Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertapis lancarkan Tabung Amal Jariah bantu biaya sekolah 500 keluarga memerlukan

Pertapis lancarkan sebuah dana baru dipanggil Tabung Amal Jariah Projek Kembali Ke Sekolah demi membantu biaya persekolahan 500 keluarga memerlukan, Lebih 1,000 anak sekolah dijangka mendapat manfaatnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertapis pada Selasa (30 Nov)melancarkan sebuah Tabung Amal Jariah (TAJ) yang bertujuan membantu 500 keluarga memerlukan.

Dipanggil Projek Kembali Ke Sekolah Tabung Amal Jariah (TAJ), sebanyak S$100,000 diperuntukkan bagi membiayai keperluan persekolahan anak-anak daripada keluarga tersebut.

Di bawah program bantuan itu, setiap keluarga memerlukan membawa pulang wang tunai sebanyak S$200.

Selain itu, para penerima juga membawa pulang habuan makanan bernilai S$70, semasa acara pengagihan itu yang diadakan di tingkat empat, Joo Chiat Complex.

Pertapis menyatakan, lebih 1,000 anak sekolah daripada keluarga yang dibantu dijangka mendapat manfaat daripada program tersebut.

"Wang ini adalah untuk kegunaan anak-anak sekolah ini membeli buku-buku dan peralatan sekolah yang mereka perlu," jelas Presiden Pertapis, Encik Hussaini Abdullah.

Menurut Pertapis, jumlah wang tunai yang diberikan sama kepada semua keluarga, tidak kira jumlah anak-anak yang masih bersekolah.

"Walaupun wang S$200 itu saya rasa pun masih tak mencukupi, tapi itulah apa yang wajar untuk mereka belikan untuk anak-anak mereka supaya bila buka sekolah nanti, keperluan yang utama itu sudah ada di dalam tangan mereka," tambah beliau.

2 IBU INI BERSYUKUR TERIMA DANA TAJ

Antara penerima yang cukup mengalu-alukan bantuan ini termasuklah Cik Amalina Jumaat, 35 tahun, yang suaminya kini menjalani hukuman penjara.

Cik Amalina hanya bekerja sambilan kerana perlu menjaga ibu bapa mertua yang sudah berusia, selain membesarkan anak perempuannya sendiri.

"Tahun depan, dia (anak) akan naik ke Darjah 5 jadi duit ini membantu saya mempersiapkan barang sekolahnya dan apa-apa tambahan yang diperlukan," kata Cik Amalina, yang mula mendapat bantuan habuan bulanan daripada Pertapis sejak 2019.

Rasa bersyukur turut dikongsi seorang lagi ibu, Cik Dhatin Shaikh Yasin Bamadhj, 33 tahun.

Dia mempunyai lima orang cahaya yang semuanya masih bersekolah berusia antara empat hingga 15 tahun.

Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan Cik Dhatin yang bekerja sebagai pekerja pembersihan, sementara suaminya bertugas sebagai seorang pemandu.

"Saya akan gunakan untuk mereka kembali ke sekolah sebab mereka semua. Ada yang di (sekolah) menengah, ada di sekolah rendah dan ada di prasekolah. Jadi mereka semua perlukan peralatan sekolah untuk tahun depan," kata Cik Dhatin.

Pengagihan bantuan dijalankan Pertapis sepanjang tiga hari, sehingga Khamis (2 Dis).

Selain menerima habuan makanan, keluarga-keluarga penerima juga dapat memilih barangan seperti buku-buku dan pakaian terpakai sumbangan orang ramai.

Pertapis berharap, masyarakat dapat terus memberikan sokongan agar ia dapat menambah lagi jumlah agihan Projek Kembali Ke Sekolah TAJ di masa hadapan.

"Pertapis ini sebagai satu tempat pengaduan untuk mereka meluahkan rasa keperitan hidup mereka itu. Dan kita membantu setakat terdaya kita dan apa yang ada dan kita pun dapat daripada masyarakat, orang ramai, badan-badan dan sebagainya derma-derma dan kita salurkan semula kepada mereka," kata Encik Hussaini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan