Skip to main content

Singapura

Pertubuhan Melayu/Islam, India Islam kenang sumbangan Dr Faishal, sifat pemimpin yang dekat dengan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
 Pertubuhan Melayu/Islam, India Islam kenang sumbangan Dr Faishal, sifat pemimpin yang dekat dengan masyarakat

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim ketika menghadiri acara Bahas 4PM. (Gambar: Nassar Zain/Facebook)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 06:40PM
SINGAPURA: Peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam mengundang reaksi sedih daripada beberapa pertubuhan masyarakat Melayu/Islam dan India Islam yang pernah bekerjasama rapat dengan beliau.

Persatuan seperti Angkatan Karyawan Islam (AMP), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Persatuan Khidmat Sosial India Islam (IMSSA) menyifatkan Dr Faishal sebagai seorang pemimpin yang prihatin, mudah didekati dan sentiasa memberi sokongan kepada usaha memperkukuh masyarakat.

Antara sumbangan yang sering dikaitkan dengan kepimpinan beliau ialah peluasan rangkaian M³ kepada M³+, satu usaha untuk melibatkan lebih banyak badan masyarakat dalam memperkasa masyarakat Islam di Singapura.

M³+ diperkenalkan bagi memperluas penyertaan melangkaui tiga agensi utama M³ iaitu MUIS, MENDAKI dan MESRA, dengan membuka ruang kepada lebih banyak pertubuhan masyarakat, badan Islam dan rakan masyarakat untuk menyumbang kepakaran serta jaringan mereka.
AMP HARGAI SUMBANGAN DR FAISHAL

Dalam satu kenyataan, AMP berkata pihaknya telah bekerjasama rapat dengan Dr Faishal, khususnya sepanjang beliau memegang peranan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan beliau dalam pelbagai inisiatif, termasuk Program Pembangunan dan Integrasi Semula yang menyokong usaha pemulihan dan integrasi semula pesalah dadah lelaki Muslim, serta M³+.

“Kami menghargai sokongan dan sumbangan beliau dalam menjayakan usaha-usaha tersebut.”

AMP berkata usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat Melayu/Islam akan terus menjadi keutamaan, sambil berharap kerjasama bersama kepimpinan baharu dapat diteruskan.

“AMP berharap dapat bekerjasama rapat dengan Encik Zaqy Mohamad, serta rakan-rakan kerjasama kami, untuk terus memperkukuh inisiatif yang meningkatkan daya tahan, kemajuan dan kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu/Islam.”

"SEPERTI SATU KEHILANGAN PERIBADI": IMSSA

Bagi Persatuan Khidmat Sosial India Islam (IMSSA), hubungan kerja bersama Dr Faishal telah terjalin sejak 2012 ketika beliau masih mewakili Nee Soon.

Timbalan Pengarah IMSSA, Shameema Banu, berkata pihaknya mempunyai peluang bekerjasama dengan Dr Faishal menerusi pelbagai inisiatif masyarakat.

“Kami sebenarnya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Prof sejak tahun 2012 di Nee Soon menerusi pelbagai inisiatif masyarakat, antaranya pengagihan hamper iftar harmoni tahunan kami, sambutan perayaan, serta pengagihan makanan panas di 701B. Hampir setiap bulan, Prof. akan menyertai kami," kata Cik Shameema.

Menurutnya, Dr Faishal juga sering hadir ke acara masyarakat seperti jamuan blok dan inisiatif mendekati masyarakat.

Beliau berkata Dr Faishal turut membantu menghubungkan IMSSA dengan beberapa organisasi lain yang membuka peluang kerjasama dalam menyediakan khidmat sokongan kepada keluarga pesalah.
Menurutnya, Dr Faishal memberi perhatian khusus terhadap usaha memperkukuh keluarga pesalah dalam masyarakat Melayu/Islam.

“Beliau seorang yang sangat merendah diri dan mudah didekati, seorang pemimpin yang benar-benar mengambil berat terhadap kesejahteraan masyarakat serta para penduduknya.

“Setiap kali IMSSA mendekati beliau atau mengemukakan cadangan bagi satu inisiatif baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, beliau sentiasa memberikan sokongan penuh dan berusaha lebih untuk memastikan ia dapat dilaksanakan. Kesediaan beliau untuk mendengar, bekerjasama dan berkhidmat telah membawa perubahan yang bermakna kepada banyak keluarga sepanjang tahun-tahun ini," kongsi Cik Shameema.

Menyentuh mengenai peletakan jawatan beliau, Cik Shameema berkata berita itu amat menyedihkan bagi IMSSA dan masyarakat yang pernah bekerjasama dengannya.

“Berita itu amat menyedihkan untuk diterima. Malah, ia dirasakan seperti satu kehilangan peribadi buat kami dan juga masyarakat.

“Beliau ialah seorang pemimpin yang berhati mulia, yang komited untuk berkhidmat kepada penduduk dengan penuh keikhlasan dan dedikasi. Kebaikan, sokongan dan komitmen beliau terhadap masyarakat akan sentiasa dikenang," kata Cik Shameema.

Beliau berkata ramai sukarelawan IMSSA turut mengenang Dr Faishal sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memberi galakan dan membuat mereka rasa dihargai.

4PM:" SATU PERMATA YANG JARANG DITEMUI TELAH BERUNDUR"

Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain, berkata peletakan jawatan Dr Faishal merupakan satu perkembangan yang amat menyedihkan.

Beliau menyifatkan Dr Faishal sebagai seorang yang rendah hati, bekerja keras dan benar-benar mengambil berat terhadap orang lain.

Encik Nassar berkata Dr Faishal sentiasa memberi sokongan secara peribadi, termasuk ketika beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden 4PM.

“Beliau tidak pernah menolak sebarang jemputan untuk menghadiri acara saya, walaupun ia bermakna beliau perlu datang lewat atau menyusun semula jadualnya yang padat. Beliau benar-benar mengambil berat.

“Apabila sesuatu tidak berjalan dengan baik untuk saya, beliau meluangkan masa untuk mendengar dengan sabar dan memberikan nasihat yang ringkas tetapi penuh kebijaksanaan. Beliau benar-benar mengambil berat," kongsi Encik Nassar.

Encik Nassar berkata kini tiba masa masyarakat membalas kebaikan dan keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh Dr Faishal sepanjang khidmatnya.

"Seorang permata yang sukar ditemui telah berundur daripada kehidupan awam. Semoga Allah mengurniakan beliau kesihatan yang baik, rehat yang amat diperlukan, serta privasi yang sewajarnya buat beliau dan keluarga," ujar Encik Nassar.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita