Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertanyaan untuk khidmat pembantu rumah Indonesia melonjak 50% selepas pengumuman laluan VTL Singapura-Indonesia

Sebilangan agensi pembantu rumah menyaksikan jumlah pertanyaan bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah dari Indonesia meningkat selepas Singapura mengumumkan akan melancarkan skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebilangan agensi pembantu rumah menyaksikan jumlah pertanyaan bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah dari Indonesia meningkat selepas Singapura mengumumkan akan melancarkan skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan Indonesia.

Misalnya bagi agensi pembantu rumah Hilwah Maid Agency, sejak pelaksanaan laluan VTL Singapura-Indonesia diumumkan seminggu lalu, agensi tersebut menyaksikan jumlah pertanyaan bagi mendapatkan pembantu rumah Indonesia melonjak lebih 50%.

Ini kerana para majikan tidak perlu menanggung kos kuarantin tujuh hari di hotel bagi pembantu rumah mereka yang ke sini di bawah skim VTL, sekaligus mengurangkan kos dan masa menunggu juga lebih pendek.

"Mereka boleh jimatkan dalam 50%. Dulu masa perbelanjaan di penampungan hotel selama 14 hari, 21 hari, ia boleh menjangkau lebih $2,000 untuk membelanjakan perbelanjaan di hotel sahaja tetapi dengan adanya VTL ini, perbelanjaannya amat berkurangan kerana mereka tidak perlu menjalani penampungan di hotel," kata Pengarah Hilwah Maid Agency, Hilwah Brown.

Malah menurut Cik Hilwah, separuh pelanggannya yang sudah menempah laluan bukan VTL untuk membawa masuk pembantu rumah mereka kini mahu menukarnya kepada laluan VTL.

TEMPAT PENGASINGAN, PROSES KERTAS KERJA ANTARA FAKTOR PERTIMBANGAN

Bagaimanapun, agensi-agensi yang ditemui turut berkongsi beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira para majikan jika mahu menggunakan skim VTL.

Ini termasuk aspek keselamatan dan keselesaan keluarga majikan jika si pembantu rumah menjalani pengasingan di rumah sementara menunggu keputusan ujian PCR mereka.

"Kewajipan majikan untuk memastikan mereka menyediakan kamar khas yang sudah dilengkapi dengan bilik air dan mereka tidak boleh membuat pembantu rumah itu bekerja, iaitu keluar daripada kamarnya untuk pekerjaan, seringan mana pun tidak boleh, " jelas Cik Hilwah lagi.

Maka itu, menurut agensi pembantu rumah Hikmah Employment Agency, masih ada majikan yang memilih untuk mengambil laluan bukan VTL.

"Demi keselamatan keluarga majikan, mereka mengambil sikap 'better be safe than sorry' pasal apa pembantu itu akan melalui beberapa ujian sebelum dia dibenarkan bekerja. Jadi kalau untuk sekarang, mereka semua melalui kuarantin tujuh hari. Jadi lebih selamat untuk majikan dan juga lebih selamat untuk agensi," menurut Pengurus Hikmah Employment Agency, Farah Fauziah Mohd Noordeen.

Faktor lain yang perlu diambil kira adalah kesukaran untuk mendapatkan tiket bagi penerbangan VTL dek permintaan yang meningkat juga musim cuti sekolah hujung tahun serta proses menyiapkan kertas kerja yang perlu dilalui para pembantu rumah sebelum dibenarkan menaiki penerbangan VTL.

Antaranya, mereka perlu mempunyai salinan digital yang mengesahkan bahawa mereka sudah divaksin di klinik-klinik merata Indonesia yang diluluskan dan menggunakan aplikasi telefon bijak untuk menyimpan data tersebut bagi pemeriksaan di lapangan terbang.

Laluan VTL Singapura-Indonesia bakal dilancarkan pada 29 hari bulan ini.

Permohonan bagi Pas Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTP) bagi perjalanan antara Singapura dengan Indonesia sudah bermula hari ini (22 November).

Sebagai permulaan, dua penerbangan akan dilancarkan antara Singapura dengan Jakarta setiap hari dan akan ditambah secara bertahap-tahap kepada empat setiap hari.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan