Pertikaian perairan: Mahathir setuju runding dengan S'pura namun enggan tarik balik kapal M'sia
Malaysia akan berunding dengan Singapura berhubung pertikaian sempadan perairan yang sedang berlaku antara kedua-dua negara, namun tiada keputusan dibuat untuk menarik balik kapal-kapal Malaysia, menurut Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Isnin (10 Dis).
SINGAPURA: Malaysia akan berunding dengan Singapura berhubung pertikaian sempadan perairan yang sedang berlaku antara kedua-dua negara, namun tiada keputusan dibuat untuk menarik balik kapal-kapal Malaysia, menurut Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Isnin (10 Dis).
"Kita akan runding dengan Singapura, kita tidak mahu lawan dengan Singapura," kata Dr Mahathir.
"Kadang-kadang ada pertindihan (tuntutan) tapi kita boleh selesaikan perkara ini melalui rundingan".
Ketika ditanya bila perundingan itu akan berlangsung, Dr Mahathir menjawab ringkas: "Sekarang… secepat mungkin.”
Apabila ditanya sama ada kerajaan Malaysia akan menarik balik kapal-kapalnya daripada perairan yang dipertikaikan, Dr Mahathir menjawab bahawa belum ada keputusan.
"Pada masa ini, disebabkan tidak ada keputusan maka kapal-kapal terbabit berada di situ, kapal Singapura berada di situ, kapal Malaysia juga berada di situ," jawabnya.
Dalam hal berasingan kementerian ehwal luar Malaysia pada Isnin mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengambil "semua langkah efektif untuk meredakan keadaan".
Namun, kerajaan Malaysia "tidak dapat menurut" cadangan Singapura untuk kembali kepada status quo sebelum 25 Oktober 2018, menurut kenyataan itu.
Malaysia pada Jumaat mencadangkan pertemuan dengan Singapura pada pertengahan Disember untuk merunding isu sempadan perairan antara kedua-dua negara. Ia juga mencadang kedua-dua negara meninggalkan kawasan yang dipertikaikan dengan serta merta, satu cadangan yang ditolak Singapura.
Kementerian itu menyatakan pada Isnin ia menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk membincangkan perkembangan terbaru berhubung isu ini dan mengalu-alukan langkah Singapura dalam sentiasa menekankan peri pentingnya dialog terbuka serta keinginannya untuk berhubung dengan malaysia untuk meleraikan hal secara damai.
Ia menyatakan persetujuan kepada tarikh baru yang dicadangkan Singapura pada Januari 2019 dan menerima baik pertimbangan Singapura terhadap agenda yang dicadangkan Malaysia bagi perundingan dua hala itu.
Menurut kementerian Malaysia itu: "Kementerian merujuk kepada nota diplomatik bertarikh 8 Disember 2018, di mana Singapura menolak cadangan Malaysia bagi kedua-dua pihak berhenti menghantar aset-aset ke kawasan dipertikaikan bermula 0000 jam pada 8 Disember 2018 dengan tujuan meredakan ketegangan di kawasan sementara menunggu rundingan berhubung isu sempadan perairan.
"Singapura juga menyeru Malaysia supaya kembali kepada status quo sebelum 25 Oktober 2018 dengan menarik balik secara serta-merta kesemua kapal kerajaan Malaysia dari kawasan itu."
Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara akur bahawa sebarang langkah yang diambil tidak akan menjejas tuntutan masing-masing, namun Malaysia tidak dapat menurutkan cadangan Singapura.
"Meskipun kerajaan Malaysia tidak dapat menurutkan cadangan Singapura, Malaysia akan mengambil semua langkah efektif untuk meredakan keadaan di kawasan, mengesahkan lagi pendiriannya untuk menangani situasi secara tenang dan damai," menurutnya lagi.
Dalam pada itu kementerian itu menekankan "peri pentingnya hubungan dua hala yang kukuh" antara kedua-dua negara, sambil menambah bahawa negara itu berharap rundingan dapat "dimulakan segera".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.