Skip to main content

Singapura

Pertunjukan Udara S'pura sorot 8 acara terbang lalu; penstriman langsung buat tontonan awam

Pertunjukan Udara Singapura tahun ini akan menampilkan lapan pertunjukan udara dan terbang lalu melibatkan empat angkatan udara serta dua syarikat komersil. Demikian didedahkan oleh penganjurnya, Experia, pada Isnin (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pertunjukan Udara S'pura sorot 8 acara terbang lalu; penstriman langsung buat tontonan awam

Jet pejuang F-15SG RSAF dan helikopter gempur AH-64D Apache di Pertunjukan Udara Singapura pada 2020. (Gambar fail: Ngau Kai Yin)

Diterbitkan : 07 Feb 2022 05:42PM Dikemas Kini : 07 Feb 2022 05:56PM

SINGAPURA: Pertunjukan Udara Singapura tahun ini akan menampilkan lapan pertunjukan udara dan terbang lalu melibatkan empat angkatan udara serta dua syarikat komersil. Demikian didedahkan oleh penganjurnya, Experia, pada Isnin (7 Feb).

Pertunjukan udara itu, bakal diadakan dari 15 hingga 18 Februari di Pusat Pameran Changi tanpa dibuka kepada lawatan orang awam, akan menyiarkan pertunjukan udara melalui penstriman langsung.

Ini termasuk penampilan sulung oleh pesawat tempur ringan Angkatan Tentera Udara India atau Tejas, menurut Experia. Ia menambah persembahan jet tunggal itu akan memaparkan "aksi dan gerakan yang menakjubkan".

Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan kembali tahun ini dengan membuat dua persembahan, menampilkan sepasang helikopter gempur AH-64D Apache serta aerobatik solo oleh jet pejuang F-16C.

Jet pejuang F-35B Lightning II oleh Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS) - model jet pejuang selinap di mana RSAF sudahpun bersetuju untuk membelinya - akan membuat penampilan sekali lagi. Jet B-52 Stratofortress oleh Angkatan Tentera Udara AS akan mengambil bahagian dalam satu acara terbang lalu.

Pasukan Aerobatik Jupiter Indonesia - dikenali sebagai The Jupiters - juga akan muncul kembali selepas tampil dalam edisi 2018 pertunjukan udara itu. Kali ini, ia akan "memukau" penonton dengan formasi enam pesawatnya dan penerbangan jitu.

Pemerhati pesawat komersil boleh menjangkakan untuk menyaksikan pertunjukan terbang lalu oleh A350-1000 Airbus dan pesawat berbadan lebar Boeing, B777-9.

Pertunjukan udara itu akan diadakan sekali sehari pada 15 Februari , pukul 12.30 tengah hari, dan dari 16 hingga 18 Februari, jam 11.30 pagi.

Penstriman langsung untuk tontotan awam boleh diakses melalui laman Facebook "Singapore Airshow" ataupun melalui lelaman ini.

Pertunjukan Udara Singapura dijangka akan diadakan pada skala kecil buat kali kedua sejak pandemik COVID-19 melanda, dengan kawalan kesihatan ketat bagi pelawat perdagangan dan kurangnya hari yang dibuka kepada warga tempatan berpotensi menjejas kehadiran penonton.

Cabaran menganjurkan pertunjukan udara dwitahunan ini mencerminkan kesulitan perjalanan sejagat yang menyebabkan industri penerbangan Asia bergelut untuk bangkit semula selepas dua tahun dilanda pandemik.

Sekitar 360 syarikat, termasuk pemain utama industri seperti Airbus, Boeing dan Lockheed Martin dijangka mengambil bahagian dalam Pertunjukan Udara Singapura. Jumlah itu merosot berbanding 930 peserta pada 2020, menurut laman pertunjukan udara tersebut.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita