Skip to main content

Singapura

Pertunjukan NDP 2019 pamer patung raksasa singa setinggi 6 meter!

Sebuah patung raksasa singa akan muncul di Padang semasa NDP 2019 pada bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jul 2019 10:24PM Dikemas Kini : 08 Aug 2019 01:11PM

SINGAPURA: Sebuah patung raksasa singa akan muncul di Padang semasa NDP 2019 pada bulan depan.

Patung setinggi enam meter itu adalah prop terbesar dalam sejarah NDP dan bakal memukau para penonton dalam segmen persembahan laser "Singapura Kita".

Patung itu adalah antara salah satu daripada sembilan patung gergasi yang akan sama-sama meraikan ulang tahun Singapura ke-54 tahun ini.

Lapan patung lainnya, masing-masing setinggi 4.2 meter, direka bentuk dalam gaya wayang kulit, menampilkan baju tradisional empat kaum rasmi Singapura. Mereka membuat penampilan dalam bahagian ketiga segmen pertunjukan yang memberi tumpuan kepada "warisan berbilang budaya" yang kaya di Singapura.

Segmen khas "Bicentennial Kita" akan mempamerkan lapan kereta berhias, mewakili sembilan pertubuhan yang ditubuhkan pada tahun-tahun awal Singapura, kurun ke-19. Ia termasuk Hospital Besar Singapura, Pejabat Pos besar dan Briged Bomba Singapura.

Para penonton juga boleh menikmati aksi payung terjun Red Lions yang kembali ke Padang untuk membuat terjunan dari ketinggian 10,000 kaki.

Buat julung-julung kalinya juga, segmen pertunjukan akan menampilkan bilangan peserta belia paling ramai dalam sedekad.

Malah unsur-unsur teknologi turut diterapkan.

Seramai 2,700 peserta berusia antara enam hingga 75 tahun tampil membuat persembahan di tengah Padang pada tahun ini.

85 peratus merupakan golongan belia - bilangan terbesar dalam masa sedekad.

"Persembahan kami bertujuan untuk menyerlahkan nilai-nilai masyarakat. Dan yang pentingnya ia bertujuan untuk menyemarakkan, merangsang dan menggambarkan budaya merentasi beberapa generasi sekali," menurut Pengerusi Sokongan Persembahan, LTC Muhammad Helmi Khaswan.

Setiap babak akan diringi lagu-lagu Hari Kebangsaan yang ikonik selain menerapkan teknologi baru.

Kemuncaknya menampilkan peserta berbilang generasi seperti Cik Pungut Yahya dan cucunya Dahlia, yang akan tampil dalam babak "Sungai Kita".

Cik Pungut Yahya sudah lima kali membuat persembahan dalam NDP.

"Saya rasa menyambut ulang tahun Singapura ini sangat berharga bagi saya jadi saya mahu juga membuat persembahan pada tahun ini. Saya mahu dia merasakan macam mana ghairahnya menyambut hari lahir Singapura," ujar Cik Pungut.

"Saya dapat meluangkan masa bersama nenek saya. Boleh berbual dengan dia dan saya suka menari, jadi saya ikut nenek dalam NDP ini," tambah Dahlia, cucu Cik Pungut.

Tema NDP tahun ini "Singapura Kita" membawa penonton menyusuri kisah-kisah Singapura dalam enam babak.

Para penonton dilibatkan sama menerusi gelang-gelang LED mengikut rentak muzik setiap babak yang menampil lagu-lagu ikonik Hari Kebangsaan.   

Sumber : CNA/RR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita