Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertama kali sambut Hari Raya tanpa isteri di sisi, pengorbanan suami yang reda tak dapat sertai isteri tunai haji

Perasaan bercampur-baur dirasakan oleh Encik Mohamad Said Omar yang bakal menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini tanpa isteri di sisi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perasaan bercampur-baur dirasakan oleh Encik Mohamad Said Omar yang bakal menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini tanpa isteri di sisi.

Ini merupakan kali pertama pasangan itu menyambut Hari Raya Aidiladha secara berjauhan, sejak lebih 40 tahun mendirikan rumah tangga.


(Gambar: Mariati Mohamed Noor)

Isterinya, Cik Mariati Mohamed Noor, 64, merupakan antara jemaah yang terpilih untuk menunaikan Haji tahun ini.

Mereka sebenarnya membuat pendaftaran bersama dan terpilih untuk menunaikan haji pada 2020 namun perlu ditunda akibat COVID-19.

Tahun ini jemaah antarabangsa dibolehkan semula untuk menunaikan haji tetapi sekatan had usia pula dikenakan sebagai antara langkah keselamatan di tengah-tengah pandemik sekarang ini.

Hanya mereka berusia 65 tahun dan ke bawah sahaja dibenarkan dan oleh kerana itu, suaminya yang berusia 67 tahun tidak dapat ikut serta tahun ini.



"Saya cukup gembira bercampur sedih kerana tak dapat bersama-sama beliau menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Walau bagaimanapun, saya bersyukur beliau dapat menunaikan (Haji) dengan sempurna dan saya ingin berjumpa beliau apabila dia pulang nanti," kongsi Encik Said kepada BERITAmediacorp.

SAMBUTAN AIDILADHA BERBEZA TANPA ISTERI DI SISI

Bagi Encik Said, yang sudah lebih seminggu berjauhan dengan isteri, ini juga bermakna sambutan Aidiladha kali ini amat berbeza sekali berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.

"Selalunya kalau musim raya ini, saya suka pergi ke pasar dan belanja bersama-sama dia (isteri) dan kita sama-sama masak dan anak-anak saya akan makan lauk kesukaan beliau iaitu rendang, dan saya suka sambal goreng juga," ujar Encik Said yang mempunyai empat orang anak.



Namun, beliau berkongsi bahawa tahun ini, rancangan untuk memasak itu tidak dapat dilaksanakan.

"Kali ini, adik-beradik saya, kakak saya akan masak dan kami akan berjumpa di rumah adik saya bersama ibu, anak-anak dan cucu saya," menurut Encik Said.

ANAK-ANAK PASTIKAN AYAH TIDAK BERASA KESEORANGAN PADA AIDILADHA INI

Mujur ada anak-anak di sisi untuk menemaninya dalam perayaan istimewa ini.

Anak lelaki, Mohamad Farhan Mohamad Said berkata, "Kita sebagai anak-anak semua tidak membuat beliau (Encik Said) berasa keseorangan dan berasa aneh, tanpa isteri dan mak kita bersama"

Tahun ini, Hari Raya Aidiladha disambut sehari lebih awal di Arab Saudi dan negara-negara timur tengah lain berbanding Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Ini bermakna Cik Mariati dan jemaah haji Singapura yang lain sudah menyambut Hari Raya di tanah suci hari ini (9 Jul).



"Memang rasa berbeza kerana mak dapat menyambut Aidiladha dahulu kerana beliau pun di sana untuk menunaikan Haji. Jadi kita berdoa mak sentiasa sihat dari sana (dan) walaupun Aidiladha kita berbeza hari tetapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh meraikannya bersama," tambah Mohamad Farhan.

Mujur ada teknologi yang bantu mereka untuk mengubati rasa rindu. Encik Said dan keluarga ada juga berhubung dengan Cik Mariati menerusi panggilan video serta kiriman mesej.

Ini bagaimanapun tidak dapat dilakukan setiap hari kerana kesibukan para jemaah menunaikan rukun haji di sana serta rangkaian hubungan yang tidak begitu baik.

Apabila ditanya apakah yang bermain di fikirannya semasa berhubung dengan isterinya, ini jawapan Encik Said:

"Sedih. Sepatutnya saya bersama-samanya tetapi biarlah beliau pergi sendiri. Biar saya tidak dapat pergi. Saya (akan) tunggu mungkin tahun depan (untuk pergi) insya-Allah."

Bagi keluarga Encik Said, meskipun isterinya tiada di sisi, Hari Raya Aidiladha tahun ini tetap disambut istimewa bersama sanak saudara di tanah air.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan