Skip to main content

Singapura

Pertubuhan agama SG sumbang S$183,000 kepada Humanity Matters bagi usaha kemanusiaan di Nepal

Anggaran Waktu Membaca:
Pertubuhan agama SG sumbang S$183,000 kepada Humanity Matters bagi usaha kemanusiaan di Nepal

(Gambar: Aqil Ezat)

Diterbitkan : 13 Oct 2026 05:37PM Dikemas Kini : 13 Oct 2026 05:40PM
Singapore religious organisations donate S$183,000 to Humanity Matters for humanitarian efforts in Nepal
  • Three religious organisations in Singapore donated S$183,000 to Humanity Matters on Oct 13, bringing the total funds raised to S$354,000 for the recovery of disaster victims in Nepal.
  • The funds will be used to expand the orphanage complex in Rasuwa from 30 to 60 residents, including basic amenities, maintenance and essential supplies.
  • Humanity Matters Special Humanitarian Adviser Hassan Ahmad said the support from various faiths, including other organisations in Singapore, reflects humanitarian values that transcend differences in religion, culture and national borders.
  • HM reported that relief operations in Nepal are becoming more organised, access to Rasuwa has improved through a new bridge, and its team will return on Oct 26.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Tiga pertubuhan agama menyumbang S$183,000 kepada Humanity Matters (HM) pada Selasa (13 Okt) bagi menyokong usaha pemulihan mangsa bencana di Nepal.

Sumbangan daripada Singapore Buddhist Lodge, Tabernacle Church & Missions dan Geetha Ashram Singapore itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang berjaya dikumpulkan HM sebanyak S$354,000.

Sebahagian besar sumbangan tersebut akan digunakan untuk meluaskan kompleks anak yatim serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sementara baki jumlah akan digunakan untuk menyediakan bekalan keperluan.

HM akan meluaskan kompleks anak yatim yang akan menempatkan 30 lagi anak yatim dari Rasuwa, sekali gus menggandakan jumlah penghuninya daripada 30 kepada 60 orang.

Selain ruang penginapan, kemudahan seperti tandas, ruang makan, bilik rawatan,dan ruang belajar juga perlu diperluaskan.

HM juga akan memberi tumpuan kepada aspek psikososial dan emosi anak-anak yatim sedia ada, bagi mempersiapkan mereka menerima para penghuni baharu.

HM menjangkakan kerja-kerja tersebut dapat siap menjelang Disember, sebelum musim sejuk memuncak pada Januari.

Menurut Penasihat Khas Kemanusiaan Humanity Matters, Hassan Ahmad, usaha tersebut menunjukkan model keprihatinan Singapura menjangkaui sempadan negara, agama atau sebarang fahaman.

"Saya rasa ia melambangkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai agama dapat bersatu, mengetepikan perbezaan dari segi ajaran dan kepercayaan, untuk memberi tumpuan kepada nilai sejagat yang dikongsi bersama, iaitu sifat belas ihsan dan kemanusiaan," tambah Encik Hassan.

Sumbangan terbaharu itu menyusuli sokongan daripada beberapa pertubuhan agama lain di Singapura terhadap usaha HM di Nepal.

Ia termasuk AMP Singapura, Caritas Humanitarian Aid & Relief Initiatives Singapore (CHARIS), Buddhaguna Buddhist Temple, Taoist Mission Singapore, badan pendidikan SimplyIslam dan Masjid Bencoolen.
Menurut Encik Hassan, sokongan berterusan daripada masyarakat pelbagai agama bukan sahaja penting, malah melambangkan nilai kemanusiaan yang merentasi agama dan budaya.

KEADAAN DI LAPANGAN SEMAKIN BAIK

Sementara itu, pasukan HM yang baru pulang dari Nepal pada Isnin (12 Okt) turut berkongsi perkembangan terkini tentang keadaan di kawasan-kawasan yang terjejas.

Menurut Encik Hassan, operasi bantuan kini lebih tersusun.

"Pemerintah Nepal kini lebih tersusun, mereka tahu apa yang mereka perlukan, mereka lebih sistematik dari segi pengerahan pasukan serta pengagihan bekalan ke kawasan yang terjejas," kata Encik Hassan.

Dengan adanya jambatan baharu, beliau berkata lori yang membawa bekalan kini dapat masuk ke Rasuwa, yang merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat bencana.

"Keadaan di lapangan semakin baik kerana pemerintah sedang melakukan usaha yang baik, memastikan kawasan terjejas dapat diakses, terutama dengan pembinaan jambatan supaya pasukan bantuan dapat memasuki kawasan-kawasan dan membantu masyarakat yang terjejas, " tambahnya.

Pasukan HM dijadual kembali ke Nepal pada 26 Oktober untuk menerima bekalan bantuan yang dihantar dari Singapura, selain memantau kerja-kerja peluasan kompleks anak yatim.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita