Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perubahan bekas banduan selepas dibebaskan dorong dua relawan terus berkhidmat

Usaha dan sumbangan relawan dan agensi khidmat sosial (SSA) terhadap pemulihan para banduan diiktiraf di Anugerah Relawan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang diadakan pada Jumaat (18 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Perubahan bekas banduan selepas dibebaskan dorong dua relawan terus berkhidmat

(Gambar: Gopalakrishnan Nair (kiri), Ustazah Nur Faiqah Ramlan (kanan))

SINGAPURA: Usaha dan sumbangan relawan dan agensi khidmat sosial (SSA) terhadap pemulihan para banduan diiktiraf di Anugerah Relawan Jabatan Penjara Singapura (SPS) yang diadakan pada Jumaat (18 Nov). 

Tahun ini, lebih 400 anugerah diberikan kepada para relawan yang sudah berkhidmat sebagai relawan di penjara untuk lebih tiga tahun. 

Para relawan itu menyediakan sokongan agama, akademik dan sosial kepada para banduan, bekas banduan dan keluarga-keluarga mereka. 

TERDORONG LIHAT BEKAS BANDUAN LEBIH POSITIF

Usia bukan penghalang bagi seseorang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Itulah pegangan penerima Anugerah Relawan Jabatan Penjara Singapura (SPS) tahun ini iaitu Encik Gopalakrishnan Nair, 73 tahun. 

''

Encik Krishnan mula menjadi kaunselor relawan dengan Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA) pada usia muda lagi. 

Berbekalkan semangat dan ketekunan pada waktu itu, beliau tetap akui bahawa sebagai seorang relawan muda untuk para banduan dan bekas banduan, banyak cabaran yang perlu beliau hadapi. 

Encik Krishnan berkata: "Sebabkan kita muda, ia sangat sukar untuk berbual dengan mereka. Kita pada waktu itu perlu mengunjungi rumah-rumah bekas banduan dan mereka tidak ingin membuka pintu langsung." 

"Kalau kita jadi sukarelawan di dalam penjara pula, para banduan akan melihat kita seperti harimau yang ingin menerkam kita dan mereka juga akan mengaitkan kita dengan para pegawai berseragam. Jadi sukar untuk kita tukar pandangan mereka terhadap kita pada mulanya," 

Namun, cabaran-cabaran tersebut tidak menjadi penghalang untuk Encik Krishnan terus menjadi kaunselor relawan di penjara. Malah, beliau mengambil iktibar daripada pengalamannya untuk menjadi relawan yang lebih baik. 

"Sekarang, semenjak saya meningkat usia, pandangan dan pendekatan saya sendiri terhadap relawan juga berubah. Saya sebagai relawan tidak boleh bersifat memerintah kepada para banduan. Itu tidak akan membantu mereka langsung."

"Saya perlu bersifat lebih berwibawa dan seakan-akan menjadi seperti mereka. Barulah mereka akan lebih terbuka untuk berbual tentang masalah mereka, dan saya boleh cuba membantu," ujar Encik Krishnan. 

Meskipun usianya sudah menjangkau lebih 70 tahun, belum terdetik lagi di dalam benak fikiran Encik Krishnan untuk terus menjadi relawan di penjara. 

"Ikatan yang sudah terjalin dengan para banduan, melihat mereka berubah menjadi insan lebih baik membuat pengalaman ini sangat berbaloi. Saya sudah melihat bekas banduan daripada penjara maksimum kini mempunyai pekerjaan, menjalani kehidupan bahagia bersama keluarga dan ada juga yang berbakti kembali kepada masyarakat," kata Encik Krishnan.

Antara harapan Encik Krishnan untuk masyarakat adalah untuk menghapuskan stigma terhadap golongan banduan dan bekas banduan. 

"Stigma terhadap mereka bermula dengan keluarga. Apabila keluarga bekas banduan menerima sokongan daripada keluarga mereka, mereka akan lebih gigih untuk mengubah kehidupan untuk diri mereka dan masyarakat," ujar Encik Krishnan.

Encik Krishnan merupakan antara 27 penerima Anugerah Perkhidmatan Lama (15 tahun) di Majlis Anugerah Relawan SPS tahun ini. 

RELAWAN INGIN KEMBANGKAN KUKIKULUM UNTUK BANDUAN WANITA MUSLIM

Sejak tiga tahun lalu, Ustazah Nur Faiqah Ramlan, 28 tahun, mula menyumbang tenaga sebagai kaunselor agama kepada para banduan wanita menerusi badan FITRAH.

Dalam masa tiga tahun itu juga, sudah banyak pengalaman yang diraih Ustazah Faiqah, yang mendorong beliau untuk terus menjadi relawan di penjara. 

''

"Saya sudah bertemu dengan ramai banduan wanita di penjara. Kita sudah menjalin hubungan yang rapat. Pada sesi pertama saya juga, saya sudah berasa senang hati bertemu dengan mereka kerana mereka menerima saya dan sehingga kini, mereka tidak sabar untuk sesi kaunseling setiap minggu," kata Ustazah Faiqah. 

Ustazah Faiqah antaranya berbincang dengan para banduan tentang ayat-ayat Al-Quran dan bagaimana untuk mengaitkannya dengan kehidupan mereka, sekali gus membantu mereka dalam kehidupan selepas dibebaskan dari penjara. 

Selain berkhidmat sebagai selama dua jam setiap hari Sabtu, Ustazah Faiqah juga menjadi anggota pembentukan kurikulum untuk sesi kaunseling para banduan. 

Memandang ke hadapan, Ustazah Faiqah berharap untuk terus berkhidmat dan menyokong golongan banduan wanita. 

"Sekarang ini, komitmen saya hanya seminggu sekali. Tetapi kalau diberi peluang, saya harap saya boleh menjalankan program-program lain untuk para banduan selagi saya mampu. Saya juga ingin terus memperbaiki kurikulum untuk para banduan wanita Muslim di penjara agar mereka akan dapat kehidupan lebih baik apabila dibebaskan kelak," kata Ustazah Faiqah. 

Atas usaha relawan bersama FITRAH, Ustazah Faiqah menerima Anugerah Perkhidmatan Lama (3 tahun) di Majlis Anugerah Relawan SPS tahun ini. 

Ustazah Faiqah berkata: "Saya sangat bersyukur kerana diiktiraf atas usaha saya. Perjalanan saya di sini masih baru dan saya masih boleh mempelajari lebih banyak lagi daripada para relawan yang lebih mapan."

Beliau ialah antara lebih 200 sukarelawan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Lama (3 tahun) SPS.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan