Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertapis jangka perlu tampung lebih ramai pesalah dadah ekoran pindaan undang-undang

Rumah Peralihan Pertapis dijangka perlu menampung lebih banyak lagi pesalah dadah untuk menjalani program pemulihan dan rawatannya apabila Rang Undang Undang Penyalahgunaan Dadah dipinda nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Rumah Peralihan Pertapis dijangka perlu menampung lebih banyak lagi pesalah dadah untuk menjalani program pemulihan dan rawatannya apabila Rang Undang Undang Penyalahgunaan Dadah dipinda nanti.

Rang pindaan tersebut, yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, antara lain memberikan lebih banyak penekanan terhadap aspek pemulihan.

BERITAmediacorp meninjau sejauh manakah rumah-rumah peralihan seperti Pertapis sudah bersedia untuk menerima lebih banyak pesalah dadah yang dirujukkan kepadanya nanti.

HARAPAN BAGI PESALAH DRC

“Ahmad”, 28 tahun, sudah dua kali ditahan kerana kesalahan mengambil dadah ICE. Kali pertama, dia ditahan di DRC adalah pada 2015.

Namun, setelah dibebaskan pada awal 2016, Ahmad terjebak lagi ke kancah dadah dan ditangkap awal tahun ini. Dia kini menjalani program pemulihan DRC2 di Rumah Peralihan Pertapis sehingga Julai 2019.

Mengikut akta sekarang, jika diberkas buat kali ketiga atau lebih, Ahmad akan dikenakan hukuman penjara jangka panjang (LT) dan akan mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, jika pindaan akta penyalahgunaan dadah diluluskan, para pesalah dadah seperti Ahmad - yang hanya mengambil dadah, tidak mempunyai rekod jenayah lain dan dianggap dalam kategori risiko rendah - akan terlepas daripada hukuman penjara LT.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga menyatakan, menerusi pindaan tersebut pesalah dadah kali pertama yang dianggap berisiko rendah akan dikenakan Arahan Penyeliaan Langsung Dipertingkat (EDSO) - iaitu penyeliaan bukan berbentuk tahanan sehingga lima tahun.

Semua ini menurut MHA, menekankan aspek pemulihan dan membantu pesalah diintegrasikan semula kepada masyarakat dengan lebih pantas.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin, perubahan-perubahan adalah usaha untuk memperhalusi sistem pemulihan yang ada sekarang.

"Sebenarnya telah banyak perhaluskan dari segi kita mendekati para pesalah, (termasuk) cara kita mendekati mereka dari segi program-program yang ada di penjara, di luar penjara dan sebagainya," kata Encik Amrin semasa ditemu BERITAmediacorp.

"Tapi kali ini kita lebih yakin tentang keputusannya dan juga kita ada kajian-kajian yang bertumpukan kepada metodologi ini yang menunjukkan yang ia lebih berhasil jika kita memberi mereka tumpuan yang khas."

KES DI RUMAH PERALIHAN AKAN NAIK

Namun, dengan jumlah pesalah dadah Melayu kekal tinggi iaitu 1,620 pada tahun lalu, Rumah Peralihan Pertapis menjangka kes yang disalurkan kepadanya akan naik - lantas khidmat yang diberikannya juga akan lebih besar.

Sekarang ini ia mengendalikan sekitar 100 penghuni.

Pertapis mendedahkan, ia perlu menambah jumlah katil, selain menambah pekerja sosial, kaunselor dan juga Pegawai Kebajikan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Pihaknya juga kini dalam proses "merekrut dan menambah tenaga kerja sokongan", menurut Pertapis.

Malah menurut Pertapis, walaupun pindaan tersebut belumpun bermula, ia "sudahpun merasakan aliran masuk penghuni".

"Kami boleh mengendalikan sekitar 130 kes setiap tahun dan mampun mengambil lebih banyak lagi kes secara progresif, dengan bantuan dan sumber-sumber dari Jabatan Penjara, MHA dan sokongan awam kepada pertubuhan ini," menurut Timbalan Ketua Rumah Peralihan Pertapis, Muhammad Sufian Salim.

Yang pasti, Pertapis menyatakan ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk keluarga.

"Pada pandangan kami apabila keluarga dimasukkan (disertakan) ke dalam program ia amat berkesan untuk penghuni itu sendiri jadi kami juga amat mengalu-alukan jika dari segi kepentingan kekeluargaan itu diterapkan pada penghuni-penghuni ini sebab pada mereka keluarga adalah tunggak perubahan mereka dan juga motivasi untuk mereka berubah. Jadi itu adalah salah satu langkah yang kita rasa penting untuk dilakarkan," kata Encik Sufian lagi.

Bacaan kedua Pindaan terhadap Rang Undang Undang Penyalahgunaan Dadah akan dibentangkan awal tahun depan.

Rang pindaan itu dijangka dilaksanakan seawal pertengahan tahun depan jika diluluskan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan