Skip to main content

Singapura

Pertukaran lancar, ketersambungan, harapan utama penumpang: Tinjauan LTA

Jarak antara stesen perhentian bas dengan stesen MRT serta kelancaran menukar perjalanan adalah aspek terpenting yang perlu dipertimbangkan dalam merancang sistem pengangkutan darat. Demikian hasil maklum balas yang dikumpulkan dari penumpang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Nov 2018 07:01PM Dikemas Kini : 25 Nov 2018 09:16PM

SINGAPURA: Jarak antara stesen perhentian bas dengan stesen MRT serta kelancaran menukar perjalanan adalah aspek terpenting yang perlu dipertimbangkan dalam merancang sistem pengangkutan darat. Demikian hasil maklum balas yang dikumpulkan dari penumpang.

Rakyat Singapura yang ditinjau juga mahu sebuah sistem pengangkutan darat yang memudahkan akses ke tempat kerja, kediaman dan untuk beriadah. Itulah antara maklum balas awam yang diterima oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berhubung pelan induknya, yang akan membentuk masa depan pengangkutan darat sehingga 2040.

LTA sedang mengumpul maklum balas bagi tiga tema iaitu: Bagaimana untuk menjadikan pengangkutan awam (termasuk mobiliti aktif dan perkongsian kenderaan) satu pilihan perjalanan yang digemari, menjadikan pengangkutan awam lebih inklusif dan bagaimana pengangkutan awam boleh meningkatkan mutu kehidupan para penumpang.

LTA menyatakan pihaknya sudah menerima lebih 5,000 maklum balas sejak ia dikumpulkan pada Ogos lalu menerusi tinjauan online, gerai-gerai yang disediakan di hab-hab masyarakat dan perbincangan kumpulan fokus.

PENUMPANG SEDIA LAKUKAN PERJALANAN LEBIH JAUH

Satu dapatan yang tidak dijangka oleh pihak berkuasa pengangkutan adalah para responden bersedia melakukan perjalanan lebih jauh selagi perjalanan itu lebih menyenangkan.

"Orang ramai membangkitkan beberapa perkara - boleh kami disediakan Wi-Fi, boleh kami alami perjalanan lebih selesa supaya saya boleh lakukan sesuatu seperti mendengar 'podcast', membaca emel, berhubung dengan rakan-rakan," kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Janil Puthucheary hari ini (25 Nov) di satu gerai mengumpul maklum balas di luar Waterway Point di Punggol.

"Jika ia mudah dilakukan dan dapat menawarkan pengalaman yang menyenangkan, para penumpang bersedia jika perjalanan mengambil lebih lama sedikit."

Sekitar enam daripada setiap 10 orang mengatakan bahawa menyediakan pilihan perjalanan berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain adalah penting supaya mereka boleh membuat keputusan berdasarkan jumlah pertukaran dan tempoh perjalanan.

BERSIFAT LEBIH BAIK BUDI

Hampir semua individu yang memberikan maklum balas di hab-hab masyarakat mengatakan bahawa mereka ingin melihat para penumpang bersikap lebih baik budi.

Mereka bersetuju bahawa para penumpang sendiri memainkan peranan dalam mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih baik.

Para penumpang juga berkata adalah penting untuk penggunaan lif di stesen-stesen MRT diutamakan bagi mereka yang lebih memerlukannya. Para penumpang juga menyarankan agar para kakitangan pengangkutan awam dilatih dengan lebih baik bagi membantu penumpang yang berkeperluan khas.

Setakat ini, tiga perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan 145 peserta sudahpun diadakan. Perbincangan keempat bakal berlangsung pada Januari depan.

Tinjauan online pula akan ditutup pada 31 Disember ini. Menyusuli itu, saranan-saranan mengenai pelan induk tersebut akan dikemukakan kepada pemerintah menjelang awal 2019. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita