini bagi menyegarkan semula pendekatan PAP dalam melakarkan laluan baharu bagi negara.

Ini antaranya membawa masuk calon-calon baharu seawal mungkin untuk membentuk kepimpinan terbaharu untuk Singapura.

Antara wajah baharu yang sudah ditampilkan dalam Persidangan PAP tahun lalu termasuk pensyarah universiti Profesor Madya Elmie Nekmat, konsultan pakar bedah ortopedik Dr Hamid Razak dan usahawan Chua Wei-Shan.

Sejak itu, Dr Elmie aktif di GRC Sengkang.

Seterusnya, parti akan terus mencari calon-calon yang sesuai untuk ditampilkan dalam Pilihan Raya akan datang, meskipun ia satu proses yang sukar.

"Ini juga bukan sesuatu pilihan yang boleh dilakukan dengan mudah kerana kita perlu memilih mereka yang sesuai, mereka yang betul-betul hatinya terpacu kepada negara. Dan keprihatinan mereka adalah kepada masyarakat Singapura itu penting," jelas Cik Rahayu, yang juga merupakan Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan.

"Jadi tidak mudah untuk mendapatkan kriteria-kriteria ini semuanya pada satu orang dan kita juga boleh katakan kita mahu orang itu tetapi tidak semestinya orang itu juga mahu melakukan tanggungjawab ini kerana kalau kita lihat mereka yang mungkin berkesan dalam pekerjaan mereka dan telah berjaya biasanya berasa lebih selesa dan mungkin sukar untuk menarik mereka dalam bidang kerja ini kerana ini memerlukan masa, tenaga dan ia merubah kehidupan seseorang itu," tambahnya.

HUBUNGAN SIMBIOTIK PAP DAN NTUC

PM Wong juga menerangkan kepada 3,000 kader parti yang hadir, usaha pemerintah menjaga kebajikan rakyat Singapura terutamanya golongan pekerja.

Ini katanya dicerminkan menerusi hubungan simbiotik antara PAP dengan NTUC.

"Yang paling menarik (dalam ucapan PM Wong) adalah (beliau) memberi kita semangat bahawa hubungan antara NTUC dan PAP akan kekal kuat ataupun kekal maju di masa hadapan," ujar Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.

"Saya rasa mungkin itu diberikan sebagai keyakinan sebab masyarakat waktu ini mungkin cuba nak melagakan antara NTUC dan PAP dan saya rasa ucapan itu memberikan keyakinan pada semua ahli kesatuan yang hadir bahawa hubungan antara NTUC dan PAP tidak akan mudah dicakar ataupun sebagainya," tambah beliau.

Selain isu-isu dalam negara, PM Wong turut menyentuh tentang perkembangan dunia.

Dalam keadaan tidak menentu sekarang, beliau menekankan pentingnya untuk tampil sebagai satu suara bagi meneguhkan lagi kewibawaan Singapura di persada dunia.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan