Pertubuhan filantropi Asia digesa perkukuh peranan dalam pembiayaan pendidikan, pembangunan
Para pelajar membaca buku sebagai sebahagian daripada satu aktiviti di dalam bilik darjah di sebuah sekolah rendah di Rajasthan, India. (Gambar: AFP/Money Sharma)
SINGAPURA: Pertubuhan filantropi di Asia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membiayai projek pendidikan dan pembangunan, di tengah-tengah tekanan pembiayaan dan pengurangan sumber bantuan tradisional, jelas panel di Sidang Puncak Filantropi Asia pada Isnin (18 Mei).
Sektor kedermawanan juga boleh membantu menarik pelaburan swasta ke dalam inisiatif jangka panjang, kata mereka kepada Mediacorp di luar acara tersebut.
Kini dalam edisi keenamnya, sidang puncak itu menghimpunkan pemimpin daripada sektor filantropi, perniagaan, pemerintah dan masyarakat sivil untuk membincangkan isu termasuk perubahan iklim, jagaan kesihatan dan pembangunan inklusif.
GURU "NADI PENDIDIKAN"
Pia Rebello Britto, pengarah global pendidikan dan pembangunan remaja di UNICEF, iaitu agensi kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata pertubuhan filantropi berada dalam kedudukan unik untuk mengambil lebih banyak risiko dalam inovasi pendidikan.
"Di peringkat global, kita sedang menyaksikan banyak perubahan dalam bantuan pembangunan rasmi tradisional. Jadi, kini merupakan masa yang sesuai bagi pertubuhan filantropi untuk mencetuskan perubahan pemangkin yang besar,” jelasnya.
Pembiayaan pemangkin (catalytic financing) merujuk kepada pembiayaan peringkat awal yang menyerap risiko projek yang belum terbukti, membantu menarik pelabur yang lebih besar pada kemudian hari.
Namun, jurang pembiayaan utama masih wujud. Secara global, terdapat kekurangan pembiayaan sebanyak AS$97 bilion (S$124 bilion) bagi pendidikan, katanya.
Cik Britto menarik perhatian bahawa tumpuan harus diberikan kepada usaha mengukuhkan sistem pendidikan.
"Para guru bersedia untuk bekerja, tetapi adakah kita menyediakan mereka dengan latihan yang sewajarnya, sokongan yang betul, pemerkasaan yang wajar, supaya mereka boleh memberi kesan yang diperlukan? Mereka adalah nadi pendidikan," tekannya.
ALAT AI TIDAK BOLEH PERLUAS JURANG DIGITAL
Cik Britto turut memberi amaran terhadap pelaksanaan pesat alat kecerdasan buatan (AI) di dalam bilik darjah tanpa perlindungan yang mencukupi bagi kanak-kanak dan pelajar yang rentan.
Beliau menambah bahawa pemerintah dan dermawan harus memastikan sistem AI direka bentuk dengan mengambil kira keperluan "Dunia Selatan, termasuk kerencaman linguistik dan akses yang saksama.
Dunia Selatan secara amnya merujuk kepada negara membangun dan berpendapatan rendah merentasi rantau termasuk Asia, Afrika dan Amerika Latin, di mana akses kepada teknologi dan pendidikan boleh menjadi lebih tidak seimbang.
PEMBIAYAAN PEMBANGUNAN MASUKI “FASA BAHARU”: ADBI
Encik Bambang Brodjonegoro, dekan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Bank Pembangunan Asia (ADBI), berkata pembiayaan pembangunan, dalam sejarah, sudah membantu banyak ekonomi Asia beralih daripada status berpendapatan rendah kepada berpendapatan sederhana.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Asia kini telah memasuki “fasa baharu” dalam pembiayaan pembangunan menyusuli pandemik COVID-19 dan pengunduran beberapa penderma utama.
Oleh itu, menurutnya, “pembiayaan pembangunan perlu menjadi lebih inovatif”.
Encik Brodjonegoro berkata pembiayaan sedemikian secara tradisinya tertumpu kepada pinjaman langsung, namun kini perlu lebih memberi tumpuan kepada pembiayaan pemangkin dan semakin digunakan untuk menggerakkan modal swasta, dan bukan sekadar membiayai projek secara langsung.
Hal yang ditekankannya selari dengan tema dalam laporan yang dikeluarkan semasa sidang puncak itu oleh Philanthropy Asia Alliance dan Centre for Asian Philanthropy and Society, yang meneliti bagaimana pembiayaan filantropi di seluruh Asia digunakan sebagai “modal berisiko” bagi menyokong inovasi peringkat awal.
Laporan itu menganalisis 10 kajian kes melibatkan sektor iklim, jagaan kesihatan, perumahan, air, sisa dan keterangkuman digital, sambil menyatakan bahawa modal filantropi boleh membantu menyokong huraian yang belum terbukti sebelum pemerintah atau pelabur swasta bersedia untuk turut serta.
Sidang Puncak Filantropi Asia berlangsung sehingga Rabu di Pusat Konvensyen dan Expo Sands.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.