Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertandingan masak NKF galak masyarakat Melayu/Islam sediakan hidangan lebih sihat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bukan sebuah pertandingan masak biasa! Selain menguji kemahiran memasak para peserta, pertandingan memasak 'Ready, Set ... Masak' yang dianjurkan oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan disokong oleh AllSpice Institute juga bertujuan menggalak dan mendidik masyarakat Melayu/Islam untuk menggunakan bahan-bahan alternatif yang lebih sihat.

Ini di samping menekankan pentingnya mengurangkan garam, gula dan minyak untuk menyediakan hidangan-hidangan yang sihat bagi keluarga.

Malah, ia juga menyasar meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menukar diet seharian agar dapat kekal sihat sekali gus mengurangkan risiko menghidapi penyakit-penyakit seperti kencing manis.

Pada peringkat akhir pertandingan itu yang diadakan di AllSpice Institute pada Ahad (30 Jul), Cik Abidah Abdul Hamid, 33 tahun berjaya menambat hati para juri dengan hidangan Khichdi dan Mufin Mil Oat Pisang yang menggunakan bahan-bahan alternatif lebih sihat seperti susu badam dan beras perang.

Juri Cik Humairah Hameed, Pakar Diet di Hospital Khoo Teck Puat dan Cef Kamal Khamis, Presiden Emeritus Persekutuan Kulinari Halal Singapura dan Pengasas Bersama KitchenSq LLP, memilih pemenang berdasarkan tarikan visual, rasa dan ciri-ciri kejutan dalam hidangan.

Cik Abidah membawa pulang baucar bernilai S$1,000.

--

"Saya masuk pertandingan ini supaya saya dapat belajar masak dengan lebih sihat untuk keluarga saya. Dalam pertandingan ini kami belajar tentang bahan alternatif yang lebih sihat yang kita boleh gunakan seperti beras perang dan susu badam. Saya juga banyak belajar daripada peserta lain cara mereka masak yang lebih sihat," kata Cik Abidah.

Dengan ilmu dan pengalaman yang diraih sepanjang pertandingan itu, beliau juga berharap dapat menyediakan masakan yang lebih sihat buat keluarganya.

Menurut Eksekutif Kanan, Perhubungan Korporat dan Pendampingan NKF, Cik Norazlina Wagiman, pihak NKF amat mengambil berat terhadap diet harian masyarakat.

Ini memandangkan, penyakit kencing manis dan juga darah tinggi merupakan dua punca utama kerosakan ginjal.

Menurut Cik Norazlina: "Setiap dua dalam tiga pesakit yang menghidapi kerosakan ginjal adalah disebabkan oleh penyakit kencing manis. Selain itu, masyarakat Melayu dikenalpasti sebagai kumpulan yang berisiko tinggi memandangkan kelaziman penyakit kronik ginjal yang tinggi juga. Justeru itu, kita rasa lebih banyak usaha diperlukan bagi mengubah cara pemakanan dan diet harian serta saling mengingatkan antara satu sama lain, agar dapat kurangkan risiko penyakit kronik."

Dalam pada itu, NKF turut menggalakkan masyarakat Melayu/Islam supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara konsisten agar rawatan pada peringkat awal boleh diambil jika ada sebarang masalah kesihatan.

Penganjuran pertandingan memasak itu juga disokong oleh Yishun Health serta KitchenSq LLP.

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa