Skip to main content

Singapura

Pertarungan diplomasi: India, Pakistan beri gambaran bercanggah di forum pertahanan di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Pertarungan diplomasi: India, Pakistan beri gambaran bercanggah di forum pertahanan di Singapura
Jeneral Anil Chauhan, Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Tentera India, dan Jeneral Sahir Shamshad Mirza Pengerusi, Jawatankuasa Ketua-ketua Turus Bersama Angkatan Tentera Pakistan, berucap di Dialog IISS Shangri-La di Singapura. (Gambar: YouTube/IISS)
Diterbitkan : 01 Jun 2025 10:07PM Dikemas Kini : 01 Jun 2025 10:18PM
SINGAPURA: Semasa Dialog Shangri-La IISS di Singapura pada Ahad (1 Jun), India dan Pakistan naik ke pentas satu persatu untuk membentangkan gambaran yang sangat berbeza berikutan pertempuran tentera yang singkat tetapi sengit pada Mei lalu.

KETEGANGAN TERCETUS KEMBALI SUSULI PERTEMPURAN

Ketua Turus Pertahanan India Jeneral Anil Chauhan menuduh Pakistan menggalak keganasan, dengan merujuk kepada serangan ganas ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang ditadbir India. Menurut beliau, "India telah menetapkan batasan baharu... Kami menjadi sasaran perang proksi dan keganasan selama dua dekad... kami mahu menamatkannya."

Pakistan bagaimanapun menafikan penglibatannya. Jeneral Sahir Shamshad Mirza, Pengerusi Jawatankuasa Ketua-ketua Turus Bersama Pakistan, memberi amaran tentang kemungkinan keadaan bertambah tegang pada masa akan datang: "Lain kali... bandar-bandar mungkin menjadi sasaran pertama. Kemusnahan mungkin sudah berlaku sebelum dunia sempat memberi reaksi."

Susuli konflik pada bulan Mei, di mana India menjalankan "Operasi Sindoor" dan akur telah kehilangan jet-jet pejuangnya, kedua-dua negara bersetuju untuk menjalankan usaha diplomasi. India menghantar delegasi ke lebih 30 ibu kota sekeliling dunia. Pakistan pula akan mula berbuat demikian bulan ini.

Mantan Menteri Luar India Salman Khurshid menyifatkan usaha itu sebagai sesuatu yang "belum pernah berlaku sebelum ini," yang bertujuan untuk menyebar dakwaan India bahawa Pakistan tidak berusaha secukupnya untuk membanteras keganasan. Pakistan menyangkal dakwaan tersebut sambil mendakwa ia secara aktif memerangi keganasan, terutamanya melibatkan kumpulan yang berpangkalan di Afghanistan yang kini ditadbir Taliban.

SENJATA, DRON DAN USAHA STRATEGIK

Kedua-dua pihak mempamerkan perkakasan tentera mereka yang baharu semasa pertempuran pada bulan Mei. India mempamerkan jet Rafale Perancis sementara Pakistan menggunakan jet J10-C keluaran China. Sungguhpun demikian, kedua-dua jeneral itu menyangkal kemungkinan tenteranya bergantung pada hanya satu sumber tertentu. Kedua-dua negara juga menggunakan dron dan alat siber, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap peperangan moden dan maklumat palsu.

Senjata nuklear tidak dibangkitkan sebagai salah satu ancaman, tetapi, ketegangan tetap wujud. Jeneral Mirza berkata bahawa perbezaan dari segi keupayaan pertahanan moden seperti AI, peperangan elektronik serta kuasa tembakan tepat, boleh menjejas teruk keseimbangan strategik.

TUNTUTAN PRESIDEN TRUMP DAN PERTIKAIAN MENGENAI AIR

Presiden Amerika Donald Trump mendakwa bertanggungjawab ke atas rundingan gencatan senjata yang berjaya, menerusi perjanjian dagangan. India bagaimanapun menyangkal dakwaan Presiden Trump sambil berkata rundingan antara pihak tentera berjaya memuktamadkan perjanjian berkenaan. Pakistan bagaimanapun, mengiktiraf peranan Presiden Trump dalam menghuraikan konflik tersebut.

Ancaman yang lebih besar mungkin berkaitan air. Tindakan India menggantung Perjanjian Perairan Indus 1960, satu perjanjian yang penting buat pertanian Pakistan. Ini menimbulkan kemungkinan tercetusnya pertikaian baharu.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita