Skip to main content

Singapura

Pertunjukan Udara SG 2026 bakal tampilkan 8 persembahan, papar F-35A tentera udara Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Pertunjukan Udara SG 2026 bakal tampilkan 8 persembahan, papar F-35A tentera udara Australia
Pertunjukan Udara Singapura 2026 akan berlangsung dari 3 Februari hingga 8 Februari. (Gambar: Singapore Airshow)
Diterbitkan : 23 Jan 2026 05:37PM Dikemas Kini : 23 Jan 2026 06:01PM
  • Pertunjukan Udara Singapura berlangsung dari 3 hingga 8 Februari, menampilkan lapan persembahan udara oleh enam tentera udara dan dua syarikat komersil.
  • Jet pejuang F-35A Australia dan Su-30MKM Malaysia kembali beraksi, bersama pasukan akrobatik dari India, Indonesia dan China serta pasukan bersepadu Singapura.
  • Dua pesawat komersil, Airbus A350-1000 dan COMAC C919, turut membuat persembahan, sementara pameran statik mempamerkan lebih 35 pesawat pelbagai kategori.
  • Tiket hari awam berharga S$39 untuk dewasa dan S$19 untuk kanak-kanak, dengan acara dianjurkan oleh Experia Events untuk menarik peminat dan karyawan industri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Orang ramai akan dapat menyaksikan pelbagai persembahan udara di Pertunjukan Udara Singapura apabila ia kembali dari 3 Februari hingga 8 Februari.

Pertunjukan udara tahun ini akan merangkumi lapan persembahan udara dari enam tentera udara dan dua syarikat komersil.

Jet pejuang F-35A Lightning II Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) juga akan muncul di acara itu buat kali pertama.

Persembahan udara akan menampilkan semula beberapa pasukan akrobatik ketenteraan, termasuk pasukan persembahan helikopter Sarang dari Tentera Udara India, pasukan aerobatik Jupiter dari Tentera Udara Indonesia dan pasukan aerobatik Bayi dari Angkatan Tentera Udara Pembebasan Rakyat.

Jet pejuang Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan membuat persembahan di pertunjukan udara itu buat kali pertama dalam lapan tahun. Su-30MKM sebelum ini pernah dilihat semasa edisi 2016 dan 2018 acara tersebut.

Tahun ini, Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) akan mengambil bahagian dengan pasukan persembahan bersepadu yang menampilkan jet pejuang F-16C dan helikopter Apache.

Dua pesawat komersil juga akan kembali beraksi bagi pertunjukan udara tersebut - A350-1000 Airbus dan C919 COMAC.

Pertunjukan udara akan diadakan sekali dalam sehari semasa hari perdagangan pameran udara dari 3 Februari hingga 5 Februari - pada pukul 12.00 tengah hari pada 3 Februari dan pada pukul 11.00 pagi pada 4 Februari dan 5 Februari.

Semasa hari awam pada 7 Februari dan 8 Februari - dikenali sebagai Weekend@Airshow - persembahan udara akan berlangsung dua kali sehari, pada pukul 11.00 pagi dan 3.30 petang.

Encik Leck Chet Lam, pengarah urusan penganjur acara, Experia Events, berkata: "Pertunjukan udara sentiasa menjadi antara sorotan yang paling dinantikan di Pertunjukan Udara Singapura, dan barisan 2026 mencerminkan sokongan antarabangsa yang kukuh untuk acara itu.

"Kami mengalu-alukan karyawan industri, peminat penerbangan dan orang awam untuk menikmati persembahan udara yang menakjubkan ini."

Pameran udara itu juga akan menampilkan pameran statik yang terdiri daripada lebih 35 pesawat merangkumi platform komersial, perniagaan, ketenteraan dan tanpa pemandu, serta aset ketenteraan dari RSAF, RAAF, Tentera Udara Jerman dan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Tiket untuk hari awam acara tersebut berharga S$39 untuk dewasa dan S$19 untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun, dengan pakej kumpulan yang terdiri daripada empat tiket, dan label tempat letak kereta juga disediakan pada harga S$250.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita