'Pertumbuhan sihat' dalam jumlah ladang makanan tempatan: Perangkaan Makanan Singapura
SINGAPURA: Singapura menyaksikan "pertumbuhan sihat" dalam jumlah ladang makanan tempatan pada tahun lalu, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laporan pertama Perangkaan Makanan Singapura yang dikeluarkan pada Jumaat (8 Apr).
Jumlah ladang makanan tempatan meningkat kepada 260 pada 2021 berbanding 221 pada 2019.
Memandangkan lebih 90 peratus makanan di Singapura diimport, ladang makanan tempatan memainkan peranan penting sebagai penampan dalam mengurangkan penggantungan kepada sumber import sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan, kata SFA.
Sebagai contoh, ladang ternakan ikan tempatan telah meningkatkan hasil pengeluarannya sepanjang dua minggu Pelabuhan Perikanan Jurong ditutup pada Julai 2021.
Singapura memperuntukkan satu peratus kawasan tanah negara bagi ladang makanan.
Laporan itu juga menarik perhatian terhadap kepelbagaian sumber bekalan makanan Singapura yang meningkat daripada 172 negara dan wilayah pada 2019 kepada 180 pada 2021.
MEMPELBAGAI SUMBER IMPORT
Banyak faktor boleh menjejas bekalan makanan Singapura termasuk perubahan iklim, penularan penyakit, ketidaktentuan geopolitik, pertumbuhan penduduk global dan pandemik sejagat seperti COVID-19, menurut SFA.
Menurut agensi itu lagi Singapura meningkatkan usaha untuk menambah sumber bekalan telur di negara ini sepanjang tiga tahun lalu bagi menangani masalah gangguan bekalan akibat penutupan ladang.
Pada 2021, telur yang diimport dari pelbagai sumber seperti Thailand, Australia, Sepanyol dan Poland menyumbang kepada 18 peratus bekalan telur Singapura, melonjak daripada dua peratus pada 2019.
SFA juga meluluskan 16 negara pengeksport telur ke Singapura, naik daripada 12 negara pada 2019.
Lebih 50 peratus bekalan telur Singapura datang dari Malaysia, menurut laporan itu lagi.
Sumber makanan utama bagi Singapura pada 2021 adalah Australia (sayur dan daging), China (sayur dan buah-buahan), Brazil (daging), Indonesia dan Vietnam (makanan laut), Malaysia (sayur, telur ayam, makanan laut, daging dan buah-buahan), Poland (telur ayam), Afrika Selatan (buah-buahan).
LADANG TEMPATAN
Sebahagian besar sektor agro-makanan Singapura terdiri daripada ladang-ladang yang menghasilkan telur ayam, sayur-sayuran dan makanan laut. Masing-masing menyumbang kepada 30 peratus, empat peratus dan lapan peratus jumlah pemakanan di Singapura.
"Nilai keseluruhan pengeluaran makanan di Singapura dari 2020 hingga 2021, meningkat sebanyak 13 peratus kepada S$163.4 juta daripada S$185.1 juta", menurut SFA.
Hasil pengeluaran telur ayam tempatan pula meningkat lebih tujuh peratus dan dijangka bertambah lagi ekoran pembangunan ladang telur ayam keempat di Singapura.
Apabila beroperasi sepenuhnya pada 202, ladang tempatan akan dapat memenuhi permintaan telur ayam bagi hampir separuh penduduk Singapura, menurut laporan itu.
KESELAMATAN MAKANAN
Sebagai pengawal selia keselamatan makanan Singapura, SFA memastikan keselamatan makanan yang diimport melalui pentauliahan sumber luar negara bagi produk lebih berisiko termasuk daging dan telur.
Ia juga "mengekalkan proses pemeriksaan yang menyeluruh dan berasaskan risiko" untuk memastikan keselamatan makanan di kedai-kedai makanan tempatan.
Laporan mengenai kedai makanan yang tidak mematuhi piawaian pemeriksaan SFA kekal rendah antara 2019 dan 2021 pada kadar purata 3 peratus.
Menurut SFA penyakit berkaitan dengan makanan juga kekal rendah dengan 26 kes bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh tiga tahun lalu.
SFA juga menarik balik 23 makanan pada 2021, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.