Skip to main content

Singapura

Pertaruhan tinggi bagi pilihan raya akan datang, PAP mesti terus bekerja lebih keras: Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Nov 2024 01:23PM Dikemas Kini : 24 Nov 2024 09:19PM
SINGAPURA: Dengan begitu banyak dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Umum Singapura akan datang, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak boleh berpeluk tubuh, kata Timbalan Setiausaha Agung PAP Lawrence Wong.

Semasa berucap di persidangan dua tahun sekali PAP pada Ahad (24 Nov), Encik Wong, yang juga perdana menteri, berkata bahawa PAP mungkin boleh "beroperasi dari balik tabir" semasa landskap politik "kurang mencabar" suatu ketika dahulu.

Ketika itu, ia menjadi peranan pemerintah untuk mendampingi rakyat, menerangkan dasar pemerintah dan mendapatkan maklum balas dan idea, katanya, sambil menambah bahawa ia akan terus berbuat demikian.

Tetapi PAP kini mesti "lebih menonjolkan diri", kata Encik Wong.

Ia mesti berbuat demikian untuk "menjelaskan dasar-dasar kami, untuk menggerakkan rakyat untuk mencapai tujuan yang kami percayai, untuk melibatkan rakyat Singapura dengan isu-isu yang mereka ambil berat, dan yang penting, untuk menunjukkan kepada mereka mengapa mereka boleh mempercayai dan bergantung kepada PAP untuk menyediakan kepimpinan untuk Singapura".

Encik Wong, yang juga menteri kewangan, akur mengenai keinginan untuk melihat lebih banyak suara pembangkang, dan menunjukkan bagaimana pihak pembangkang telah memberi amaran sebelum ini bahawa mereka akan 'menang besar'.

Tetapi risiko yang lebih besar, kata Encik Wong, ialah Singapura kehilangan pemerintah yang "stabil dan baik".

Encik Wong mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Mei tahun ini.

“Pembangkang sendiri mengakui mereka masih jauh dari bersedia untuk membentuk pemerintah,” kata Encik Wong.

“Mereka mengatakan ia sebahagiannya kerana mereka tahu bahawa rakyat Singapura tidak akan menyokong mereka jika mereka secara terbuka mengisytiharkan hasrat mereka untuk mentadbir.

“Jadi mereka dengan pantas memberi jaminan kepada rakyat Singapura: ‘Jangan risau, anda boleh mengundi kami, kami hanya mahu membangkang, kami tidak mahu membentuk pemerintah.’”

Tetapi jika lebih ramai pengundi diyakinkan dengan hujah ini dan mengundi pembangkang, ia akan menjadi pemerintah tidak lama lagi, kata Encik Wong.

Keputusan ini tidak memerlukan perubahan besar pada jumlah undi yang menyokong pembangkang, tambah Encik Wong, sambil menyatakan bahawa beberapa Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) telah menyaksikan persaingan yang sengit pada pilihan raya lalu.

“Perubahan sederhana” dari segi undi popular terhadap PAP boleh membawa kepada keputusan pilihan raya yang sangat berbeza, mungkin kehilangan tiga atau empat lagi GRC, kata Encik Wong.

Ini juga boleh bermakna kehilangan empat atau lima menteri, yang membentuk seperempat daripada Kabinet, kata Encik Wong.

"Kita akhirnya akan mendapat pemerintah yang lebih lemah, dengan kurang keupayaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan negara kita, ketika dunia menjadi semakin tidak menentu dan bermasalah," tambahnya.

“Pertaruhan dalam pilihan raya akan datang adalah tinggi. Jangan sesekali fikir PAP pasti akan menang dan akan membentuk pemerintah yang stabil."

"PASUKAN TERBAIK UNTUK SINGAPURA"

Encik Wong juga berkata bahawa parti-parti pembangkang telah cuba "mengeksploitasi" kekecewaan terhadap kos sara hidup yang meningkat untuk mengubah sentimen terhadap PAP - walaupun parti-parti itu sendiri "tidak mempunyai huraian yang baik".

“Kami berharap rakyat Singapura memahami bahawa ini adalah trend inflasi global. Ia memberi kesan kepada semua negara. Tetapi di sini, di Singapura, pemerintah melakukan yang terbaik untuk melindungi anda, untuk melindungi kita semua daripada kesan terburuk inflasi global,” tambah Encik Wong, sambil menambah bahawa pakej-pakej utama telah dilancarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebagai pemerintah dan parti, kami melakukan semua yang kami mampu. Dan kami benar-benar boleh mengatakan bahawa, dengan sepenuh hati, kami melakukan semua yang kami mampu untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kos sara hidup yang lebih tinggi.”

PAP memenangi mandat dalam 15 pilihan raya lalu kerana setiap kali, parti itu menunaikan apa yang dijanjikan, kata Encik Wong.

Mana-mana parti yang boleh menarik dan meletakkan pasukan yang lebih kuat akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan sokongan rakyat Singapura dan mandat untuk mentadbir negara, tambah Encik Wong.

Itulah sebabnya keutamaan PAP adalah untuk membentuk pasukan terbaik untuk Singapura, kata Encik Wong.

“Tidak pernah mudah untuk mendapatkan calon baik untuk memasuki politik,” katanya, sambil menambah bahawa mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong pernah memberitahunya bahawa ia “sentiasa mencabar”.

Encik Wong berkongsi bahawa beliau telah meluangkan banyak masa untuk mendampingi calon-calon yang berpotensi, tetapi mendapati kebanyakan rakyat Singapura "selesa dengan kedudukan mereka", seperti yang dijangkakan.

“Mereka sangat keberatan untuk mengubah gaya hidup mereka. Juga, mengapa harus mereka menjadi perhatian ramai?” tambah Encik Wong.

“Biasanya, mereka memberitahu saya: 'Biar orang lain yang buat kerja itu'... Atau mereka mungkin berkata: 'Jangan risau, PAP berada dalam kedudukan yang sangat kukuh; dan lagipun anda baru bermula, mengapa anda tergesa-gesa'.”

Daripada 19 menteri dalam Kabinet yang berkhidmat sekarang, lebih separuh daripada mereka berusia 60 tahun ke atas, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa pada usia 52 tahun, beliau adalah salah seorang anggota termuda.

Menteri-menteri yang lebih tua dalam pasukan itu berkongsi pengalaman dan nasihat yang bijaksana, dan akan terus berkhidmat selama lima hingga 10 tahun lagi, dengan mengandaikan bahawa mereka berada dalam keadaan sihat, tambah Encik Wong.

“Tetapi bolehkah saya menunggu sehingga mereka bersara sebelum membawa masuk muka-muka baharu? Pasti tidak. Saya mesti memulakannya sekarang untuk memperbaharui pasukan.”

Dalam membawa masuk calon-calon baharu, adalah "sangat sukar" untuk terus memberikan mereka jawatan menteri, kerana mereka memerlukan masa untuk belajar, kata Encik Wong.

Itulah sebabnya mengapa ia "sangat mendesak" untuk mencari sekumpulan calon muda yang boleh membentuk pasukan kepimpinan seterusnya untuk Singapura, tambah Encik Wong.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita