Pertikaian perairan: Singapura 'kecewa' Malaysia enggan tarik balik had pelabuhan, henti pencerobohan
Singapura 'kecewa' Malaysia enggan menerima cadangan Singapura untuk kembali ke status quo sebelum negara itu meluaskan had pelabuhan Johor Bahru, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (10 Dis) sebagai respons kepada kenyataan kementerian Malaysia awal sebelum itu.
SINGAPURA: Singapura "kecewa" Malaysia enggan menerima cadangan Singapura untuk kembali ke status quo sebelum negara itu meluaskan had pelabuhan Johor Bahru, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (10 Dis) sebagai respons kepada kenyataan kementerian Malaysia awal sebelum itu.
Singapura juga menegaskan sekali lagi seruannya agar Malaysia kembali kepada status quo sebelum ia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru sebelum 25 Oktober, sambil menyatakan bahawa langkah ini dapat "mengelakkan perselisihan dan kemungkinan isu di kawasan tersebut".
"Kerahan Malaysia ke kawasan itu tidak memperkukuhkan tuntutannya secara undang-undang dan hanya akan mengeruhkan ketegangan," menurut MFA.
"Malaysia akan bertanggungjawab ke atas sebarang situasi yang tidak diingini di kawasan itu akibat kerahan berterusan kapal-kapal (Malaysia) di kawasan tersebut."
Awal sebelum itu, Kementerian Ehwal Luar Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia "tidak dapat menurutkan" cadangan Singapura untuk kembali ke status quo sebelum 25 Oktober 2018.
Namun ia berjanji untuk mengambil langkah-langkah meredakan keadaan di lapangan. Sebagai respons, MFA menyatakan Singapura "menerima baik" keinginan Malaysia melakukan sedemikian.
"Singapura juga mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Malaysia agar para pegawai bertemu pada minggu kedua Januari 2019 untuk bertukar-tukar pandangan demi meleraikan isu Had Pelabuhan Johor Bahru," menurut MFA Singapura.
"Pemerintah Singapura berharap untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk mencapai penyelesaian damai berhubung isu-isu antara kedua-dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa demi menjaga hubungan penting dua hala kita."
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad juga mengulas berhubung isu pertikaian perairan dan berkata Malaysia akan berunding dengan Singapura berhubung pertikaian itu, namun belum mencapai keputusan untuk menarik balik kapal-kapal kerajaan malaysia dari perairan Singapura buat masa ini.
Kapal-kapal kerajaan Malaysia menceroboh perairan Singapura sebanyak 14 kali dalam masa dua minggu yang lalu, dedah Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dalam satu sidang media pada Khamis.
Pencerobohan tersebut berlaku selepas Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor pada 25 Oktober, menjangkaui perairan Singapura dekat Tuas.
Malaysia menyeru kedua-dua negara "menghentikan dengan segera" daripada mengerahkan aset-aset ke "kawasan dipertikaikan" - satu cadangan yang ditolak oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.