Skip to main content

Singapura

Pertumbuhan harga flat jualan semula HDB naik kepada 2.9% pada 2025; paling perlahan sejak 2019

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jan 2026 12:59PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 06:09PM
SINGAPURA: Harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat sebanyak 2.9 peratus pada 2025, berbanding 9.7 peratus pada 2024, sekali gus menandakan kadar pertumbuhan harga paling perlahan sejak 2019.

Indeks harga jualan semula HDB, yang mencerminkan naik turun harga secara amnya dalam pasaran jualan semula, kekal hampir tidak berubah pada paras 203.6 pada suku keempat, menurut anggaran awal HDB pada Jumaat (2 Jan). Ia berada pada paras 203.7 pada suku sebelumnya.

Ini merupakan kali pertama harga jualan semula kekal tidak berubah sejak suku pertama 2020.

“Ini menyusuli pertumbuhan harga yang semakin perlahan bagi flat jualan semula selama empat suku berturut-turut,” kata HDB dalam kenyataan medianya.

“Secara khusus, tiga suku terakhir 2025 mencatat pertumbuhan harga bawah 1 peratus.”

Jumlah urus niaga jualan semula pada suku keempat tahun ini ialah 5,129, iaitu penurunan 18.8 peratus berbanding 6,314 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ia merupakan suku kedua berturut-turut yang mencatat penurunan dua angka dari segi jumlah tahun ini berbanding tempoh tahun sebelumnya, bagi jumlah urus niaga jualan semula, kata HDB.

Sementara itu, jumlah keseluruhan urus niaga jualan semula bagi seluruh tahun sehingga 30 Disember 2025 ialah 26,042, iaitu penurunan 9.8 peratus berbanding 28,876 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kali terakhir jumlah urus niaga jualan semula tahunan turun adalah pada 2023, apabila ia jatuh sebanyak 4.2 peratus berbanding 2022 - kurang daripada separuh kadar penurunan sedia ada.

PANDANGAN PENGANALISIS

Para penganalisis hartanah menjangkakan kadar pertumbuhan harga jualan semula akan terus menyederhana pada 2026 berbanding tahun sebelumnya, memandangkan bekalan besar flat yang mencapai Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) dijangka meningkatkan bekalan.

“Dianggarkan 13,484 flat dijangka mencapai MOP pada 2026, hampir dua kali ganda jumlah pada 2025,” kata ketua penyelidikan dan analitik data Singapore Realtors Inc, Mohan Sandrasegeran.

“Kumpulan yang besar ini berkemungkinan memperkenalkan lebih banyak flat yang lebih baharu ke dalam pasaran jualan semula, memberikan pembeli lebih banyak pilihan dengan baki tempoh pajakan yang lebih panjang serta meredakan kekangan bekalan yang dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Ketua Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Eugene Lim, berkata urus niaga jualan semula HDB dijangka berada dalam lingkungan 26,000 hingga 27,000 unit pada tahun depan.

Pengarah Kanan Analitik Data Huttons Asia, Lee Sze Teck, berkata bekalan flat BTO yang lebih rendah pada 2026 dan 2027 mungkin tidak dapat memenuhi permintaan, sekali gus mendorong sebahagian pembeli ke pasaran jualan semula HDB.

Namun, peningkatan bilangan flat yang mencapai MOP lima tahun pada 2026 akan memberi pembeli lebih banyak pilihan, sekali gus menstabilkan pasaran jualan semula HDB.

Ketua Penyelidik dan Strategi di Realion (OrangeTee & ETC) Group, Christine Sun, berkata jangkaan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih rendah, pertumbuhan pendapatan yang sihat serta tambahan bilangan penduduk mungkin meningkatkan permintaan.

“Peningkatan urus niaga flat premium dijangka berlaku, memandangkan lebih banyak flat jualan semula di estet matang akan mencapai MOP pada 2026,” katanya.

“Kesemua faktor ini berkemungkinan mengurangkan kesan lonjakan bekalan terhadap pasaran dan membantu mengelakkan penyesuaian harga yang ketara.”

“Kami menjangkakan harga jualan semula flat HDB meningkat antara 2 hingga 4 peratus bagi keseluruhan tahun 2026, sejajar dengan 2.9 peratus pada 2025 tetapi lebih rendah daripada purata 10 tahun sebanyak 5.1 peratus dari 2016 hingga 2025,” tambahnya.

PROSPEK

HDB akan melancarkan kira-kira 4,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh pada Februari.

Ia juga akan menjalankan secara serentak Jualan Baki Flat (SBF) yang melibatkan kira-kira 3,000 unit.

“Pemerintah akan terus memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyelaraskan dasar-dasarnya jika perlu bagi menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan,” kata HDB.

“Memandangkan prospek makroekonomi tidak menentu, isi rumah perlu terus berhemat apabila membeli hartanah dan memohon pinjaman perumahan.”
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita