Skip to main content

Singapura

Pertumbuhan lembap, inflasi terus belenggu dunia selagi isu geopolitik diutamakan dari dagangan bebas

Anggaran Waktu Membaca:
Pertumbuhan lembap, inflasi terus belenggu dunia selagi isu geopolitik diutamakan dari dagangan bebas

DPM Lawrence Wong dan Dr Fareed Zakaria di dialog yang diadakan di Pusat Expo dan Konvensyen Sands pada 14 Ogos 2023. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 15 Aug 2023 09:13AM
SINGAPURA: Pertumbuhan yang lembap dan inflasi jangka panjang akan terus membelenggu dunia selagi keprihatinan geopolitik lebih diutamakan daripada perdagangan bebas, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Bercakap lanjut dalam dialog dengan wartawan Fareed Zakaria daripada stesen penyiar Amerika CNN dalam satu sidang pada Isnin (14 Ogos), Encik Wong juga berkata bahawa Singapura bimbang kalau aturan global sedemikian akan menjadi satu bentuk ancaman bagi negara-negara kecil.

Sidang 'Reinventing Destiny' yang berlangsung di Pusat Expo dan Konvensyen Sands di Marina Bay itu dianjurkan sempena ulang tahun ke-100 perdana menteri pengasas Lee Kuan Yew.

Ia dianjurkan oleh Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew dan Institut Kajian Dasar.

Dalam dialog berkenaan, yang akan disiarkan di CNN, Encik Wong menyentuh tentang pelbagai isu termasuk mengenai identiti Singapura, perdagangan global dan hubungan antara China dengan Amerika Syarikat.

Mengenai ekonomi dan perdagangan dunia khususnya, Encik Wong berkata Singapura bimbang tentang bagaimana sistem perdagangan berbilang hala kini "di bawah tekanan hebat".

"Terdapat perubahan dalam konsensus sekitar perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan. Tiada lagi logik saling bergantung kepada satu sama lain seperti waktu dahulu."

Negara-negara pada masa lalu tidak perlu menjadi "rakan" untuk menjalin kerjasama perniagaan dan perlunya bergantung kepada satu sama lain digalakkan untuk mencapai kestabilan lebih baik, tambah Encik Wong.

Beliau seterusnya menyebut tentang "teori keamanan" McDonald's di mana tidak pernah ada satu negara sekalipun perlu berperang untuk mempunyai francais McDonald's.

"Sekarang, 'interdependence' (bergantung kepada satu sama lain) sudah menjadi satu istilah yang buruk. Banyak pihak bimbang kalau perkara itu akan menjadi ancaman dan meletakkan mereka dalam kedudukan mudah terjejas," kata beliau lagi.

Ini menimbulkan risiko keadaan bertukar ekstrem, di mana negara-negara tidak mempunyai pengaruh besar dalam kejayaan satu sama lain.

Apabila hal ini terjadi, akan ada kecenderungan untuk bertindak secara sepihak sehingga ada negara akan lebih berani untuk mengambil pelbagai langkah lebih agresif, tambah Encik Wong.

"Maka itu, kita perlu meneliti bagaimana sistem perdagangan, pelaburan dan kerjasama kita dapat terus diperkukuhkan, sedang (kita) menghuraikan keprihatinan keselamatan negara lain yang munasabah."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita