Skip to main content

Singapura

Pertama kali dalam sejarah jumlah perkahwinan Muslim S'pura cecah lebih 6,000

Secara terperinci, kepesatan pernikahan Muslim bagaimanapun mula kelihatan sejak tahun 2009.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jul 2018 09:12PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 11:46PM

SINGAPURA: Buat pertama kalinya dalam sejarah perkahwinan pasangan Muslim di Singapura, jumlah pernikahan mencecah lebih 6,000 pasangan bagi satu-satu tahun. Lebih tepat lagi, sebanyak 6,050 pernikahan didaftarkan pada tahun lalu (2017).

Pada tahun 1965, pernikahan yang berdaftar di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam atau AMLA mencatat 1,922 pernikahan sahaja.

Data itu didedahkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura hari ini (10 Jul).

Secara terperinci, kepesatan pernikahan Muslim bagaimanapun mula kelihatan sejak tahun 2009. Ini apabila jumlah pernikahan melonjak dari 4,021 kepada 6,050 pada tahun lalu.

Ini adalah kenaikan sekitar 50 peratus dalam tempoh lapan tahun sahaja (2009-2017).

KADAR CERAI PASANGAN MUSLIM MEROSOT 3.8%

Data tersebut juga menunjukkan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Muslim merosot 3.8 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya - suatu perkembangan yang semestinya positif.

Setelah meningkat 2.1 peratus kepada lebih 1,700 perceraian pada 2016, kadarnya merosot 3.8 peratus pada 2017, kepada 1,637 kes.

Ini berbeza daripada kadar perceraian dalam perkahwinan sivil yang meningkat 1.2 peratus pada 2017.

Jabatan Perangkaan menyatakan, kadar perceraian yang rendah dalam masyarakat Muslim ini sekaligus menyumbang kepada kemerosotan 0.5 peratus dalam jumlah perceraian di peringkat nasional, yang mencecah hampir 7,580 kes.

4 SEBAB PASANGAN MUSLIM MINTA CERAI

Terdapat empat sebab utama yang diberikan oleh pihak suami atau isteri yang meminta cerai.

Berlaku curang adalah punca utama dengan 23.5 peratus kes dicatat pada 2017 - naik seperempat berbanding tahun 2007 (18.8%).

Sebab-sebab utama lain termasuk ditinggalkan pasangan dan masalah kewangan - kedua-duanya mencatat lebih 10 peratus kes.

Satu lagi punca adalah keganasan rumahtangga dan penderaan.

Sekalipun begitu, kes-kes perceraian dek punca keempat ini sudah jauh berkurangan dan lebih baik berbanding 10 tahun lalu. Ia merosot dari sekitar 30 peratus kes pada 2007, kepada hanya 8.6 peratus sahaja pada tahun lalu.

PERNIKAHAN BAWAH 21 TAHUN MEROSOT

Jumlah pernikahan melibatkan pasangan muda atau di bawah usia 21 tahun pula terus menyaksikan kemerosotan sepanjang 10 tahun lalu.

Seramai 63 pengantin lelaki dan 200 pengantin perempuan bawah usia 21 tahun dicatat tahun lalu.

Ini jauh lebih kecil berbanding hampir 500 perkahwinan remaja yang dicatat sedekad lalu.

PERNIKAHAN KE-2 DAN SETERUSNYA

Sementara itu, jumlah pernikahan kali kedua atau seterusnya di kalangan pasangan Muslim, lebih tinggi pada tahun 2017, berbanding pasangan yang berkahwin sivil.

Sekalipun begitu, jika trend sepanjang 10 tahun lalu diambil kira, pasangan Muslim yang kahwin buat kali kedua atau seterusnya terus merosot - daripada sekitar 37 peratus pada tahun 2007, menjadi sekitar 28 peratus sahaja tahun 2017.

Pernikahan oleh pasangan berlainan kaum dalam kalangan pasangan Muslim pula mencatat sebanyak 38.0 peratus pada 2017. Ini lebih tinggi berbanding perkahwinan silang budaya sivil.

Daripada 2,300 pernikahan Muslim berlainan kaum, 27.8% adalah antara pasangan pengantin lelaki Melayu dengan pengantin perempuan dari bangsa lain (others). Manakala 25.7% adalah antara pengantin perempuan Melayu dengan pasangan berbangsa lain.

Selain itu, terdapat juga pasangan pengantin lelaki berbangsa India dengan pengantin perempuan Melayu (10.8 peratus), pasangan lelaki Melayu dan wanita India (8.0 peratus) dan lelaki Melayu dengan wanita berbangsa Cina (6.4 peratus). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita