Pertubuhan sosial mainkan peranan penting bantu warga emas menua dengan lebih baik: Ong Ye Kung
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menekankan betapa pentingnya peranan pertubuhan-pertubuhan sosial dalam membantu warga emas menua dengan lebih baik.
Beliau berkata demikian semasa menyerikan acara jamuan makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-25 Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Hari untuk Warga Tua Muhammadiyah (MHCC) pada Sabtu (28 Okt).
Encik Ong turut memuji usaha pusat tersebut untuk mempertingkatkan khidmat yang disediakan bagi warga emas di bawah jagaannya.
Ini termasuk penjagaan siang hari untuk para pesakit demensia dan jagaan bersepadu di Yishun yang baharu - Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah (MAAC).
Pusat Penuaan Aktif (AAC) kata Encik Ong memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesejahteraan warga emas.
"Bagi warga emas khususnya, musuh terbesar mereka ialah kesunyian. Tidak lagi berhubungan secara sosial. Walaupun mereka tinggal dengan ahli keluarga, kadang-kadang mereka keseorangan dan berasa kesunyian. Di sinilah di mana AAC boleh memainkan peranan.
"Kami mahu pastikan sebagai sebuah AAC, ia membina sebuah masyarakat, rangkaian sosial, anda boleh datang nikmati permainan, mempelajari sesuatu bersama, boleh makan bersama. Bentuk rangkaian sosial sebegitu dan saya rasa kita boleh membantu selamatkan nyawa warga emas kita," kata Encik Ong.
(Facebook\MHCC)
LEBIH BANYAK SOKONGAN AKAN DIBERIKAN KEPADA AAC; LEBIH PENDAMPINGAN PERLU DIPERLUKAN
Majlis tersebut dihadiri sekitar 400 tetamu termasuk rakan kerja, penderma, para pemimpin pertubuhan Melayu/Islam dan klien MHCC serta pengasuh mereka.
Encik Ong turut memberi jaminan badan tersebut bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) sedia untuk memberikan lebih banyak sokongan dari segi kewangan dan sumber.
"Kami akan cuba yang terbaik untuk memperluaskan kapasiti sistem jagaan kesihatan sebaik yang mungkin. Namun kita tidak boleh selalu menangani masalah. Kita harus mengelakkannya daripada berlaku. Kita harus pastikan yang para penduduk sedia ada tidak kira sama ada dalam usia pertengahan, sebaya dengan saya, lebih tua sedikit atau tua tapi masih sihat. Kita harus sentiasa jaga kesihatan kita sebaik mungkin," ujar Encik Ong.
Encik Ong berkata cara operasi juga perlu diubah dan beliau berharap MHCC dapat memberikan lebih tumpuan kepada usaha-usaha pendampingannya.
"Apabila anda berkhidmat di sesebuah kawasan, cuba kenali setiap warga emas. Jika anda tidak boleh mengenali setiap warga emas, sekurang-kurangnya kenali setiap warga emas yang mungkin kesunyian. Yang mungkin tidak boleh bergerak, terkurung di rumah, mungkin tinggal sendiri dan dampingi mereka," jelas Encik Ong.
KUMPUL DANA S$250,000 UNTUK PENINGKATAN PROGRAM
Majlis turut mengiktiraf tiga kakitangannya yang telah lama berkhidmat dengannya dan menyumbang kepada usaha-usaha membantu warga emas jagaannya.
Antaranya ialah Encik Sawal Kapil yang telah bersama MHCC sejak ia ditubuhkan pada 1997 lagi.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk pegawai mengumpul dana, pegawai pengangkutan, pembantu jagaan kesihatan.
Dua lagi penerima ialah pembantu terapi, Cik Joyce Ang dan Cik Zaibon Abas.
(Facebook\MHCC)
Majlis yang diadakan di Pusat Expo dan Konvensyen Sands di Marina Bay Sands turut melancarkan usaha untuk mengumpul dana S$250,000.
Ia bertujuan untuk memperluas dan meningkatkan program dan perkhidmatan yang ditawarkan.
WARGA SG KEKAL BERSATU; HULUR BANTUAN BAGI MANGSA KONFLIK
Dalam kesempatan itu juga, Encik Ong mengingatkan tentang pentingnya perpaduan di tengah-tengah konflik yang melanda di belahan lain dunia.
Beliau berkata, "Kita hidup dalam dunia yang banyak konflik. Banyak tragedi yang tidak perlu, kebanyakannya berpunca dari politik, bukan perbezaan. Ia bukan pertempuran kita tapi untuk kita, kita harus sentiasa ingat bahawa kita adalah sebahagian daripada kemanusiaan.
"Jadi walau apapun yang terjadi, menjangkaui Singapura, apa yang saya rasa kita boleh lakukan ialah untuk sentiasa kekal bersatu sesama kita sebagai warga Singapura. Kita boleh sentiasa memberikan harapan terbaik, kebaikan, doa dan apa-apa bantuan yang kita boleh hulurkan kepada yang lain," kata Encik Ong.
Beliau menambah, itu perlu sentiasa dijadikan etos kita sebagai masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.