Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertingkat keselamatan tempat kerja di syarikat binaan, projek lebih kecil demi cegah kematian

Syarikat-syarikat binaan dan projek-projek lebih kecil perlu meningkatkan piawaian keselamatan di tempat kerja, di tengah-tengah "kenaikan membimbangkan" dari segi insiden maut di tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jun 2022 06:46PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 11:08PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat binaan dan projek-projek lebih kecil perlu meningkatkan piawaian keselamatan di tempat kerja, di tengah-tengah "kenaikan membimbangkan" dari segi insiden maut di tempat kerja.

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini (23 Jun).

Berucap di pelancaran kempen keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (WSH) oleh Singapore Contractors Association Limited (SCAL), Dr Tan berkata terdapat 27 kematian di tempat kerja pada 2022 setakat ini.

"Ini sangat membimbangkan kerana ia hampir seganda tempoh yang sama pada 2019," kata Dr Tan.

"Ia keprihatinan besar. Setiap nyawa yang diragut dalam kemalangan di tempat kerja tetap terlalu banyak."

Dalam kalangan 27 kematian, 10 adalah dalam sektor binaan. Daripada 10 itu juga, enam daripadanya adalah daripada syarikat binaan atau projek lebih kecil.

Kematian terbaru berlaku pada Rabu, selepas seorang pekerja hijrahan dihempap antara bahagian-bahagian kren.

"Kita mesti pastikan kita melakukan sedaya upaya untuk mencegah kehilangan nyawa dan pastikan para pekerja kita boleh pulang dengan selamat kepada orang-orang tersayang."

Namun beliau juga menarik perhatian bahawa piawaian keselamatan dalam industri binaan sudah menunjukkan peningkatan sejak 10 tahun lalu.

Kadar maut dalam sektor binaan turun dari 5.9 pada 2012 kepada 3.3 pada 2021.

"Ini sekitar 70 nyawa yang diselamatkan dalam masa 10 tahun berbanding jika keadaan itu kekal tidak berubah," menurutnya.

Beliau menambah: "Sejak lima tahun lalu, terdapat kurang 15 kematian dan lebih 100 kecederaan parah setiap tahun dalam industri binaan. Tetapi kita tidak boleh menerimanya pada masa akan datang.

"Kita mesti sentiasa melakukan yang lebih baik lagi dan kementerian akan terus menyokong anda dan bekerjasama dengan anda dalam perjalanan untuk terus menunjukkan peningkatan kerana ini melibatkan nyawa."

SEMAKAN, PENGUATKUASAAN LEBIH KETAT

Beliau berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan lebih ketat dan memperkenalkan denda lebih berat terhadap para majikan yang cuai.

Ia juga akan melihat kepada kontraktor-kontraktor yang tidak layak, dengan amalan-amalan kerja yang lemah.

"Untuk mempertingkat piawaian keselamatan dan memperkukuh pemilikan WSH, kami akan melihat kepada langkah-langkah seperti kriteria penyingkiran yang diselaraskan bagi tender-tender binaan sektor awam, bagi menyingkirkan kontraktor-kontraktor dengan amalan-amalan kerja yang lemah," katanya.

MOM juga akan menyemak sistem mata demerit bagi pelanggaran di bawah Akta atau Peraturan WSH, menurut beliau.

"Ini bermakna syarikat-syarikat binaan lebih selamat akan menerima peluang-peluang perniagaan lebih baik. Syarikat-syarikat tidak selamat tidak akan dibenarkan bersaing dengan anda bagi kontrak-kontrak pemerintah, atau akan mengalamilebih banyak kesukaran untuk mendapatkan tenaga manusia hijrahan kerana mereka mempunyai mata demerit yang lebih tinggi," jelas menteri itu.

MOM juga sedang menyemak perlindungan kakitangan WSH seperti juruaudit, pegawai dan penyelaras WSH bagi meningkatkan tahap kesilapan bagi keselamatan di tempat kerja. Ini semakan pertama dalam masa lebih sedekad.

"Melalui semakan itu, kami berharap lebih banyak kontraktor juga boleh meraih manfaat daripada bantuan kakitangan terlatih dan cekap WSH," kata Dr Tan.

Dr Tan menggesa syarikat-syarikat dan majikan supaya berdaya inovasi dan menggunakan teknologi bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan.

Kontraktor-kontraktor harus mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi yang membolehkan mereka memantau keadaan dan amalan di tempat kerja dengan lebih teliti, seperti memasang kamera-kamera pengawasan di "lokasi-lokasi strategik dan berisiko tinggi".
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan