Skip to main content

Singapura

Pertembungan bas Bukit Batok: 4 masih ditahan di hospital

Kebanyakan daripada 15 orang yang dibawa ke hospital selepas nahas bas pada Ahad di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok telah dibenarkan pulang ke rumah, menurut Tower Transit pada Isnin (12 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jul 2021 06:13PM Dikemas Kini : 12 Jul 2021 09:03PM

SINGAPURA: Kebanyakan daripada 15 orang yang dibawa ke hospital selepas nahas bas pada Ahad di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok telah dibenarkan pulang ke rumah, menurut Tower Transit pada Isnin (12 Jul).

Empat masih dirawat dalam wad, termasuk seorang pemandu bas Tower Transit yang mengalami "kecederaan tidak kritikal", kata pengendali pengangkutan itu.

"Kami akan terus memeriksa keadaan mereka dalam tempoh beberapa hari mendatang. Kami juga telah mengeluarkan peringatan keselamatan kepada semua kakitangan kami," kata seorang jurucakap sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kesejahteraan kakitangan dan penumpang kami paling diutamakan pada masa ini, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk menyokong mereka dan keluarga mereka, dan membantu dengan tuntutan perubatan dan insurans mereka."

Dua bas Tower Transit, kedua-duanya menawarkan perkhidmatan ulang alik nombor 945, bertembung pada petang Ahad, menyebabkan salah satu bas menaiki bendul jalan, menyebabkan sebahagian pagar roboh dan bas itu terbalik ke sisi.

Berikutan kejadian itu, Anggota Parlimen Bukit Batok Murali Pillai berkata kemalangan berlaku apabila salah satu bas sedang membuat pusingan-U di dalam pusat pertukaran itu dan bertembung dengan bas kedua yang sedang memasuki pusat tersebut.

Apabila Mediacorp mengunjungi pusat pertukaran tersebut pada Isnin, sebuah penghadang keselamatan dipasang menggantikan pagar yang tercabut akibat kemalangan itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pada Ahad bahawa 17 orang cedera, sambil menambah bahawa 14 daripada mereka dibawa ke hospital.

Lagi tiga yang cedera ringan tidak mahu dibawa ke hospital, kata SCDF.

Hanya satu bas yang membawa penumpang semasa kejadian berlaku.

Seorang pemandu bas SBS Transit juga dibawa ke hospital. Menurut Kesatuan Pekerja Pengangkutan Nasional, beliau sedang berehat apabila cedera dalam kemalangan itu.

Mediacorp telah menghubungi SBS Transit untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan pemandu basnya.

Jurucakap Tower Transit berkata penumpang yang terlibat dalam kemalangan boleh menghubungi syarikat itu di talian 1800 248 0950 atau feedback [at] towertransit.sg. Mereka juga boleh mengunjungi pejabat perkhidmatan penumpangnya di pusat pertukaran bas Jurong East atau Bukit Batok.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita