Pertahankan nilai keharmonian, tolak kebencian, fahaman ekstremisme dalam apa jua bentuk, susuli kejadian tembakan Bondi: Faishal
Orang ramai dan pekerja kecemasan berkumpul di tengah-tengah insiden tembakan di Pantai Bondi di Sydney pada 14 Disember 2025. (Gambar: AP/Mark Baker)
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim menegaskan hal itu dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (15 Dis).
"Saya amat berdukacita dengan serangan yang berlaku semasa majlis sambutan Hanukkah di Bondi, Sydney, yang telah meragut nyawa orang awam dan mencederakan ramai yang lain," menurut Dr Faishal.
"Insiden serangan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita. Setiap individu harus berasa selamat untuk mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing tanpa rasa takut, sama ada di masjid, saumaah, gereja atau kuil," tambahnya.
Dr Faishal turut menekankan bahawa Singapura dibina atas asas rasa saling menghormati dan kepercayaan antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ini di samping menzahirkan komitmen masyarakat Melayu/Islam Singapura untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan Yahudi di sini.
"Dalam saat yang sukar ini, amatlah penting untuk kita terus bersatu mempertahankan nilai-nilai keharmonian dan menolak kebencian serta fahaman ekstremisme dalam apa jua bentuk," ujarnya.
"Masyarakat Melayu/Islam di Singapura kekal teguh dalam komitmen kami terhadap kehidupan bersama secara aman, saling menghormati dan keharmonian dengan semua masyarakat, tanpa mengira bangsa atau agama. Kami berdiri teguh bersama rakan-rakan Yahudi kami dan sekeras-kerasnya mengecam perbuatan keganasan yang tidak berperikemanusiaan ini," tambah beliau.
Dr Faishal juga menyanjung keberanian luar biasa Encik Ahmed al Ahmed, yang mempertaruhkan nyawanya bagi melucutkan senjata salah seorang penyerang demi menyelamatkan orang lain.
"Tindakannya tidak mengira perbezaan latar belakang, bangsa atau agama tetapi didorong oleh nilai kemanusiaan sejagat. Tindakan beliau mengingatkan kita tentang nilai-nilai murni yang kita harus junjung bersama," kata Dr Faishal.
"Doa dan ingatan kami bersama para mangsa, mereka yang cedera serta keluarga yang terjejas. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan, dan semoga keamanan mengatasi keganasan," tambahnya.
TIADA TEMPAT BAGI KEGANASAN YANG SASARKAN ORANG AWAM: MUIS
Sehubungan dengan itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyifatkan insiden tembakan di Pantai Bondi itu sebagai sesuatu yang “yang mengerikan dan mengejutkan”.
Dalam satu kenyataannya yang dikongsikan kepada BERITA Mediacorp, MUIS menegaskan bahawa tiada tempat bagi keganasan yang menyasarkan orang awam, yang tidak bersalah, di mana-mana sahaja.
"Ini adalah kejadian yang mengerikan dan mengejutkan di mana nyawa orang yang tidak bersalah hilang akibat tindakan pengganas. Tidak ada tempat untuk keganasan yang menyasarkan orang awam dan orang yang tidak bersalah di mana-mana sahaja, apatah lagi di acara keagamaan atau tempat ibadah, mahupun yang dicetuskan oleh sebab-sebab agama," menurut kenyataan itu.
DUNIA SEMAKIN BAHAYA, MASYARAKAT PERLU BERSATU, TOLAK KEGANASAN, KEBENCIAN
MUIS juga melahirkan keprihatinan bahawa dunia kini semakin berbahaya di mana kebencian dan ketakutan dijadikan alat untuk memecahbelahkan masyarakat.
"Apabila mereka yang tersakiti mencari keselesaan bukan dalam persahabatan dan sikap kejiranan tetapi dalam perbalahan dan keganasan," menurut MUIS.
"Apa yang berlaku di Australia adalah peringatan yang perit bahawa kita mesti terus bersatu sebagai satu masyarakat dengan ikatan yang erat, yang dibina atas dasar kasih, hormat dan empati, dan kita terus menolak semua bentuk keganasan dan kebencian dan membasmi ekstremisme dan radikalisasi, untuk menjamin keamanan dan perpaduan dalam dunia yang semakin bergolak," tambahnya.
BACA:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.