Pertikaian gaji 5 pemandu: SBS Transit rujuk ke Mahkamah Timbang Tara Perusahaan
SBS Transit pada Jumaat (18 Okt) menyatakan pihaknya sudah membuat permohonan untuk merujukkan kes pertikaian gaji yang melibatkan lima pemandunya ke Mahkamah Timbang Tara Perusahaan (IAC).
Bas SBS Transit. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: SBS Transit pada Jumaat (18 Okt) menyatakan pihaknya sudah membuat permohonan untuk merujukkan kes pertikaian gaji yang melibatkan lima pemandunya ke Mahkamah Timbang Tara Perusahaan (IAC).
IAC mengendalikan pertikaian industri dan mengesahkan perjanjian kolektif antara pihak kesatuan dan majikan.
Lima pemandu bas terlibat membuat tuntutan di Mahkamah Majistret untuk menyaman SBS Transit kerana membayar mereka kurang daripada kadar yang ditetapkan bagi kerja lembur. Mereka juga menuduh pengendali pengangkutan itu mengarah mereka bekerja lebih dari 44 jam seminggu, lantas mencabuli Akta Pekerjaan.
Dokumen mahkamah menyatakan salah seorang pemandu itu, Encik Chua Qwong Meng, bekerja tujuh hari berturut-turut sebelum diberikan satu hari rehat, yang bercanggah dengan persetujuannya dengan SBS Transit berdasarkan surat pelantikan kerja.
Satu mesyuarat diadakan antara Encik Chua dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) pada 19 Julai. Satu lagi pertemuan diadakan dengan syarikat induk SBS Transit, Comfort DelGro, pada 27 Ogos. Kedua-dua pertemuan itu tidak menghasilkan "jawapan konklusif" buat Encik Chua, menurut dokumen mahkamah.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, pengendali pengangkutan itu menyatakan: "SBS Transit adalah majikan yang mematuhi undang-undang dan bertanggungjawab, dengan hubungan kukuh bersama pihak kesatuan, para pekerjanya dan NTWU.
"Tuntutan-tuntutan ini menbangkitkan isu yang datang daripada dan menjejas perjanjian kolektif antara SBS Transit dengan NTWU.
"Lantaran itu, bersesuaian dengan undang-undang, demi kepentingan kesemua Kapten Bas SBS Transit dan selaras dengan hubungan kukuh dengan NTWU, SBS Transit akan merujukkan isu ini kepada Mahkamah Timbang Tara Perusahaan bagi membuat keputusan."
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan langkah SBS Transit untuk merujukkan kes itu kepada IAC adalah satu "langkah membina".
"Syarat-syarat dalam persetujuan kolektif tidak hanya menjejas lima pemandu bas tersebut, malah sekitar 6,000 kapten bas SBS Transit juga," kata Kandhavel Periyasamy, pengarah (hubungan industri) bahagian hubungan buruh dan divisyen tempat kerja di MOM.
"IAC adalah wadah yang lebih sesuai untuk menangani isu ini kerana ia adalah mahkamah khusus untuk menimbangkan pertikaian industri dan bertujuan menjaga keamanan industri," tambah beliau.
"Tafsiran IAC ke atas perjanjian kolektif itu akan memberi ketentuan muktamad berhubung isu tersebut buat semua pihak."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.