Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertama kali dalam masa 20 tahun, pesakit ginjal tahap akhir berjaya lahirkan anak dengan selamat

Anggaran Waktu Membaca:
Pertama kali dalam masa 20 tahun, pesakit ginjal tahap akhir berjaya lahirkan anak dengan selamat

Cik Nur Fadilah Abdul Halim bersama suaminya dan anaknya. (Gambar-gambar: NUH)

BERITAmediacorp: Apabila disahkan doktor beliau menghadapi kegagalan ginjal tahap akhir enam tahun lalu, Cik Nur Fadilah Abdul Halim,25 tahun redha bahawa peluangnya untuk bergelar ibu amat nipis.

Ini lebih sukar kerana beliau perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu dan setiap lawatan itu mengambil masa selama empat jam.

Berdasarkan satu kajian dari Amerika Syarikat yang melibatkan 48,000 wanita yang menjalani dialisis antara 2005 hingga 2013, hanya 1.8 peratus daripada mereka dapat mengandungkan anak ketika menjalani rawatan.

Namun, hanya kurang 30 peratus daripada mereka yang hamil itu dapat melahirkan anak mereka dengan selamat.

NYAWA IBARAT DI HUJUNG TANDUK

Apabila Cik Fadilah berumahtangga dan mendapat tahu dirinya hamil, beliau nekad dan mengambil keputusan untuk 'menyimpan' kandungannya meskipun sedar bahawa nyawanya ibarat di hujung tanduk.

Bagi memastikan tahap toksin serta tekanan darah kekal terkawal sepanjang kehamilannya, beliau terpaksa menjalani dialisis sebanyak enam kali seminggu dan setiap sesi tersebut pula mengambil masa hampir tujuh jam.

Doktor juga memantau kandungan darahnya sepanjang kehamilannya itu.

--

"Yang membimbangkan ialah apabila kita buat dialisis dan kita melakukan selama 6.5 jam, 6 kali seminggu, apabila kita keluarkan toksin, kita juga keluarkan sedikit elektrolit daripada badannya dan memang kita perlu buat ujian darah untuk Fadilah setiap minggu untuk pastikan kita akan ganti balik ini semua elektrolit yang tak cukup dalam badan," ujar Konsultan Kanan, Divisyen Nefrologi, Jabatan Perubatan NUH, Dr Sabrina Haroon Wong,

Menurut Konsultan Kanan Divisyen Perubatan Janin, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi pula, Profesor Madya Chan Shiao-Yng,seorang wanita hamil yang mengalami kegagalan ginjal juga besar kemungkinan akan mengalami pra-eklampsia di mana jika ia tidak dirawat secepat mungkin boleh menyebabkan sawan, angin ahmar termasuk risiko-risiko kesihatan lain terhadap bayi.

Jika lebih mudarat lagi, ia boleh turut mengancam nyawa si ibu serta bayi.

SELAMAT LAHIRKAN ANAK PEREMPUAN

Berkat usaha pasukan perubatan dari Hospital Universiti Nasional (NUH) serta semangat kental Cik Fadilah, beliau berjaya melahirkan cahaya matanya pada 5 Februari lalu.

Menurut pihak NUH, kes Cik Fadilah yang berjaya melahirkan anaknya setelah 35 minggu adalah yang pertama di hospital itu sejak lebih 20 tahun.

Lantaran itu, beliau dan suaminya, Encik Muhammad Farihin Farkhan Nashir menyifatkan anaknya, Nur Qiara Yareesa, sebagai satu keajaiban.

"Saya rasa bahagia dan tidak percaya. Ketika saya hamil juga, saya tidak percaya yang saya ada bayi dalam perut saya. Jadi, apabila saya selamat melahirkannya, saya betul-betul rasa bahagia dan sedih kerana masih tak percaya," kata Cik Fadilah.

Beliau juga berkata perjuangannya itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa suaminya yang sentiasa berada di sisi dan memberi kata sokongan.

Menurut NUH, menyimpan kandungan selama melebihi 32 minggu dan melahirkan bayi dengan berat badan lebih 1.5 kg merupakan satu kejayaan perubatan bagi pesakit yang menjalani dialisis.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan