Skip to main content

Singapura

Pertubuhan wanita Melayu SG baharu bakal dilancarkan, perkasa wanita dalam pelbagai aspek

Anggaran Waktu Membaca:
Pertubuhan wanita Melayu SG baharu bakal dilancarkan, perkasa wanita dalam pelbagai aspek

Presiden Ikon Singapore (IkonSG), Cik Fadilah A. Majid. (Gambar: Fadilah A. Majid)

SINGAPURA: Sebuah pertubuhan wanita Melayu Singapura baharu bertujuan memperkasa wanita dalam pelbagai aspek melalui platform yang lebih inklusif dan menyeluruh bakal dilancarkan Jumaat ini (24 Okt).

Ikon Singapura (IkonSG) akan dilancarkan di satu acara jamuan minum petang berjudul ‘Bloom Where You Are' - satu acara perkongsian, sokongan dan kekuatan oleh wanita, untuk wanita di De Villa, Serangoon Road.

Menurut Presiden IkonSG, Cik Fadilah A. Majid, IkonSG “lahir daripada semangat untuk meneruskan perjuangan memperkasa wanita di pelbagai peringkat kehidupan.”

"Penubuhan Ikon Singapura pada masa ini juga bertepatan dengan keperluan semasa - ramai wanita sedang mencari ruang untuk belajar, berkembang, dan membina rangkaian sokongan di tengah-tengah cabaran ekonomi, digitalisasi, serta peranan berganda yang mereka pikul," kongsi Cik Fadilah dalam satu jawapan bertulis kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Cik Fadilah sebelum ini menggalas peranan sebagai Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) serta Pengerusi sayap wanita DPPMS iaitu Dewi@DPPMS, sebelum menamatkan tempoh perkhidmatannya pada April lalu.

"Selepas lebih sedekad terlibat dalam memimpin Dewi@DPPMS, saya dan rakan-rakan seperjuangan merasakan sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah platform yang lebih inklusif, merentasi latar belakang, umur dan kerjaya," tambah beliau.

5 TERAS UTAMA IKONSG

Related article image
IkonSG lahir daripada semangat untuk meneruskan perjuangan memperkasa wanita di pelbagai peringkat kehidupan. (Gambar: Ikon Singapura)

IkonSG akan memberi tumpuan kepada lima teras utama: Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Keselamatan dan Perlindungan, serta Tanggungjawab Sosial (CSR).

"Dalam masa terdekat, kami mahu membantu wanita meningkatkan pendapatan melalui keusahawanan dan kemahiran digital, memberi ruang pembelajaran berterusan melalui bengkel, perkongsian ilmu, dan sesi bimbingan, menggalakkan kesedaran tentang kesihatan fizikal, mental dan emosi, serta membangun jaringan sokongan supaya wanita tidak berjuang sendirian," dedah Cik Fadilah, yang juga pengasas Spa Jelita, Hamidah’s Kitchen, dan De Villa.

"Perancangan kami adalah dengan mengadakan program bulanan seperti 'high tea' inspirasi, forum, kolaborasi dengan agensi serta sektor swasta, dan aktiviti kebajikan yang dekat dengan masyarakat," tambah beliau.

Malah, IkonSG juga merupakan kesinambungan semangat yang pernah dibina di bawah Dewi@SMCCI, menurut Cik Fadilah.

"Ramai dalam pasukan pengasas IkonSG dahulu pernah berkhidmat di Dewi. Bezanya, IkonSG kini berdiri sendiri sebagai sebuah kelab wanita yang lebih terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa terikat dengan mana-mana dewan perniagaan. Ia membolehkan kami bergerak lebih bebas, menjangkau lebih ramai wanita, dan menjalankan program yang lebih luas skopnya," ujar beliau.

PENDEKATAN HOLISTIK & RENTAS SEMPADAN; BUKAN HANYA EKONOMI, PENDIDIKAN TETAPI KESEJAHTERAAN MENYELURUH WANITA

Related article image
Presiden Ikon Singapore (IkonSG), Cik Fadilah A. Majid. (Gambar: Fadilah A. Majid)

Di sini, keunikan IkonSG terletak pada pendekatan holistik dan rentas sempadan, membezakannya daripada pertubuhan-pertubuhan memperkasa wanita lain di Singapura.

Cik Fadilah berkata: "Setiap pertubuhan ada keunikannya tersendiri, dan kami menghormati usaha mereka. Apa yang membezakan IkonSG ialah pendekatan holistik dan rentas sempadan. Kami tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek ekonomi atau pendidikan, tetapi merangkumi kesejahteraan menyeluruh wanita - dari segi kesihatan, keselamatan, jaringan sosial hingga peluang keusahawanan.

"Selain itu, kelebihan IkonSG ialah jaringan rentas negara kerana kami bekerjasama rapat dengan Ikon Malaysia. Ini memberi peluang kepada ahli untuk meluaskan pasaran, menimba pengalaman serantau, dan membina keyakinan di pentas yang lebih besar."

Presiden Ikon Malaysia, Normaziah Sheikh Mohamed, atau lebih dikenali sebagai 'Dato' Azie', turut berperanan sebagai penasihat Ikon Singapura.

Beliau merupakan usahawan berjaya yang popular dengan gelaran “The Pipe Lady”, satu-satunya wanita yang menerajui perniagaan dalam sektor sistem paip di Malaysia, serta pengasas bersama jenama kecantikan SimplySiti bersama penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza.

KERJASAMA DENGAN IKON MALAYSIA; PELUANG LEBIH LUAS UNTUK KEMBANGKAN RANGKAIAN, PASARAN, ILMU

Related article image
Presiden Ikon Malaysia, Normaziah Sheikh Mohamed, atau lebih dikenali sebagai 'Dato' Azie', turut berperanan sebagai penasihat Ikon Singapura. (Gambar: Ikon Singapura)

Kerjasama antara IkonSG dengan Ikon Malaysia turut diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU).

"Melalui ikatan ini, kami membuka pintu kepada lebih banyak program bersama seperti pertukaran ilmu, forum serantau, pameran produk, serta sokongan rentas sempadan untuk usahawan wanita. Apa yang boleh dijangkakan ialah peluang lebih luas bagi ahli-ahli di kedua-dua negara untuk mengembangkan rangkaian, pasaran dan ilmu – bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga serantau," ujar Cik Fadilah.

"Kami percaya apabila wanita dari pelbagai negara bergabung tenaga, mereka akan lebih berdaya tahan dan berpengaruh untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat masing-masing," tambahnya.

Antara yang boleh dijangkakan semasa acara minum petang pada Jumaat (24 Okt) termasuk sesi perkongsian 'Wanita dan Kewangan' yang bakal memberi gambaran tentang pemerkasaan kewangan.

Ini selain sesi rangkaian yang menyediakan platform untuk para hadirin membina hubungan dan kerjasama bermakna.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita