Skip to main content

Singapura

Pertumbuhan pekerjaan di SG makin kukuh pada 2025, kadar pemberhentian kerja kekal rendah: Unjuran awal MOM

Pertumbuhan keseluruhan pekerjaan di Singapura adalah lebih kukuh pada 2025 berbanding dengan 2024, dengan jumlah pengangguran dan pemberhentian kerja kekal rendah dan stabil, menurut perangkaan pasaran buruh awal bagi tahun itu yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (29 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
Pertumbuhan pekerjaan di SG makin kukuh pada 2025, kadar pemberhentian kerja kekal rendah: Unjuran awal MOM

Pekerja pejabat melintasi jalan di Daerah Pusat Perniagaan. (Gambar: iStock/3yephotography)

Diterbitkan : 29 Jan 2026 12:01PM Dikemas Kini : 29 Jan 2026 12:20PM
SINGAPURA: Pertumbuhan keseluruhan pekerjaan di Singapura adalah lebih kukuh pada 2025 berbanding dengan 2024, dengan jumlah pengangguran dan pemberhentian kerja kekal rendah dan stabil, menurut perangkaan pasaran buruh awal bagi tahun itu yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (29 Jan).

Keseluruhan pertumbuhan pekerjaan di Singapura pada 2025 adalah 57,300 iaitu lebih tinggi berbanding jumlah pada tahun sebelumnya sebanyak 44,500.

Pertumbuhan pekerjaan penduduk tertumpu pada khidmat kewangan dan kesihatan serta khidmat sosial, menurut MOM.

Pertumbuhan pekerjaan bukan penduduk terus dipacu oleh sektor binaan, sebahagian besar terdiri daripada pemegang permit kerja.

Keseluruhan pertumbuhan pekerjaan pada suku keempat 2025 adalah 19,600.

Walaupun ia lebih rendah berbanding pertumbuhan lebih kukuh daripada dijangkakan sebanyak 25,100 dalam suku ketiga, MOM menyatakan ia kekal lebih tinggi berbanding pertumbuhan pekerjaan pada suku pertama 2025 (2,300 dalam suku pertama dan 10,400 dalam suku kedua).

Pertumbuhan pekerjaan dalam suku keempat juga lebih tinggi berbanding tempoh-tempoh yang sama pada 2024 (7,700) dan 2023 (3,900).

PEMBERHENTIAN KERJA

Kadar pemberhentian kerja pada 2025 kekal rendah pada 1.5 pemberhentian kerja bagi setiap 1,000 pekerja dalam suku keempat 2025, yang dapat dibandingkan dengan kadar 1.6 pada suku ketiga.

Suku keempat menyaksikan 3,600 kakitangan diberhentikan kerja, serupa dengan suku sebelumnya iaitu sebanyak 3,670.

MOM menyatakan jumlah pemberhentian kerja adalah stabil dalam kalangan sektor-sektor utama, dengan sebahagian besar berlaku disebabkan oleh penyusunan semula atau penstrukturan semula perniagaan.

Bagi keseluruhan tahun 2025, kadar berlaku pemberhentian kerja meningkat sedikit kepada 6.2 diberhentikan bagi setiap 1,000 pekerja (14,400) daripada 5.9 diberhentikan bagi seiap 1,000 pekerja (13,020) pada 2024.

Ia sebahagian besar dipacu oleh pemberhentian kerja dalam pengangkutan dan penyimpanan serta khidmat kewangan.

"Peningkatan itu sebahagian besarnya mencerminkan pemberhentian pekerja yang lebih tinggi lebih awal dalam tiga suku pertama 2025 berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang 2025, penyusunan semula atau penstrukturan semula perniagaan kekal sebagai sebab utama bagi pemberhentian kerja," menurut MOM.

KADAR PENGANGGURAN

MOM menyatakan kadar pengangguran secara keseluruhan sebanyak 2.0 peratus pada Disember 2025 sebahagian besar kekal tidak berubah daripada September 2025, yang juga sebanyak 2.0 peratus.

Kadar pengangguran penduduk dan warga Singapura pada Disember 2025 masing-masing adalah 2.9 peratus dan 3 peratus, berbanding 2.8 peratus dan 3.1 peratus pada September.

Kadar pengangguran bagi seluruh tahun kekal rendah pada 2.0 peratus secara keseluruhan, sebahagian bsa serupa dengan trend yang dilihat sepanjang dua tahun lalu dan "mencerminkan kadar pengangguran yang agak stabil sepanjang 2025", menurut MOM.

PROSPEK

Dalam prospeknya bagi suku pertama 2026, MOM menyatakan jangkaan perniagaan mencadangkan pengembangan berterusan pasaran buruh, walaupun di tengah-tengah kewaspadaan terhadap pengambilan pekerja.

Bilangan syarikat yang menjangka untuk menggajikan pekerja baharu dalam tiga bulan akan datang susut sedikit daripada 44.1 peratus pada September kepada 43.3 peratus pada Disember 2025.

"Pada masa yang sama, sejumlah besar firma menjangka untuk menaikkan gaji bagi tempoh yang sama, naik daripada 19.3 peratus kepada 26.4 peratus, sekaligus mencadangkan hasil perniagaan yang lebih baik dan persaingan berterusan bagi buruh dalam bidang tertentu."

"Walaupun peratusan syarikat yang menjangkakan akan membuang pekerja meningkat daripada 2.3 peratus kepada 4.3 peratus bagi tempoh yang sama, jumlah itu masih dianggap rendah. Ini menunjukkan bahawa syarikat hanya melakukan penyusunan semula tenaga kerja mengikut keperluan, bukannya pembuangan kerja secara besar-besaran," tambah kementerian itu.

"Walaupun pasaran buruh terus berkembang dan kekal sengit, majikan dan pekerja harus terus menyesuaikan diri dan melakukan transformasi demi merebut peluang-peluang baharu," menurut MOM.

Laporan pasaran buruh bagi suku keempat 2025 akan diterbitkan pada pertengahan Mac 2026, menurut MOM.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita