Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-20: Lebih 40 ahli bahasa dari 3 negara ASEAN turut serta

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih 40 ahli bahasa dari tiga negara ASEAN iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia berhimpun di Wisma Geylang Serai bagi Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) pagi tadi (25 Feb).

Bertemakan 'Sastera Melayu Dalam Era Negara Bijak', pertemuan itu bertujuan memasyarakatkan bahasa dan sastera Melayu, di samping bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.

Tetamu Terhormat Encik Yatiman Yusoff merasmikan acara itu.

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Yatiman mengalu-alukan usaha para penulis, intelektual bahasa dan sastera serta aktivis berkongsi ilmu bagi mewujudkan kesinambungan kerjasama dalam bidang seni sastera bahasa Melayu di rantau ini.

Kata Encik Yatiman: "Bagi ramai kita, ia merupakan perkembangan yang amat bermakna memandangkan peri pentingnya peranan kesusasteraan dalam menyumbang ke arah pembinaan bangsa dan peningkatan martabat insan.

"Usaha ini dimulakan pada saat para pejuang bahasa dan sastera kita menerajui kemajuan bahasa dan sastera dalam pembinaan bangsa masing-masing."

Pertemuan Sasterawan Nusantara itu dibahagikan kepada tiga sesi pembentangan yang bakal diadakan sehingga esok.

--

Seramai 15 pemakalah diundang untuk menyampaikan kertas kerja masing-masing.

Tajuk-tajuk perbincangan termasuk perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang meliputi bidang pendidikan.

Warisan Melayu seperti gurindam, syair dan pantun turut dipersembahkan.

Di pertemuan itu juga diadakan Forum Perdana yang akan disampaikan oleh setiap perwakilan negara.

Dalam pada itu Presiden ASAS '50, Encik Suraidi Sipan menekankan tentang pentingnya memperkembangkan bahasa Melayu serta memanfaatkan teknologi.

"Para sasterawan kita harus belajar perkembangan teknologi dan memahami situasi hari ini. Teknologi, kalau kita lihat, menyampaikan sesuatu dengan cara yang pantas sekali.

"Jadi para sasterawan harus memikirkan satu solusi yang baik, bagaimana mereka dapat seiring dengan kemajuan teknologi itu. Dengan itu, mereka tidak ketinggalan ke belakang. Contohnya, memikirkan bagaimana karya itu dapat sampai kepada masyarakat bukan sahaja di negara sendiri malahan di seluruh dunia," ujar Encik Suraidi kepada BERITAmediacorp.

Acara yang diadakan buat kali ke-20 itu dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan '50 (Asas50).

Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah pada 2011.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan