Skip to main content

Singapura

PERTAPIS tambah bantuan makanan jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah keluarga yang dibantu dalam inisiatif Food on Wheels anjuran Pusat Pendidikan dan Kebajikan PERTAPIS tahun ini meningkat lebih tiga kali ganda kepada 700 keluarga.

Ini berbanding 200 keluarga tahun lalu.

Usaha itu juga menarik lebih 350 sukarelawan daripada sekolah, madrasah, kerabat korporat dan kumpulan untuk bergotong-royong menjayakan inisiatif itu.

Ada yang sudah mula dari semalam, menyingsing lengan untuk membungkus pek makanan bernilai $120 setiap satu, termasuk baucar barangan dapur bernilai $50 untuk diagihkan pagi tadi (16 Feb).

Mereka menaiki lebih 80 kenderaan untuk ke serata Singapura untuk agihkannya menjelang Ramadan.
Related article image
Sekitar 80 kenderaan berisi sekitar 180 relawan sejak pagi Ahad, 16 Feb berkelana ke serata Singapura untuk mengagih-agihkan pek makanan kepada 700 keluarga yang memerlukan, di bawah inisiatif Pra Ramadan PERTAPIS, Food on Wheels. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Meskipun sudah terdapat beberapa lagi usaha serupa oleh badan Melayu/Islam lain, PERTAPIS mendapati permintaan bagi bantuan dalam bentuk makanan masih lagi tinggi.

"PERTAPIS mahu menjadi lebih efektif dalam memberikan bantuan. Kami telah mula menjalankan temu duga semula dengan penerima bantuan menggunakan soalan yang lebih mendalam bagi mengenal pasti isu sebenar mereka. Ini membolehkan kami menyusun program yang lebih holistik," ujar Presiden PERTAPIS, Shaharin Nordin.

"Berdasarkan maklum balas, daripada penerima bantuan, makanan masih sangat diperlukan. Kami mahu membantu mereka supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada perbelanjaan yang lebih penting seperti bil, pendidikan dan keperluan asas lain. Kami turut menyediakan sokongan yang lebih memperkasa keluarga. Antaranya, kami telah menjalankan pemeriksaan kesihatan di masjid dan di Wisma Geylang Serai sejak tahun lalu," tambahnya.
Related article image
Siap berjasa - antara relawan Food on Wheels Pra Ramadan PERTAPIS. (Gambar: PERTAPIS)
Dalam ucapan ringkasnya dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu, tetamu terhormat, Menteri Tenaga Manusia dan AP GRC Marine Parade, Dr Tan See Leng memuji PERTAPIS di atas usaha yang menjadi sumber ilham.
Related article image
Seawal 8 pagi Ahad para relawan sudahpun siap menyantuni keluarga susah. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Dr Tan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para relawan.

"Sebenarnya, inisiatif makanan ini sentiasa dialu-alukan kerana pada setiap masa dan musim, akan ada keluarga berpendapatan rendah yang akan memerlukan makanan tertentu. Jadi saya fikir inisiatif yang dimulakan oleh masyarakat seperti yang dilaksanakan PERTAPIS sebenarnya usaha yang amat melunakkan hati dan disambut baik," kata Dr Tan.

Beliau juga menarik perhatian bahawa keperluan golongan yang memerlukan sentiasa berubah, dan pemerintah secara kolektif, akan berurusan dengan Pertubuhan Bukan Pemerintah (NGO), pertubuhan dan badan kebajikan seperti PERTAPIS dan sebagainya untuk mengukur-semula keperluan dan menyelaraskannya.

"Saya fikir ia adalah usaha yang sangat, sangat baik, diselaraskan dan sangat bersepadu dari masyarakat, yang membolehkan pelbagai kumpulan sosial, pelbagai VWO, pelbagai NGO untuk dapat menilai segmen masyarakat masing-masing dan secara kolektif memberi maklum balas ke atas supaya kita sebenarnya dapat bekerja untuk menghasilkan inisiatif baharu untuk bertindak balas dengan lebih baik dan juga untuk menyasarkan dan menyokong beberapa keluarga berpendapatan rendah ini dengan lebih baik. Jika kita bekerja bersama-sama sebagai masyarakat yang bersatu, usaha kolektif kita akan mendorong kita semua mengecap peningkatan bersama-sama dengan cara yang sangat, sangat selaras," luah Dr Tan.

AKTIVIS BAHARU PAP SERTAI USAHA SANTUNI PENDUDUK, DEKATI MASYARAKAT

Menjawab pertanyaan wartawan tentang Pilihan Raya pula, Dr Tan See Leng berkata pasukannya sentiasa berusaha untuk lebih mendekati penduduk.

Ini termasuk aktivis-aktivis baharu PAP yang dilihat menyantuni para penduduk dan salah seorang daripadanya ialah Cik Hazlina Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Singapore dan juga mantan penyampai BERITA.

"Hazlina, kami sudah bekerja dengannya dalam banyak juga acara akar umbi di mana beliau membantu kami. Beliau relawan cemerlang. Orang ramai suka padanya. Kini, saya tahu anda bertanya sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding. Terus-terang, saya tidak tahu," kata Dr Tan.

"Setiap kali apabila pengundi, penduduk mengundi kami, ia mendorong kami untuk melakukan lebih, untuk bekerja lebih kuat. Jadi persiapan bagi pilihanraya sudah bermula sejak empat, lima tahun lalu, dan saya sahkan yang usaha kami tiada henti," ujar Dr Tan kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Inisiatif Food on Wheels anjuran Pusat Pendidikan dan Kebajikan PERTAPIS pertama kali dianjurkan tahun lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita