Skip to main content

Singapura

Pertubuhan Melayu/Islam sambut Kabinet baharu, alukan pelantikan Dr Faishal, hargai sumbangan Encik Masagos

Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (Taman Bacaan) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Encik Lawrence Wong atas pembentukan Kabinet baru Singapura bagi lima tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 May 2025 05:57PM Dikemas Kini : 22 May 2025 11:44PM

SINGAPURA: Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (Taman Bacaan) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Encik Lawrence Wong atas pembentukan Kabinet baru Singapura bagi lima tahun akan datang.

Ini menyusuli kemenangan kukuh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025.

Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader, menyifatkan mandat besar itu sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan visi PM Wong.

"Komitmen Perdana Menteri dalam memupuk keharmonian kaum dan agama, serta memperkukuh nilai-nilai bersama seperti saling menghormati dan perpaduan, amatlah terpuji. Seperti yang telah ditekankan, memelihara keharmonian antara kaum merupakan asas penting dalam membina sebuah masyarakat yang teguh dan bersatu. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Taman Bacaan yakin bahawa Singapura akan terus berkembang sebagai lambang kestabilan, kemajuan dan inklusiviti," menurut Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan media hari ini (22 Mei).

KABINET BAHARU BERKALIBER

Taman Bacaan juga menyambut baik pembentukan barisan Kabinet baru yang berkaliber dan membawa semangat baharu dalam pentadbiran negara.

Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, Taman Bacaan mengalu-alukan pelantikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam.

Pelantikan itu mencerminkan keyakinan dan penghargaan tinggi pemerintah terhadap keupayaan serta sumbangan berterusan Dr Faishal dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam dan memperkukuh struktur sosial yang inklusif.

"Dr Faishal dikenali sebagai seorang pemimpin yang merakyat, sentiasa dekat dengan denyut nadi komuniti, dan amat prihatin terhadap pendidikan,
kebajikan serta pembangunan jati diri umat Islam di Singapura. Rekod perkhidmatan beliau yang konsisten dan berintegriti amat menginspirasi dan meyakinkan bahawa masyarakat Islam berada di bawah naungan kepimpinan yang adil dan progresif," kata Encik Halim.

Taman Bacaan yakin Dr Faishal akan meneruskan legasi kepimpinan terdahulu.

"Taman Bacaan penuh yakin bahawa Dr Faishal Ibrahim akan dapat menggalas amanah yang pernah dipikul oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sebelum ini termasuk Dr Ahmad Mattar, Encik Abdullah Tarmugi, Dr Yaacob Ibrahim, dan Encik Masagos Zulkifli untuk terus membawa masyarakat Melayu/Islam ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing dalam arus pembangunan negara."

PENGHARGAAN BUAT ENCIK MASAGOS ZULKIFLI

Dalam pada itu, Taman Bacaan turut merakamkan penghargaan terhadap Encik Masagos Zulkifli atas khidmat beliau selaku sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam sejak 2018.

Sumbangan beliau termasuk memperkukuh perpaduan masyarakat, memperkenalkan inisiatif M3 (kerjasama antara Muis, Mendaki dan Mesra), serta memperluas sistem zakat dan wakaf yang menyaksikan kutipan zakat tahunan mencecah lebih S$100 juta.

Menurutnya, kepimpinan Encik Masagos telah membawa pelbagai pencapaian bermakna kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, termasuk dalam aspek perpaduan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan jangka panjang.

Antara pencapaian utama beliau yang digariskan termasuk, peranannya dalam menyatupadukan masyarakat Islam dan meningkatkan kesedaran ibu bapa serta komuniti Melayu/Islam dalam usaha mengekang radikalisasi, demi menjaga keharmonian dan keselamatan nasional, menyokong isu kemanusiaan Gaza, menubuhkan inisiatif ‘M³ dan lain-lain lagi.

"Taman Bacaan amat menghargai keteguhan visi, keprihatinan dan kecekapan Encik Masagos dalam memperjuangkan kemajuan umat Islam Singapura. Kami mendoakan semoga beliau terus diberi kekuatan dan kelapangan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat," tambah beliau.

LBKM, PPIS DAN AMP RAIKAN PELANTIKAN DR FAISHAL, HARGAI SUMBANGAN ENCIK MASAGOS

Penghargaan serupa turut dizahirkan oleh pelbagai organisasi masyarakat seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), dan AMP Singapura.

LBKM memuji kepimpinan berwawasan Dr Faishal dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dalam memperkasakan masyarakat melalui pendidikan dan peluang.

Menurut LBKM, kepimpinan Dr Faishal yang prihatin dan dedikasi beliau yang berterusan kepada masyarakat telah memberi impak positif kepada ramai individu.

LBKM turut menyatakan harapan untuk bekerjasama rapat dengan Dr Faishal dalam meneruskan misi bersama memperkasa individu melalui pendidikan, peluang dan sokongan bermakna.

PPIS pula menzahirkan penghargaan kepada Encik Masagos atas inisiatif-inisiatif penting yang diterajuinya.

Menurut PPIS, visi dan komitmen Encik Masagos telah membentuk pelbagai inisiatif penting seperti Masyarakat Gemilang , Tunas, Wakaf Masyarakat Singapura, serta inisiatif M³, yang berjaya memperkukuh institusi keluarga, memperkasa pemimpin masyarakat, dan membina daya tahan jangka panjang dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

PPIS turut mengiktiraf kesan besar usaha beliau dalam memperkasakan wanita dan keluarga untuk memimpin dengan maruah dan harapan.

Pihak PPIS mendoakan kejayaan berterusan Encik Masagos dalam peranannya sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, dan menyatakan bahawa sokongan serta kepercayaan beliau terhadap sektor perkhidmatan sosial terus menjadi sumber inspirasi bagi perjuangan mereka.

AMP Singapura turut mengucapkan tahniah kepada Dr Faishal atas pelantikan beliau, dan menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dalam memperkasa masyarakat Melayu/Islam.

Ia turut merakamkan penghargaan kepada Encik Masagos Zulkifli atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang memegang peranan tersebut.

Pertubuhan itu juga mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet baharu dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam memperkukuh perpaduan sosial serta mencapai matlamat nasional bersama.






 

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita