PERTAPIS agih S$150,000 kepada 500 keluarga memerlukan bagi persiapan lebaran
PERTAPIS telah mengagihkan wang tunai sebanyak S$150,000 kepada 500 keluarga memerlukan sempena Aidilfitri yang menjelang.
SINGAPURA: PERTAPIS telah mengagihkan wang tunai sebanyak S$150,000 kepada 500 keluarga memerlukan sempena Aidilfitri yang menjelang.
Setiap keluarga menerima wang S$300 yang dapat mereka gunakan untuk persiapan lebaran.
Semalam (Selasa, 2 April), keluarga-keluarga tersebut turut diundang ke satu majlis Iftar@PERTAPIS di MAX Atria yang juga disertai para penderma utama PERTAPIS.
Sumbangan wang tunai tersebut adalah sebahagian daripada matlamat menyeluruh badan itu untuk memupuk semangat kemasyarakatan bagi menggalak kebaikan dan empati antara satu sama lain.
Tetamu terhormat Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim memuji usaha yang dijalankan badan-badan Melayu/Islam seperti PERTAPIS untuk memastikan tiada golongan yang ketinggalan.
"PERTAPIS telah berkecimpung dalam bidang sosial selama lebih lima dekad lamanya dan amat terkesan bagi saya melihat pelbagai ahli keluarga yang telah meraih manfaatnya. Kita harus tidak terlepas pandang apakah impaknya yang terkesan pada seorang individu bila menerima bantuan daripada badan-badan kebajikan seperti PERTAPIS dan ini akan membantu mereka untuk generasi yang akan datang juga," kata Encik Zhulkarnain.
Iftar@PERTAPIS adalah salah satu daripada pelbagai usaha yang dijalankan PERTAPIS untuk golongan memerlukan sepanjang tahun.
Ia membelanjakan kira-kira S$800,000 setahun untuk menampung kos seperti pengagihan barangan makanan bulanan, baucar pasar raya, khidmat pembersihan rumah dan tuisyen.
PERTAPIS menjangkakan kos untuk menyediakan bantuan tersebut akan meningkat ekoran inflasi.
Lantaran itu, ia mengharapkan kerjasama berterusan dan sumbangan murah hati para penderma untuk memastikan golongan yang memerlukan mendapat sokongan penting untuk memperbaiki kehidupan mereka.
"Kami mempunyai hubungan yang lama dengan gerai-gerai di mana kami selalu beli habuan-habuan untuk keluarga-keluarga kami. Mereka dapat memberikan faedah ekonomi skala dan kita dapat mengekalkan kos kami. Dengan itu kami dapat menyediakan semua bantuan yang kami sediakan kepada keluarga-keluarga (yang memerlukan)," kata Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Encik Firdaus D'Cruz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.