Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertikaian perairan & udara S'pura, M'sia "mungkin ambil masa 2-3 tahun", kata pengamat politik

Hubungan antara Singapura dengan Malaysia digegarkan dengan beberapa cabaran sejak pertukaran tampuk kepimpinan politik Malaysia pada Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hubungan antara Singapura dan Malaysia digegarkan dengan beberapa cabaran sejak pertukaran tampuk kepimpinan politik Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad Mei lalu.

Ini termasuklah penangguhan Projek Kereta Api Laju (HSR), isu harga air, dan kini pertikaian berhubung sempadan udara dan maritim, sehingga mencetuskan reaksi tegas daripada pemimpin Singapura.

Para penganalisis politik yang ditemui wartawan BERITAmediacorp percaya isu ruang udara dan sempadan maritim yang dipertikaikan Singapura-Malaysia dijangka "mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun" untuk dihuraikan.

"Kenapa? Dua-dua pemerintah sudah bersuara. Sudah menggunakan garis-garis undang-undang, baik Malaysia baik Singapura, mengatakan ini adalah perbatasan yang baru. Untuk pemerintah kedua-dua negara kembali kepada ‘status quo ante’ tak mungkin. Kalau itu terjadi, itu pengakuan kekalahan," menurut pakar politik dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Bilveer Singh, kepada BERITA.

Namun beliau berpendapat isu itu dapat diselesaikan secara diplomasi dan undang-undang, tanpa menggugat hubungan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama.

Setuju dengan pandangan itu, Zamil penyelidik ISEAS Dr Norshahril Saat, menekankan pentingnya isu itu tidak dibiarkan berlarutan.

Menurut beliau, ia bukan hanya boleh menjejas hubungan antara pemerintah malah juga rakyat kedua-dua negara.

"Kita tidak mahu rakyat berasa resah dengan apa yang berlaku kerana kita tahu bahawa hubungan yang disebut sebagai antara rakyat dengan rakyat sangat kukuh dan kita tahu bahawa banyak sekali inisiatif-inisiatif yang dilakukan untuk mempereratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara," ujar Dr Norshahril lagi.

Beliau juga menarik perhatian usaha-usaha diplomatik dan usulan untuk mengadakan rundingan dua hala.

Tarikhnya juga sudah ditetapkan pada minggu kedua Januari depan.

Sekalipun demikian, Dr Norshahril menekankan bahawa keadaan boleh bertambah tegang sekiranya terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk sengaja mengapi-apikan isu tersebut.

"Jika kita tidak berhati-hati, isu ini boleh terkeluar daripada saluran diplomatik bila mungkin ada ahli-ahli politik tertentu yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur tidak sensitif, tidak menghormati pandangan negara lain dan ini boleh diperbesar-besarkan oleh rakyat. Jadi ini satu perkara yang kita tidak mahu melihat di antara yang berlaku dalam masalah ini. Lebih-lebih lagi kita ada media sosial dan sebagainya," ujar beliau.

Namun demikian, Dr Bilveer membayangkan bahawa, cabaran-cabaran sedemikian berpotensi untuk bertambah baik pada masa akan datang.

"Mungkin kita akan dapat peluang yang baru. Katakan di bawah Anwar Ibrahim. Kerana tidak ada emosi atau beban sejarah yang Dr Mahathir ada," kata Dr Bilveer. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan