Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pertahanan Mutlak genting dalam melawan COVID-19, kata Dr Ng Eng Hen

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertahanan Mutlak genting dalam melawan COVID-19. Ia berjaya menyelamatkan nyawa serta memastikan Singapura terus bersatu dan kekal kuat. 

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata demikian semasa di Majlis penyampaian Anugerah Pertahanan Mutlak pada Rabu malam (23 Mac).

Di majlis tersebut, sejumlah 83 Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), 15 syarikat besar, 37 organisasi dan 13 individu menerima Anugerah Pejuang NS.  

Anugerah Pejuang NS adalah penghargaan tertinggi yang diberikan sebagai pengiktirafan atas sokongan pihak tersebut terhadap Pertahanan Mutlak dan NS.

LENGKAPI DIRI DENGAN KEMAHIRAN CPR, AED SEBAGAI SUMBANGAN KEPADA PERTAHANAN NEGARA

Nur Muzainah Othman, 33 tahun, adalah antara 13 individu yang menerima Anugerah Penyokong NS bagi Kategori Individu. 

Pentadbir Kejururawatan Eksekutif Bersekutu Hospital Besar Ng Teng Fong itu mengambil inisiatif untuk menghadiri kursus-kursus untuk mendapatkan pensijilan CPR, penggunaan AED dan pengetahuan asas pertolongan kecemasan demi membantu orang lain semasa kecemasan. 

"Pada saya, ia merupakan satu kemahiran yang amat penting. Kita mungkin tidak perlu melakukannya setiap hari tetapi ia mungkin dapat membantu orang lain dalam kecemasan," ujar Cik Muzainah. 

"Walaupun saya tidak terlatih dari segi perubatan, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menyumbang lebih banyak dalam apa jua cara agar petugas barisan hadapan yang lain tidak menanggung beban sepenuhnya," tambah Cik Muzainah.

Selain itu, Cik Muzainah juga dengan secara tidak langsung berbakti kepada pertahanan negara. 

Beliau menjaga ibu bapa mertua suaminya semasa beliau menjalani latihan dalam kem. 

Cik Muzainah berkata: "Contohnya, saya perlu menemani ibu mertua saya ke hospital sambil menjalani hidup sebagai kakitangan kesihatan. Dengan itu, saya berasa puas hati kerana dapat meringankan beban suami saya. Dia boleh meningkatkan tahap fokus justeru memainkan peranan yang lebih penting."

"Setiap hari apabila suami saya pulang ke rumah, dia akan berkongsi pengalamannya. Jadi, saya berasa amat puas hati lah sebab saya telah menyumbang kepada negara secara tidak langsung," tambah Cik Muzainah. 

KAKITANGAN DAN PARA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH EVERGREEN TEGAS KEPENTINGAN PERKHIDMATAN NEGARA

Sekolah Menengah Evergreen pula antara 37 organisasi yang menerima Anugerah Penyokong NS bagi kategori Organisasi. 

Ketua Subjek (Kemanusiaan) dan Ketua Pendidikan Negara bagi sekolah tersebut, Cik Siti Mariam Muhammad, berkata bahawa sekolahnya itu memahami dan menegaskan pentingnya Perkhidmatan Negara menerusi berbagai inisiatif untuk kakitangan dan para pelajarnya. 

Antara usaha yang dilakukan Sekolah Menengah Evergreen adalah menghasilkan sijil penghargaan untuk para NSmen sekolah itu semasa Majlis Hari Dedikasi Semula SAF setiap tahun.

Selain itu, Cik Mariam akur bahawa sekolahnya mempunyai pendirian tegas bahawa Perkhidmatan Negara adalah satu usaha masyarakat dan setiap anggota memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada pertahanan negara. 

Cik Mariam berkata: "Bagi kami, Perkhidmatan Negara adalah seperti pendidikan di mana kami dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti kerjasama, komitmen dan disiplin yang kami harapkan daripada penekanan Perkhidmatan Negara di sekolah." 

"Kami berharap para pelajar kami dapat menerapkan nilai sama dan bagaimana mereka dapat melakukan bahagian mereka untuk pertahankan Singapura," tambah Cik Mariam. 

Setiap tahun, Sekolah Menengah Evergreen menghantar sejumlah besar  kumpulan pelajar untuk menyertai pertandingan tahunan N.E.mation. 

Ia juga menggalak kakitangan mereka yang juga berkhidmat sebagai Pegawai Konstabel Sukarela Home Team untuk terus melindungi Singapura. 

PERTAHANAN MUTLAK GENTING LAWAN COVID-19: DR NG

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Pertahanan Mutlak, Dr Ng akur pandemik COVID-19 membawakan bersamanya perasaan takut dan ketidaktentuan kepada rakyat Singapura. 

Namun, beliau berkata bahawa pandemik COVID-19 juga berjaya menyerlahkan sifat-sifat terbaik dalam kalangan warga Singapura, yang terus menyokong negara dalam usaha melawan virus itu. 

Hal demikian juga seiring dengan sokongan berterusan kepada semua NSmen, menurut Dr Ng lagi. 

Dr Ng berkata: "Kesemua enam tunggak Pertahanan Mutlak dapat dilihat dan kepadatannya juga dijaga. Individu, kumpulan masyarakat dan perniagaan maju ke hadapan untuk mendekati golongan-golongan yang memerlukan bantuan, termasuk para pekerja hijrahan, anak-anak bersekolah yang kurang berkemampuan dan warga emas yang tinggal bersendirian."

"Pertahanan Mutlak melawan COVID-19 berjaya menyelamatkan nyawa dan memastikan Singapura kekal bersatu dan kuat," tambah Dr Ng lagi. 

Dr Ng menegaskan bahawa setiap rakyat Singapura mempunyai peranan penting dalam pertahanan negara. 

Dr Ng berkata: "Ia menunjukkan realiti ancaman keselamatan terhadap kesejahteraan sesebuah negara. Kebebasan dan gaya hidup yang dinikmati rakyat Singapura tidak pernah diberikan dan mesti dilindungi pada setiap masa."

Menurut Dr Ng dalam ucapannya, Singapura adalah sebuah negara yang mudah terdedah disebabkan saiznya yang kecil dan hal demikian tidak akan berubah. 

"Sama ada ia penduduk di Singapura 80 tahun yang lalu atau mereka yang berada di Ukraine sekarang, pencerobohan fizikal memusnahkan semua yang dibina selama bertahun-tahun dan impian masa depan," ujar Dr Ng. 

Semasa menggulung ucapannya, Dr Ng berkata: "Inilah sebabnya mendiang Encik Lee Kuan Yew berkata 'Tanpa SAF yang kuat, tidak akan ada masa depan ekonomi, tidak akan ada keselamatan. Tanpa keselamatan, tidak akan ada kemajuan'."

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan