Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERTAPIS, Diabetes SG perkenal inisiatif baharu untuk tangani kencing manis dalam kalangan jemaah Haji & Umrah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu inisiatif baharu dilancarkan untuk membimbing para jemaah yang akan menunaikan ibadah Haji dan Umrah untuk mengawal penyakit kencing manis.

Antaranya, ia dilakukan dengan menyediakan panduan dan sumber yang berguna untuk jemaah mengawal penyakit mereka itu dengan lebih berkesan lagi sepanjang perjalanan mereka.

Dipanggil 'Diabetes Under control during Ibadah and Travel' (DUIT), inisiatif itu merupakan hasil kerjasama PERTAPIS dengan Diabetes Singapore, yang disokong oleh Hospital Besar Sengkang.

Dengan usaha ini, mereka berharap bakal jemaah lebih peka akan keperluan kritikal untuk penjagaan khusus dan sokongan dalam menangani kencing manis dalam kalangan mereka.

Gambar: PERTAPIS

JEMAAH DIBERI TIP, PANDUAN KAWAL PENYAKIT KENCING MANIS SEMASA LAKUKAN IBADAH HAJI, UMRAH

Program Pengurusan Kencing Manis yang diadakan pada Sabtu (27 Apr) untuk memperkenalkan inisiatif baharu itu, antaranya melibatkan sesi untuk berkongsi pengetahuan dan perbincangan panel bersama para karyawan jagaan kesihatan dan asatizah.

Turut disediakan ialah maklumat tentang rancangan dan prosedur bagi para jemaah mempersiapkan diri mereka untuk tangani sebarang cabaran kesihatan yang timbul.

"Kami teruja untuk memulakan usaha kerjasama ini bersama Diabetes Singapore. Kami percaya dengan memperkasa jemaah dengan pengetahuan dan kemahiran, kami boleh mengurangkan risiko komplikasi kesihatan dengan ketara dan mempertingkatkan lagi pengalaman umrah atau haji secara keseluruhan. Maklumat itu juga boleh dikongsi para hadirin kepada rakan-rakan dan anggota keluarga mereka," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Firdaus D'Cruz.

"Niat sesi upacara ini untuk menyediakan mereka dengan tip, panduan dan alat untuk mereka gunakan dan menyesuaikan keadaan mereka semasa melakukan ibadah Umrah dan Haji," tambahnya lagi.

Gambar: PERTAPIS

Ini juga bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang komplikasi berkaitan kencing manis.

"Kita memutuskan untuk melakukan (inisiatif) ini untuk jemaah yang akan menunaikan Haji dan Umrah, menyelidiki penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis yang mempunyai komplikasi-komplikasi seperti hipoglisemia, hiperglisemia dan penjagaan makanan. Diet seperti mana untuk diterapkan," ujar Pengarah Eksekutif Diabetes Singapore, Satyaprakash Tiwari.

SESI DIALU-ALUKAN PESAKIT KENCING MANIS DAN PENJAGA MEREKA

Encik Muhammad Fauzi Kamsan dan isteri, Cik Zubaidah Mohd Yusoff

Antara peserta yang mengalu-alukan sesi perkongsian sedemikian ialah Encik Muhammad Fauzi Kamsan, seorang pesakit kencing manis.

"Pertama sekali, saya pelajari ialah tentang insurans yang sedia ada untuk pesakit kencing manis ke sana. Jadi ini satu yang tidak pernah saya dengar dan akan saya selidiki," kongsi Encik Fauzi.

"Kedua, apabila kita ingin ke sana, cuaca dan keadaannya lain. Jadi bagaimana kita ingin mengawal atau mengurus pengambilan ubat-ubatan kita? Rupa-rupanya ada cara-cara tersendiri. Jadi kita juga perlu berbincang dengan doktor peribadi untuk tahu caranya," tambah beliau.

Gambar: PERTAPIS

Malah, sesi itu juga berguna untuk para penjaga seperti Cik Zubaidah Mohd Yusoff yang datang untuk menyokong suaminya, Encik Fauzi.

"Yang paling mustahak yang saya pelajari ialah sebelum pergi menunaikan ibadah Haji atau Umrah, kita mesti melakukan senaman dan mula makan makanan yang lebih sihat," kongsi Cik Zubaidah.

"Sebagai penjaga, saya perlu memberi motivasi kepadanya, dan menolong mengingatkannya tentang apa yang harus dimakan, bila untuk makan dan ubat seperti mana yang perlu dikurangkan atau dilebihkan," tambahnya.

Acara yang diadakan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat itu dihadiri sekitar 40 peserta.

PERTAPIS merancang untuk membawa inisiatif itu ke kawasan-kawasan kejiranan lain di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan