Skip to main content

Singapura

Pertukaran pekerjaan berkurangan, khususnya dalam kalangan pekerja berusia 20-an: MOM

Nisbah pekerja dalam kalangan penduduk yang bertukar pekerjaan dalam setahun lalu turun kepada 6.2 peratus, berbanding 7.6 peratus pada 2024, menurut data terkini tenaga buruh yang dikeluarkan pada Jumaat (28 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Pertukaran pekerjaan berkurangan, khususnya dalam kalangan pekerja berusia 20-an: MOM
Kadar pertukaran pekerjaan dalam kalangan penduduk turun ke paras terendah sejak 2018. (Gambar: CNA/Raj Nadarajan)
SINGAPURA: Nisbah pekerja dalam kalangan penduduk yang bertukar pekerjaan dalam setahun lalu turun kepada 6.2 peratus, berbanding 7.6 peratus pada 2024, menurut data terkini tenaga buruh yang dikeluarkan pada Jumaat (28 Nov).

Ia merupakan kadar terendah sejak 2018, semasa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mula mengukur pergerakan pekerjaan dalam tempoh setahun.

MOM menyatakan, penurunan ini mungkin menunjukkan pekerja lebih berhati-hati di tengah ketidakpastian global, walaupun ia selari dengan keadaan pasaran buruh yang kembali normal selepas pandemik.

“Ini sebahagian daripada corak penurunan bertahap-tahap sejak tiga tahun kebelakangan ini, apabila kadar pertukaran pekerjaan memuncak pada 2022 dalam pasaran buruh yang lebih ketat susulan pembukaan semula perniagaan pasca COVID.

“Penurunan dari segi pergerakan pekerjaan juga mungkin mencerminkan sikap lebih berhati-hati dalam kalangan pekerja susulan ketidaktentuan luar pada tahun ini,” menurut MOM dalam keluaran awal laporan tenaga buruhnya.

Kemerosotan itu dapat dilihat merentasi semua kumpulan umur tetapi paling ketara dalam kalangan mereka yang berusia antara 25 hingga 29 tahun, yang turun sebanyak dua mata peratusan kepada 11.7 peratus. Kumpulan umur berkenaan kekal sebagai yang paling berkemungkinan bertukar pekerjaan.
Related article image
Menurut MOM, para pekerja muda tersebut cenderung bertukar pekerjaan dengan lebih kerap berbanding kumpulan umur yang lebih tua kerana mereka sedang meneroka pilihan kerjaya yang tersedia.

“Ini menunjukkan bahawa meskipun mereka lebih terbuka kepada peluang dan mudah bergerak, mereka lebih sensitif terhadap kitaran pengambilan pekerja. Sikap lebih berhati-hati dalam kalangan majikan boleh menyumbang kepada mobiliti lebih rendah dalam kalangan pekerja muda pada 2025,” menurut kementerian itu.

Kemerosotan dari segi pertukaran pekerjaan turut disertai penurunan aktiviti mencari kerja, dengan nisbah pekerja dalam kalangan penduduk yang bekerja tetapi aktif mencari pekerjaan baharu menurun kepada 6.2 peratus tahun ini daripada 7.3 peratus pada 2024.

Pertukaran pekerjaan turun dalam kebanyakan sektor, khususnya dalam sektor penginapan, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta perdagangan runcit. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kadar pengekalan kakitangan yang lebih baik dan kebergantungan yang lebih rendah terhadap tenaga kerja, menurut MOM.

Pertukaran pekerjaan juga berkurangan dalam sektor yang berorientasi luaran seperti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional, yang lazimnya mempunyai pertukaran pekerjaan yang tinggi, menurut kementerian tersebut.

“Meskipun sektor-sektor ini lazimnya menawarkan pakej pampasan yang lumayan untuk menarik dan mengekalkan pekerja, pergerakan pekerjaan dalam sektor ini mungkin turun pada 2025 berikutan beberapa penyusunan semula tenaga kerja berprofil tinggi dan sentimen pengambilan pekerja yang lebih berhati-hati dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” menurut laporan berkenaan.

Kementerian itu menambah bahawa bagi para pekerja sepenuh masa yang bertukar pekerjaan, enam daripada 10 menikmati pertumbuhan pendapatan sebenar, menunjukkan peluang bagi penambahbaikan masih wujud.

Ketidaktentuan ekonomi global kekal pada tahun ini susulan tindakan tarif Amerika Syarikat dan peningkatan risiko geopolitik. Singapura sudah menubuhkan satu pasukan petugas ketahanan ekonomi bagi menangani kesan ketegangan perdagangan.

Laporan itu turut mendapati bahawa nisbah pekerja Singapura yang memegang pekerjaan tetap mencapai paras tertinggi pada 2025, tetapi kadar penyertaan tenaga buruh penduduk terus menurun untuk tahun keempat berturut-turut.

PEKERJAAN SENDIRI DAN PEKERJA PLATFORM

Nisbah pekerja sendiri, termasuk pekerja platform, kekal rendah pada 11.8 peratus pada 2025. Angka ini merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan lonjakan pengambilan pekerja pasca pandemik menarik lebih ramai pekerja untuk beralih kepada pekerjaan tetap, menurut MOM.

Bilangan penduduk yang bekerja sendiri sebagai pekerjaan utama meningkat daripada 169,000 pada 2024 kepada 179,200 tahun ini.

Sebahagian besar daripada mereka memilih kerja sendiri kerana lebih menyukainya. Nisbah bagi golongan tersebut meningkat kepada 95.5 peratus tahun ini, iaitu paras tertinggi sejak 2016.

Fleksibiliti masa dan lokasi kerja, kebebasan memilih kerja dan kawalan lebih besar terhadap kerjaya menjadi antara sebab paling popular bagi mereka yang memilih untuk bekerja sendiri.

Sebaliknya, bilangan pekerja yang melakukan kerja sendiri di samping pekerjaan utama mereka menurun daripada 32,100 pada 2024 kepada 29,000 tahun ini.

Bilangan pekerja platform meningkat kepada 71,600 tahun ini, naik daripada 67,200 pada 2024. Mereka membentuk 2.9 peratus daripada jumlah penduduk yang bekerja - setara dengan paras pada 2023 dan sebelum pandemik, menurut MOM.

Peningkatan itu didorong oleh pemandu kereta privet, yang membentuk lebih separuh daripada pekerja platform, mencerminkan permintaan yang lebih kukuh terhadap perkhidmatan mereka. Bilangan pemandu teksi dan pekerja penghantaran kekal stabil.

Nisbah pekerja sendiri yang berdepan cabaran menurun daripada 66 peratus pada 2016 kepada 18.2 peratus tahun ini, meskipun terdapat peningkatan semasa pandemik.

Ini mencerminkan usaha berterusan pemerintah dan rakan kongsi tiga pihak untuk menangani isu utama seperti penjagaan kesihatan, persaraan, pertikaian bayaran dan kehilangan pendapatan akibat kecederaan akibat pekerjaan, termasuk melalui Akta Pekerja Platform, menurut MOM.

Ketidaktentuan untuk mendapatkan pekerjaan kekal sebagai cabaran utama yang dihadapi sembilan peratus pekerja sendiri, diikuti kekurangan kerja yang mencukupi serta isu berkaitan penjagaan kesihatan dan persaraan.

Tinjauan Tenaga Kerja Komprehensif MOM mengumpulkan data daripada 33,000 isi rumah, dengan kadar maklum balas keseluruhan pada 86.8 peratus.

Kementerian itu juga meninjau 3,363 penduduk sebagai sebahagian daripada tinjauan tambahan bagi pekerja sendiri, dengan 92.5 peratus memberikan maklum balas.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita