Pertikaian maritim: Agensi keselamatan S'pura diarahkan 'tahan diri dan elak tambah ketegangan', kata Ng Eng Hen
Meskipun agensi keselamatan Singapura mempunyai keupayaan memaksa kapal-kapal kerajaan Malaysia yang menceroboh perairannya supaya beredar, mereka diarahkan buat masa ini untuk "menahan diri dan mengelakkan daripada meningkatkan ketegangan", kata Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen pada 15 Jan.
SINGAPURA: Meskipun agensi-agensi keselamatan Singapura mempunyai keupayaan untuk memaksa kapal-kapal kerajaan Malaysia yang menceroboh perairannya supaya beredar, mereka diarahkan buat masa ini untuk "menahan diri dan mengelakkan daripada meningkatkan ketegangan" dengan negara jirannya, kata Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen pada Selasa (15 Jan).
Singapura dan Malaysia terlibat dalam pertikaian maritim sejak Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru, yang menurut pemerintah Singapura, "mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas".
Singapura juga membantah "tindakan provokatif" Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk pencerobohoan oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia ke wilayah Singapura serta lawatan oleh Menteri Besar Johor Osman Sapian ke kapal kerajaan Malaysia yang berada di perairan Singapura.
Berucap di Parlimen, Dr Ng dalam jawapannya kepada soalan-soalan yang diajukan oleh AP Lee Bee Wah dan AP Tanpa Kawasan Undi Dennis Tan berhubung pencerobohan itu berkata bahawa agensi keselamatan Singapura diarahkan supaya menahan diri "agar tidak mempertaruhkan keadaan yang diperlukan untuk perbincangan membina dan huraian damai bagi pertikaian itu".
Beliau menambah bahawa para pegawai keselamatan Singapura "sudah berulang kali menggesa" kapal-kapal kerajaan Malaysia untuk meninggalkan kawasan perairan Singapura sejak pencerobohan mereka bermula.
Berhubung pencerobohan oleh Encik Osman di perairan Singapura, Dr Ng menyatakan insiden sedemikian bersifat provokatif dan memburukkan keadaan serta bercanggah dengan dasar rasmi yang dinyatakan kerajaan Malaysia.
"Ketegangan dan risiko sebenar meningkat semasa insiden ini," kata Dr Ng yang menambah bahawa agensi keselamatan Singapura sejak "awal" mengesan pergerakan rombongan Encik Osman yang menambah bilangan kapal Malaysia di perairan Singapura daripada dua kepada lima.
"Kapal-kapal Polis Pengawal Pantai dan Angkatan Laut Republik Singapura bertindak balas dengan pantas terhadap provokasi ini seperti diperlukan. Akibatnya, bilangan kapal di kawasan itu meningkat kepada dua kali ganda," kata Dr Ng.
"Provokasi seperti ini tidak membantu meleraikan pertikaian malah boleh mencetuskan insiden di kawasan itu yang boleh menjejas hubungan dua hala secara berpanjangan," tambah beliau.
Namun Dr Ng mengalu-alukan jaminan kerajaan Malaysia bahawa pihaknya akan mengambil langkah untuk mengendurkan ketegangan di Tuas dan menyuarakan harapan agar semua agensi Malaysia akan patuh pada dasar yang dinyatakan.
"Walaupun terdapat perselisihan, kedua-dua pihak mahu meleraikan perbezaan menerusi rundingan dan cara damai," kata beliau.
Dr Ng juga menarik perhatian bahawa Menteri Luar kedua-dua negara semasa pertemuan mereka pada 8 Januari sudah bersetuju untuk menubuhkan kumpulan bertindak yang terdiri daripada para pegawai Kementerian Ehwal Luar kedua-dua pihak untuk "membincangkan isu-isu undang-undang dan operasi untuk meredakan situasi di perairan dekat Tuas dan menghasilkan laporan dalam masa dua bulan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.