Pertunjukan bunga api setiap jam semasa Kiraan Detik Singapura Marina Bay 2018
Lebih 350,000 orang dijangka datang ke acara kiraan detik terbesar di Singapura itu, menurut pihak penganjur di sidang media yang diadakan semalam (21 Dis).
Pertunjukan bunga api sewaktu NDP 2015. (Gambar: Hoe Yeen Nie)
SINGAPURA: Pertunjukan bunga api setiap jam dan pelbagai kegiatan diadakan di empat kawasan adalah antara perkara menarik yang boleh anda jangkakan sempena acara Kiraan Detik Singapura Marina Bay 2018.
Lebih 350,000 orang dijangka datang ke acara kiraan detik terbesar di Singapura itu, menurut pihak penganjur di sidang media yang diadakan semalam (21 Dis).
Acara itu, yang diadakan buat tahun ke-13, kali ini diajurkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Tahun ini, orang ramai mungkin akan lebih terpaku dengan bentuk baru pertunjukan bunga api di Marina Bay.
Pertunjukan itu - yang diadakan setiap jam bermula pukul 8.05 malam - adalah selama seminit setiap satu, kecuali yang terakhir tepat pada tengah malam, yang akan berlangsung enam minit lamanya.
Antara kegiatan menarik lain termasuk lebih banyak tempat untuk menyaksikan tayangan lampu-lampu.
Selain di Hotel Fullerton - di mana lampu-lampu menarik ditayangkan pada permukaan bangunan setiap 30 minit mulai 26 Disember sehingga malam Tahun Baru, orang ramai juga boleh berhimpun di Merlion dan kawasan Muzium Art Science.
Lampu-lampu di sana akan ditayangkan mulai 29 Disember.
Acara kiraan detik tahun ini turut menampilkan pelbagai kegiatan di empat hab.
Di Pentas Terapung Marina Bay, di mana orang ramai boleh menikmati pertunjukan bunga api di samping membeli belah.
Di Ruang Acara Promontory dan Bayfront bagi Karnival Marina Bay Prudential dan di kawasan Pusat Bandar yang terletak bersebelahan yang akan dijadikan zon bebas kereta.
Pengarah Pengurusan Tempat URA, Jason Chen, berkata ini bagi memenuhi pelbagai keperluan orang ramai.
Misalnya, muzium-muzium di kawasan Pusat Bandar akan menawarkan beberapa kegiatan dan program dan waktu operasi akan dilanjutkan sehingga tengah malam, kata Encik Chen.
Encik Chen menambah URA sedang bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa lain bagi memastikan keselamatan orang ramai.
"Pelan-pelan yang diperlukan sudah disediakan untuk membolehkan kami mengurus kesesakan orang ramai dengan berkesan. Contohnya untuk menyuraikan orang ramai, kami berharap mereka juga boleh bersabar dan lebih memahami sedang kami mencuba menyuraikan kesesakan itu semua acara selesai."
Secara berasingan, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan beberapa unit sudah dikerahkan bagi acara tersebut.
Ini termasuk Polis Sokongan untuk mengawal kesesakan dan para pegawai dari Pasukan Pengerahan Operasi Khas (SOC), Pasukan Pengerahan Keselamatan Pengangkutan Awam dan Pasukan Respons Kecemasan.
Para pegawai akan mengawal jumlah orang yang memasuki beberapa kawasan.
Sekiranya keadaan menjadi terlalu sesak pula, beberapa pintu keluar di stesen-stesen MRT di sekitar Marina Bay mungkin ditutup dan orang ramai diarahkan ke kawasan lain.
Beberapa kawasan termasuk St Andrew’s Road, Fullerton Road (antara Esplanade Drive dengan Connaught Drive), Connaught Drive dan Bayfront Avenue menghala ke Temasek Avenue juga akan ditutup kepada kenderaan selama semalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.