Pertandingan WorldSkills di Singapura disertai mahasiswa buat pertama kali
Buat julung-julung kalinya pertandingan WorldSkills Singapura menyaksikan para mahasiswa universiti, pelajar institut latihan privet dan pekerja dalam syarikat swasta bersaing dengan pelajar-pelajar ITE dan politeknik.
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya sejak ia mula dianjurkan, pertandingan WorldSkills Singapura menyaksikan para mahasiswa universiti, pelajar institut latihan privet dan pekerja dalam syarikat swasta bersaing dengan pelajar-pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik.
Pertandingan peringkat kebangsaan untuk belia Singapura ini dianjurkan setiap dua tahun, dan dianjurkan buat kali ke-13 tahun ini.
Ia bermula hari ini (5 Jul) hingga Sabtu di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Para pemenang akan mewakili Singapura di pertandingan Worldskills antarbangsa - yang diberi jolokan "Sukan Olimpik Belia bagi Kemahiran " di Kazan, Rusia, Ogos 2019.
PERTANDINGAN BELIA "TIDAK KIRA LATAR BELAKANG"
Dalam pertandingan-pertandingan sebelum ini, hanya pelajar ITE dan politeknik yang mengambil bahagian.
Di majlis pelancaran edisi ke-13 hari ini, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata pihak majikan dan wakil industri berserta institut pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menggalak warga muda Singapura membangunkan kemahiran melalui pembelajaran sepanjang hayat.
Keputusan untuk menganjurkan pertandingan di tempat awam dan bukan di kampus-kampus ITE seperti tahun-tahun sudah, dilakukan oleh pemerintah untuk menekankan mesej bahawa ia satu pertandingan bagi belia "dari semua latar belakang", tambah Encik Ong.
KATEGORI BARU DIPERTANDINGKAN
Secara keseluruhannya, sekitar 250 pelajar dari 10 sekolah akan bersaing dalam 26 kategori di Worldskills Singapura.
Ini termasuk sembilan bidang baru: seni permainan digital 3D, teknologi automobil, terapi kecantikan, keselamatan siber, industri fesyen, dandanan rambut, sistem pengangkutan laju, pergerakan pengangkutan dan teknologi air.
Lebih 10,000 pelajar sekolah menengah turut hadir dalam pertandingan tersebut untuk mempelajari tentang pelbagai kemahiran menerusi satu pameran.
Keputusan pertandingan akan diumumkan di satu majlis penutup di Politeknik Republik, Selasa depan.
Tahun lalu, Singapura meraih dua pingat emas, tiga gangsa dan lapan pingat kecemerlangan di edisi ke-44 pertandingan WorldSkills antarabangsa di Abu Dhabi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.